Perbahasan Bajet 2019 Negeri Pulau Pinang Oleh ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon pada 14 November 2018
Salam sejahtera, salam harapan dan salam Malaysia Baru
Terima kasih kepada Dato’ Yang Dipertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Enakmen bagi perbekalan bagi tahun 2019 yang telah berjaya dibentangkan oleh YAB Ketua Menteri pada hari Jumaat yang lepas.
Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri yang bertekad untuk melaksanakan agenda reformasi termasuk dalam memastikan urustadbir yang cekap, akauntabiliti dan telus. Urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) telah menjadi role model kepada negeri-negeri lain.
Saya amat tertarik kepada usaha kerajaan negeri untuk membangunkan Pulau Pinang menjadi sebuah bandar pintar (Smart City). Dalam soalan bertulis saya berkenaan dengan roadmap ke kerajaan digital sepenuhnya dan negeri pintar, jawapannya adalah setakat ini tiada peruntukan tertentu disediakan oleh kerajaan negeri untuk projek dan inisiatif yang berkaitan dengan bandar pintar kerana ia masih di peringkat perancangan.
Satu dokumen Roadmap Penang towards A Smart International City berkenaan dengan pelbagai inisiatif sebagai panduan kepada pelbagai pihak untuk merealisasikan Bandar Pintar Negeri Pulau Pinang.
Namun, bandar pintar bukan sekadar satu slogan atau konsep yang tidak dapat dirasai oleh rakyat Pulau Pinang. Matlamat smart city adalah untuk menyiap siaga bandar kita lebih resilient dan berdaya saing. Pelbagai masalah yang dihadapi dalam proses urbanization seperti kesesakan lalulintas, banjir kilat, jenayah dan lain-lain yang mengancam kesejahteraan hidup rakyat.
Bandar pintar adalah satu cara penyelesaian yang boleh digunapakai oleh pembuat dasar untuk memastikan bahawa keputusan yang diambil boleh menangani masalah dengan baik. Saya mencadangkan agar kerajaan negeri akan mengemukakan satu Roadmap Penang Towards A Smart International City akan dibentangkan di dewan yang mulia ini agar dapat dibincangkan dan dibahas oleh semua wakil rakyat. Proses pembentukan pelan induk ini amat penting agar hasrat kerajaan negeri membangun negeri menuju ke bandar pintar dapat dicapai. Semua stakeholders perlu dilibatkan dalam proses pembentukan ini.
Liputan Fibre Optic Masih Terhad
Pada masa yang sama, kerajaan perlu bersiap sedia untuk menghadapi
liputan jalur lebar yang lebih luas agar semua kawasan perumahan yang lama juga dilengkapi dengan perkhidmatan internet yang laju dengan harga yang munasabah. Saya telah menerima banyak permohonan bantuan agar kawasan perumahan mereka disediakan jalur lebar fibre optic untuk membolehkan mereka akses kepada kelajuan internet yang laju. Fibre Optic adalah asas kepada pembangunan sesebuah negeri ke arah bandar pintar. Tanpa kelajuan internet, maka bidang e-commerce, internet of thing hanya akan menjadi omong-omong kosong sahaja.
Maka saya mencadangkan agar kerajaan negeri bekerjasama dengan industry telekomunikasi khasnya memberi keutamaan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar talian tetap dengan kelajuan internet melebihi 100 Mbps kepada semua kawasan untuk mengurangkan jurang informasi di antara bandar dan desa.
Penstrukturan semula syarikat-syarikat GLC yang dimiliki oleh kerajaan negeri agar pengurusan syarikat dapat dipertingkatkan dengan tahap optimum. Pengurusan sumber kewangan kerajaan negeri akan lebih efisien kerana kerjasama di antara agensi kerajaan Persekutuan dapat dipertingkatkan untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.
Banyak GLC telah didirikan oleh kerajaan negeri setelah Pakatan Rakyat menang pada 8 Mac, 2008. Oleh kerana kerajaan negeri Pakatan pada masa itu tidak mendapat sokongan malah berdepan dengan sabotaj daripada kerajaan Persekutuan pada masa itu, maka pelbagai GLC telah ditubuhkan untuk menggerakkan pelbagai program dan kerja untuk isu-isu tertentu. Antaranya adalah Penang Green Council, Penang Women Development Corporation, Penang Youth Development Corporation dan sebagainya. Kesemua GLC yang ditubuhkan telah memainkan peranan yang penting dalam mengerakkan agenda kerajaan negeri dalam pelbagai bidang serta sector.
