[Berita Melayu] Cefiro kekal mantap, mengagumkan

408 views
Skip to first unread message

Muhammad

unread,
Oct 28, 2005, 9:18:45 PM10/28/05
to malay...@googlegroups.com

Nissan Cefiro Excimo 2.0 V6
Engine: enam selinder V6 1,995cc
Kuasa maksimum: 150hp@6,400rpm
Tork maksimum: 179Nm@4,000rpm Transmission:4-speed auto
Harga: RM159,965.90

Berjaya mencuri perhatian peminat kereta sedan kelas mewah apabila ia mendapat sambutan menggalakkan

MUNGKIN ramai antara kita masih ingat dengan enjin sebuah kereta yang dijadikan dulang meletak gelas tetapi setitik air pun tak tumpah; atau enjin kereta yang digunakan untuk menjana sebuah pesawat terbang kecil. Ya, ia ialah Nissan Cefiro.

Sejak itu, Cefiro terus memberi saingan hebat dan menjadi jenama kereta salon mewah yang digemari ramai. Selain mutu binaan dan kendalian Nissan yang sememangnya dipercayai (tengoklah Nissan Sunny yang masih gagah di jalan meskipun berusia 20 tahun), Cefiro menjadi pilihan kerana menawarkan kuasa, keselesaan dan kemewahan.

Baru-baru ini, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, pengedar kenderaan Nissan di Malaysia memperkenalkan versi diperbaharui terhadap Cefiro. Meskipun kemasan terkini tidak banyak membabitkan perubahan radikal aspek teknikal, tetapi Cefiro tetap mengagumkan sesiapa saja.

Sejak diperkenalkan sejak 13 tahun lalu, Nissan Cefiro telah berjaya mencuri perhatian peminat kereta sedan kelas mewah apabila ia mendapat sambutan amat menggalakkan di seluruh dunia.

Selepas beberapa tahun berada di pasaran Malaysia, Nissan Cefiro V6 ditampilkan dengan sedikit pengubahsuaian stail yang sebahagian besarnya membabitkan bahagian lampu dan gril. Digandingkan dengan lampu halogen CSR bertempa menjadikan kereta ini nampak gagah, sementara jeriji baru menjadikan keseluruhan pakej depan kereta ini sungguh segak, sporty dan ranggi.

Cefiro berwajah baru memperjelaskan kejituan usaha Nissan untuk membawakan erti keselesaan pada sebuah kereta sedan ke peringkat lebih tinggi, tetapi pada masa sama memastikan tiada tolak ansur terhadap kemantapan dan kuasa pemanduan.

Cefiro baru dihasilkan khusus kepada mereka yang memilih kereta mewah yang bernilai untuk wang bagi menikmati pemanduan dalam sebuah sedan bergaya sebagai hadiah kepada pencapaian diri.

Secara asasnya, Cefiro baru nampak gagah tetapi sofistikated. Rekaannya praktikal tetapi kekal anggun dan sedap dipandang.

Dilihat daripada sebelah sisi, Cefiro yang direka semula daripada model asas yang diperkenalkan pada 2001 ini dipadankan dengan cermin sisi serba baru yang turut menggabungkan lampu isyarat.

Sementara di belakang, ada sepasang lampu suar baru, lengkap dengan kesan kristal bagi menjadikan kereta ini nampak lebih mewah dan bergaya.

Di bahagian dalam pula, kemasan dan mutu bahan yang digunakan menjadikan bahagian dalaman sungguh lapang dan ini membuatkan anda sedar bahawa kereta ini memang dizahirkan untuk memberi keselesaan optimum kepada penumpang.

Daripada aspek teknikal, tiada perubahan yang dilakukan terhadap enjin. Lagipun, tidak perlu perubahan di buat kerana enjin VQ V6 memang sudah terkenal dengan kemantapan kuasa dan prestasi unggul serta menjimatkan minyak. Sebab itulah tidak hairan apabila enjin ini telah dicalonkan untuk sebagai antara 10 enjin terbaik oleh Ward Auto World selama 11 tahun berturut-turut.

Ketika jurutera Nissan merangka enjin ini, mereka merumuskan VQ mestilah lebih kecil, ringan, lebih menjimatkan petrol dan lebih mudah dikeluarkan berbanding enjin sebelumnya. Nissan mahukan satu enjin yang baru, bukan sekadar penambahan teknologi. Hasilnya ialah sebuah enjin yang 20 peratus lebih ringan daripada enjin V6 sedia ada, menggunakan alat 10 peratus lebih sedikit dan memberikan penjimatan petrol ketara.

Pelbagai perubahan baru yang ditampilkan kepada Cefiro menjadikan model ini kelihatan lebih cantik. Dari luaran, lampu besar depan dan belakang menampakkan wajah segar baru terhadap model ini.

Memang sudah jadi trend, reka semula termudah ialah menukar lampu depan dan belakang serta bamper. ... dan Cefiro ialah antara model yang direka semula mengikut kaedah ini.

Ruang kabin yang luas menjadikan perjalanan dalam kenderaan ini suatu nikmat. Dari dalam kabin juga hampir tidak terdengar bunyi-bunyi luaran terutama bunyi yang tidak menyenangkan.

Saiznya memang agak besar setaraf dengan kedudukannya sebagai salon eksekutit tetapi kuasa yang dijana daripada enjin V6 membuatkan pergerakan daripada setiap perhentian dilakukan tanpa perlu bersusah payah langsung. Yang paling menarik, mungkin ciri paling unggul dengan Nissan ialah ia menjimatkan minyak bagi sebuah kereta V6. Berbanding pelbagai kereta V6 lain, sudah tentu Cefiro boleh pergi lebih jauh dengan setiap liter petrol yang sama.

Di atas jalan, memandu Cefiro terasa seperti sedang berada di sofa rumah, stabil dan responsif. Kuasa mantap dizahirkan daripada enjin VQ V6 manakala keselesaan disumbangkan oleh sistem gantungan tetulang berbilang sambungan di belakang dan sistem kawalan Super Toe Control (STC).

Edaran Tan Chong dijangka membawa masuk Cefiro Teana menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan. Model yang lebih inovatif itu tentunya tidak akan berharga lebih murah daripada Cefiro sekarang.

Justeru, memang sewajarnya untuk mereka yang sedang mempertimbangkan mencari kereta sedan eksekutif, mempertimbangkan model sekarang.

Cefiro besar, laju dan selesa. Ia senang diselenggara dan kos alat ganti yang berpatutan. Berdasarkan sejarah selama ini, orang yang membeli kenderaan Nissan memang mengakui mereka tidak pernah rugi membeli Nissan.

--
Posted by Muhammad to Berita Melayu at 10/28/2005 06:18:00 PM
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages