Teks Ucapan ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon Untuk Terima Kasih Kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

15 views
Skip to first unread message

Khai Loon Lee

unread,
May 22, 2017, 6:12:54 AM5/22/17
to

Ucapan Terima Kasih Kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang oleh ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon


22 Mei 2017


Salam sejahtera dan salam reformasi.


Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua DUN yang memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.


Laksanakan Agenda Reformasi dan Peduli Rakyat


Sejak dipilih sebagai ADUN Machang Bubuk pada tahun 2013, pelbagai usaha telah diambil untuk memastikan hasil perubahan politik di Pulau Pinang dapat dikecapi oleh rakyat khasnya penduduk di KADUN Machang Bubuk. Antaranya 10 perubahan ketara sejak 2013 adalah seperti berikut:-


  1. projek menaiktaraf rumah pam Permatang Tinggi yang bernilai RM6.7 juta;

  2. Hak rumah untuk 26 keluarga Kampung Permatang Tok Suboh dibela dengan prinsip rumah ganti rumah. Kerajaan negeri melalui pihak PDC akan membina rumah kepada setiap keluarga yang berdepan dengan pengusiran paksa.

  3. 130 buah lampu jalan dipasang sepanjang jalan lengkok Jalan Gajah Mati sehingga ke Tasek Junjong.


  1. Projek “Duit Kita Hak Kita” yang memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan kegunaan peruntukkan ADUN dan Ahli Parlimen.


  1. Parit Lencongan dari Taman Impian Indah sehingga ke Rumah Pam Permatang Tinggi yang bernilai RM7.3 juta sedang dilaksanakan


  1. Pengambilan balik tanah serta pembinaan kolam tadahan banjir di kawasan Alma juga sedang dilaksanakan.


  1. Projek pelebaran Jalan Bukit Minyak untuk menangani kesesakan lalulintas yang bernilai RM23 juta juga sedang dijalankan.

  2. Projek menaiktaraf parit tanah di kampong-kampung telah diadakan berperingkat-peringkat untuk mengatasi sistem saliran yang tidak sempurna di kawasan kampong.

  3. Pemasangan lampu isyarat dan pengurusan lalulintas yang berkesan untuk memastikan keselamatan lalulintas dapat dipertingkatkan

  4. Penubuhan COMBI di kawasan-kawasan wabak denggi untuk memastikan penglibatan penduduk dalam usaha membanteras denggi.


Cadangan Naik Taraf Infra yang Sediada


Terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang melaksanakan agenda dan projek yang memang dinanti-nantikan oleh rakyat. Sebahagian daripada projek yang dinyatakan di atas sudah siap atau sedang dijalankan. Demi menjadikan Machang Bubuk satu tempat yang lebih baik dan lestari, maka ada beberapa cadangan projek yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

Pertama, pembinaan pembahagi jalan di ROB Alma sehingga persimpangan Kota Permai perlu dilaksanakan memandang penambahan penduduk dan kenderaan di kawasan tersebut. Taman Bukit Minyak Utama, Taman Seri Permai, Taman Permai Jaya dan projek perumahan baru di sekitar kawasan telah menyebabkan bilangan kenderaan bertambah sibuk dan risiko kemalangan jalanraya juga meningkat.


Kedua, pembuangan sampah haram yang semakin serius. Tempat pembuangan sampah haram tersebut juga menjadi aktiviti pembakaran secara haram serta mencemari udara. Tindakan drastic perlu diambil agar usaha pembendungan dapat berjaya. Pemasangan removable CCTV perlu dipasang segera di kawasan-kawasan hotspot seperti Kampung Manggis ke Kampung Kuala Tasek yang pernah dilawat oleh YB Sungai Puyu pada bulan yang lepas. Tindakan yang drastik perlu diambil agar menangkap orang yang tidak bertanggungjawab. Tanpa penguatkuasaan yang tegas, masalah pembuangan sampah haram tidak dapat dibendung malahan pekerja-pekerja MPSP yang terpaksa membersihkan kawasan tersebut dan secara langsung akan menyebabkan kerja-kerja pembersihan bertambah berat.


Ketiga, rumah sampah dan unit kosong rumah yang terbiar menyebabkan tempat pembiakan nyamuk serta wabak denggi. Semasa saya turun ke gotong royong di Flat Taman Machang Bubuk baru-baru ini, saya mendapati setiap tingkat ada beberapa unit rumah yang kosong dan telah menjadi tempat pembuangan sampah haram. Rumah tersebut tidak dijaga malahan telah menjadi tempat pembiakan nyamuk serta kawasan wabak denggi.