Dengan Pakatan Harapan mengambil alih pucuk pimpinan di Putrajaya, pelbagai agensi kerajaan Persekutuan yang selama ini juga memainkan peranan yang sama boleh diatur, diambil alih serta bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri supaya fungsi setiap badan tersebut dapat dimainkan dalam tahap yang maksimum.
Tambahan pula, dengan kekangan kewangan yang semakin serius di peringkat kerajaan Persekutuan, kita perlu mengurus sumber kewangan dan manusia kerajaan negeri dengan lebih bijaksana lagi. Misalnya PYDC boleh bekerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan negeri serta kerajaan persekutuan dalam usaha membangunkan orang muda serta bidang sukan di semua peringkat. Kakitangan yang ada di setiap agensi tersebut perlu diberi dan disediakan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar tanggungjawab dapat dimainkan dengan baik.
Selain itu, selaras dengan urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), saya minta supaya kerajaan negeri akan membentang laporan tahunan bagi setiap GLC di dewan yang mulia ini. Buat sementara ini, hanya beberapa GLCs kerajaan negeri yang membentang laporan kepada dewan. Contohnya, beberapa risalah seperti laporan tahunan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Perbadanan Bukit Bendera (PHC) dan lain-lain telah dibentang dalam sidang DUN kali ini. Laporan ini amat penting bagi wakil rakyat memahami dan mengikuti perkembangan serta urustadbir semua GLCs yang dibawah kerajaan negeri.
Dato’ Yang Dipertua,
Dalam dewan yang mulia ini kita sering bincang tentang isu penguatkuasaan. Kelemahan penguatkuasaan dan pemantauan perlu diatasi. Kakitangan kerajaan perlu diperkasakan dengan pelbagai kemahiran serta penguasaan dalam bidang yang berkaitan agar penguatkuasaan yang lebih cekap untuk memastikan dasar kerajaan dapat dipertahankan.
Antaranya adalah masalah pembuangan sampah haram dan pembukaan tanah secara haram perlu ditangani dengan lebih tegas. Kilang-kilang pemprosesan sisa-sisa plastic yang telah beroperasi dengan begitu banyak di kawasan Seberang Prai khasnya di kawasan Machang Bubuk. Sisa plastic tersebut adalah dieksport oleh negara-negara maju yang tiada tapak pelupusan sampah atau landfill yang amat terhad. Pulau Pinang tidak mahu menjadi tapak pelupusan sampah untuk negara maju. Kita telah berusaha begitu gigih dalam cleaner greener Penang serta pengasingan sisa di punca. Jangan kita sia-siakan usaha kita dengan membenarkan kilang-kilang pemprosesan sisa plastic.
Saya mencadangkan kerajaan negeri untuk hentikan lesen kilang pemprosesan sisa plastic. TIndakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil ke atas kilang-kilang haram untuk membendung masalah ini daripada berlarutan. Sumber air dan elektrik perlu diputuskan serta-merta apabila kilang haram tersebut masih menjalankan aktiviti haram tersebut. Permohonan untuk perlingkungan semula guna tanah daripada pertanian ke perindustrian perlu ditolak malahan rampas balik tanah sekiranya perlu. Proses undang-undang yang lebih ketat perlu diwujudkan agar kilang-kilang haram tersebut tidak beroperasi lagi.
Hanya bertindak sebagai fire fighting dan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan. Tiada pelan mitigasi yang berkesan untuk memastikan alam sekitar tidak terjejas.
Dato Yang Dipertua,
Pusat Khidmat ADUN dan wakil rakyat perlu dilengkapi dengan perkhidmatan kaunseling bagi menangani tekanan hidup yang kian berat kebelakangan ini. Menurut jawapan soalan bertulis saya, jumlah kes bunuh diri dari tahun 2017 sehingga kini telah mencapai 137 kes atau kira-kira setiap 5 hari ada seorang rakyat Pulau Pinang telah membunuh diri. Keadaan ini amat membimbangkan dan punca isu ini perlu diteliti dan ditangani dengan baik. Kebanyakan pusat khidmat wakil rakyat tiada kepakaran kaunseling. Adalah tanggungjawab kerajaan untuk berusaha melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta menyediakan sistem sokongan keselamatan social bagi golongan B40 yang mempunyai tekanan hidup yang tinggi.
