KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB), sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca ia rugi RM480 juta, kata Pengarah Urusannya, Datuk Noorazman A Aziz.
Siasatan dijalankan pasukan pengurusan baru bank itu diterajui Noorazman yang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Bank Negara Malaysia.
Noorazman dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam berkata, siasatan menjurus kepada usaha mencari punca pinjaman tidak berbayar (NPL) bank itu tinggi.
Beliau berkata, bank itu juga sudah menggerakkan satu pasukan dianggotai pengurus kanan dan profesional luar bagi mengkaji semula secara menyeluruh kaedah pengurusan kredit dan proses kelulusan pinjaman di cawangan Bank Islam Labuan yang menjadi punca utama sebahagian besar NPL itu.
“Buat masa ini apa yang boleh dinyatakan, ada kemajuan dalam siasatan. Sebaik siasatan selesai, kami meneruskan dengan proses pendakwaan,” katanya tetapi tidak memberikan butiran lanjut perkara itu.
Noorazman berkata, usaha mencari punca hutang lapuk ialah tugas rumit kerana merekod penyata kira-kira tidak dilakukan dengan betul dan memerlukan pasukan penyiasat membuat semula fail kredit.
“Kami difahamkan, sesetengah syarikat yang mengambil pinjaman itu tidak lagi wujud,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Noorazman berkata, status pejabat Bank Islam di Labuan ditukar daripada anak syarikat kepada cawangan Disember lalu.
“Bagaimanapun Januari lalu, pengurusan yang menjalankan penyeliaan dan perakaunan yang lebih ketat mendapati kerugian yang dialami cawangan Labuan itu lebih besar daripada yang dijangkakan ibu pejabat,” katanya.
Noorazman berkata, ibu pejabat mendapati pinjaman diberikan tanpa kawalan dan pemahaman secukupnya terhadap risiko yang bakal ditanggung termasuk dari segi risiko negara yang menerima pinjaman dan projek yang dibiayai.
“Kini, kebanyakan pegawai lama di cawangan Labuan itu sudah berhenti dan operasinya dikawal selia secara langsung oleh lembaga pengarah bank,” katanya.
Noorazman dilantik sebagai pengarah urusan Bank Islam pertengahan April lalu dan bertanggungjawab memulihkan semula operasi dan kedudukan kewangannya.
Proses itu termasuk menyalurkan pinjaman RM1.7 bilion untuk diuruskan sebuah syarikat tujuan khusus (SPV) yang menguruskannya mengikut konsep Danaharta.
Sementara itu, sumber berkata, BIMB sudah membuat laporan polis di cawangan jenayah perdagangan Bukit Aman berhubung kes membabitkan pemberian pinjaman berjumlah hampir RM5 juta oleh cawangannya di Labuan.
Katanya, laporan itu mungkin membabitkan pecah amanah apabila saham yang digunakan sebagai cagaran mendapatkan pinjaman itu dilupuskan sedangkan ia sepatutnya digantikan dengan cagaran dalam bentuk saham baru.
Kes itu dipercayai menjadi antara punca kepada kerugian besar yang ditanggung Bank Islam.
--
Posted by Muhammad to Berita Melayu at 10/28/2005 06:34:00 PM