Pengurusan harta awam yang cekap. Saya ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri yang telah memberi peruntukan kepada kedua-dua PBT untuk memasang CCTV. Usaha ini amat penting bagi mempertingkatkan keselamatan di kedua-dua kawasan pentadbiran. Pemasangan CCTV bukan sekadar di kawasan jalanraya, malahan di tempat permainan serta rekreasi, tempat letak kereta di tempat awam.
Kebelakangan ini, pasar awam taman selamat telah menghadapi masalah penyeluk saku. Kes dompet, wallet pengunjung pasar telah dicuri meningkat. Polis, JKKK dan saya telah turun ke pasar untuk membuat program kesedaran di kalangan penduduk. Namun, langkah yang paling berkesan adalah melalui pemasangan CCTV di dalam pasar. Maka, saya mencadangkan agar MPSP pasang CCTV untuk memantau kegiatan dalam pasar serta memastikan tiada penjaja tanpa lesen yang berniaga di ruang jalan kaki pasar.
Perkara ini juga akan memudahkan pihak penguatkuasa MPSP untuk mengambil tindakan ke atas orang yang membuang sampah merata-rata, keadaan di dalam pasar yang lebih teratur dan selamat untuk pengunjung.
Balai Polis Machang Bubuk perlu dinaiktaraf daripada gred C ke gred A. Mengikut jawapan kepada soalan bertulis saya berkenaan dengan indeks jenayah dan nisbah anggota polis di Balai Polis Machang Bubuk, 1 orang polis dengan 1556 orang penduduk. Jumlah penduduk di kawasan pentadbiran Balai Polis Machang Bubuk adalah 63,790 dengan hanya 41 orang polis, kawasan ini telah menghadapi isu kekurangan pegawai polis khasnya selepas penambahan bilangan penduduk yang begitu ketara akibat daripada pembangunan taman perumahan yang banyak dalam 10 tahun ini.
Disebabkan kejadian jenayah khasnya kes pecah masuk rumah dan ragut bertambah di kawasan Alma, satu Perbincangan meja bulat telah diadakan dengan menjemput pihak polis, persatuan penduduk, rukun tetangga dan pelbagai NGO seperti Community Policing telah diadakan untuk mencari jalan penyelesaian untuk menangani isu keselamatan di komuniti. Antaranya resolusi yang telah dicapai adalah meminta kerajaan untuk menaiktaraf Balai Polis Machang Bubuk daripada gred C ke gred A agar anggota polis dapat ditambah untuk menampung keperluan yang mendesak. Saya pernah mencadangkan agar satu balai polis perlu dibina di kawasan Alma tetapi tidak diterima. Maka, saya mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil serius tentang permohonan ini, sekiranya tidak dapat membina sebuah lagi balai polis, sekurang-kurangnya boleh menaiktaraf balai polis yang sediada.
Cadangan sisa Construction & Demolition (C&D) Recovery Centre di Bukit Teh perlu dikaji semula memandangkan terdapat pelbagai factor yang perlu diambil kira termasuk jalan akses ke kawasan tersebut yang sempit dan merbahaya kepada penduduk-penduduk kampung dari jambatan ke-2 sehingga tapak recovery centre. Selain itu, tapak cadangan tersebut merupakan bekas tasik lombong yang telah menjadikan kawasan tadahan air hujan yang besar. Sekiranya kawasan lombong tersebut ditambak, maka air hujan akan mengalir ke kawasan-kawasan yang sebelum ini telah menjadi kawasan banjir hotspot seperti di Bukit Teh, Kampung Machang Bubuk dan sebagainya.
Saya sokong usaha murni kerajaan negeri untuk memulihara kawasan tasik lombong tersebut daripada tapak pembuangan sampah haram. Sekiranya kolam tersebut boleh dijadikan kolam tadahan hujan dan dibersihkan, maka ia boleh dijadikan satu kawasan rekreasi dan bukannya tapak pembuangan sisa C&D. Usaha ini akan memberikan satu contoh yang baik bagaimana kita boleh memulihara sebuah kolam lombong yang dicemar oleh pembuangan sampah haram.
Daya saing Negeri Pulau Pinang perlu diperkembangkan ke Seberang Perai. Cadangan kerajaan negeri untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa koridor utara di atas tanah tebus guna Batu Maung yang berdekatan dengan Pulau Rimau perlu dikaji dengan lebih mendalam lagi. Pada masa yang sama, pihak Kerajaan Negeri Kedah juga mencadang untuk membina satu lapangan terbang kargo di Kulim yang berjiran dengan Seberang Perai. Saya minta kerajaan negeri boleh lihat perkara ini dalam kerangka big picture. Kerjasama di antara Pulau Pinang dan Kedah perlu ditingkatkan kerana pembinaan lapangan terbang boleh dijadikan satu pemberangsangan kepada pembangunan di Seberang Perai serta koridor ekonomi utara.
Sementara itu, saya juga ingin menarik perhatian kerajaan negeri ke atas cadangan untuk menaiktaraf Jalan Kulim telah lama dikemukakan tetapi sehingga kini belum ada sebarang keputusan yang muktamad tentang bila projek tersebut boleh dilaksanakan. Pembangunan infrastruktur adalah penting untuk membangunkan sector industry serta menarik masuk pelabur asing.
Kerajaan negeri perlu sediakan satu Infrastructure Investment Plan yang komprehensif untuk melaksanakan kerja-kerja membina jalan, jambatan, system pengangkutan awam khasnya di kawasan Seberang Perai. Sumber dana untuk menjana projek-projek tersebut perlu diperolehi melalui pelaburan dari swasta dan kerajaan persekutuan dan bukan setakatnya melalui tambakan laut.
Penyertaan rakyat adalah kunci kejayaan kerajaan. Saya mengalu-alukan kerajaan negeri mewujudkan satu portfolio baru Keterangkuman Gender bagi memastikan kesaksamaan gender tanpa mengira etnik, agama dan status sosio-ekonomi. Antaranya projek yang akan dilaksanakan adalah Gender Responsive and Participatory Budget. KADUN Machang Bubuk dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan PWDC telah mengadakan projek “Duit Kita, Hak Kita”. Projek perintis ini telah menjadi satu contoh kepada KADUN lain untuk membuka ruang dan peluang kepada rakyat di kawasan masing-masing untuk menentukan kegunaan peruntukan kerajaan dan wakil rakyat.
Baru-baru ini saya telah pergi ke kawasan pedalaman Sarawak. Penduduk di pedalaman rasa mereka telah dipinggir oleh kerajaan khasnya kerajaan Persekutuan. Kebanyakan projek pembangunan tidak mendatang manfaat malah menyebabkan mereka kehilangan tempat kediaman dan sumber makanan. Jika anda tanya mereka samada tahu tentang bajet untuk 2019? Mereka tidak tahu. Tidak perlu tanya berapa peruntukan yang akan diberikan kepada negeri Sarawak, ramai tidak tahu.
Saya bukan ingin memandang rendah tentang kebijaksanaan rakyat, tetapi masalahnya adalah kebanyakan mereka tidak dapat akses kepada maklumat-maklumat daripada kerajaan. Walaupun betapa banyak laman web serta apps yang dibangunkan oleh kerajaan, tetapi penglibatan rakyat yang rendah tidak menunjukkan pencapaian yang memuaskan.
Maka, cabarannya adalah bagaimana kita mempertingkatkan penyertaan rakyat khasnya dari segi menggubal dasar, undang-undang sehingga ke pembentukan dasar. Penyertaan rakyat bukan satu slogan atau konsep yang mengelirukan. Ia adalah sebahagian dalam kehidupan penduduk di komuniti mereka.
Dengan sokongan kerajaan Persekutuan, saya yakin bahawa sebahagian daripada bajet yang diperuntukkan oleh kerajaan boleh dikhaskan untuk ditentukan oleh rakyat melalui penyertaan secara langsung seperti undi dan pungutan suara.
Penutup: Perlaksanaan Slogan penting
2019 akan menjadi satu tahun yang mencabar untuk kita semua memandangkan ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu. Sebagai sebuah negeri yang sentiasa bertekad mara ke depan, satu kerajaan perlu lebih dinamik untuk melaksanakan agenda reformasi yang telah dikemukakan. Perjalanan menuju ke masyarakat yang demokrasi masih jauh lagi. Hanya dengan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap politik dan dasar-dasar kerajaan, barulah boleh menggalakkan penyertaan rakyat secara aktif dalam proses membuat keputusan. Hanya dengan penyertaan rakyat yang aktif, demokrasi sebenar dapat dilaksanakan.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan, agensi dan badan berkanun kerajaan yang telah memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat di Machang Bubuk. Marilah kita sama-sama berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kita kepada rakyat.
Dengan ini saya mohon menyokong.