Persoalannya adalah kenapa rumah-rumah kos rendah tersebut tidak didiami? Bukankah pemilik rumah tersebut adalah golongan berpendapatan rendah yang memerlukan rumah?


Cadangan saya kepada kerajaan negeri adalah mengenalpasti pemilik-pemilik rumah tersebut serta memberi notis kepada mereka untuk memanggil mereka bersihkan rumah serta menjaga harta benda mereka dengan baik. Sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan, maka tindakan rampas balik rumah tersebut adalah mustahak memandangkan mereka tidak menjaga harta benda sendiri malah menimbulkan kacau ganggu terhadap penduduk setempat. Walaupun gotong royong diadakan, tetapi ia tidak dapat membanteras kegiatan pembuangan sampah haram.


Pembangunan Untuk Siapa?


Segala pembangunan perlu berteraskan kepentingan orang awam dan bukannya sekelompok orang sahaja. Apakah jenis atau model pembangunan yang diingani oleh rakyat di Pulau Pinang? Kelestarian dan masa depan generasi akan datang perlu diambil kira apabila sesuatu pembangunan dirancang dan dilaksanakan.


Pembangunan yang dilaksanakan tidak semestinya dalam skala yang besar. Kegiatan ekonomi yang sediada di lokaliti tersebut perlu dimasukkan ke dalam mindset pembangunan lestari. Hanya dengan perancangan yang kecil serta model ekonomi yang autonomi baru membolehkan interaksi yang berperikemanusiaan serta membebaskan rakyat daripada kesusahan.


Empty Home Tax


Usaha kerajaan negeri dalam menangani spekulasi hartanah seperti meningkatkan harga siling untuk warga asing membeli rumah bertanah dari RM2 juta hingga ke RM 3 juta, 1.5% - 3% levi yang dikenakan ke atas warga asing yang membeli rumah berstrata memang dialu-alukan. Namun, usaha tersebut tidak cukup memadai memandangkan kejatuhan nilai mata wang ringgit yang teruk serta permintaan untuk rumah-rumah mampu milik yang kian meningkat.

Isu spekulasi nilai hartanah di Pulau Pinang memang sering jadi isu hangat dalam Sidang DUN. Saya pernah mencadangkan supaya kerajaan boleh memperkenalkan cukai rumah kosong “Empty Home Tax” ke atas rumah-rumah kosong yang tidak dihuni oleh pemilik. Masalah ini banyak berlaku di kondominium yang bernilai tinggi kerana kebanyakan pemiliknya adalah warga asing yang hanya membeli rumah tersebut sebagai pelaburan atau disewa. Namun sekiranya pasaran tidak mempunyai kuasa beli atau kemampuan untuk membayar sewa yang tinggi, maka ia dikosongkan begitu sahaja.


Kedaulatan Makanan


Walaupun sektor pertanian dan asas tani bukan sektor utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi pendapatan per kapita (GDP) di Pulau Pinang, tetapi pertanian merupakan asas kepada kekuatan sesebuah negara dan negeri. Kedaulatan makanan perlu diusahakan agar kita kurangkan kebergantungan kepada makanan import.


Maka, pertanian tidak patut diabaikan atau digantikan dengan sector pembinaan hartanah. Isu pembangunan perumahan, perniagaan dan perusahaan di tanah-tanah pertanian seperti sawah padi perlu ditangani dengan berhati-hati. Jangan gadaikan masa depan dan kedaulatan makanan negara kita dengan semata-mata mengejar pembangunan yang tidak realistic dan merugikan. Sebagai sebuah negeri yang kecil dan mempunyai tanah yang terhad, sector pertanian perlu dijaga dan diberi bantuan yang sewajarnya agar petani dan pekebun dapat menjadi tunggak utama untuk menjamin keselamatan makanan kita.


Memberdayakan Wanita


Briged Wanita yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri memang memainkan peranan penting dalam menggalakkan penglibatan wanita dalam politik serta memberdayakan wanita.


Briged Wanita perlu diberikan peruntukan untuk mengadakan aktiviti. Pada tahun 2016, setiap ADUN telah diberikan peruntukan sebanyak RM30 ribu untuk penganjuran program-program yang memberdayakan wanita. Usaha kerajaan negeri melalui PWDC memang jelas dan berkesan khasnya pemimpin wanita telah diberikan peluang untuk menganjurkan program untuk wanita. Konsep dari wanita, untuk wanita atau by the women and for the women memang selaras dengan tema hari wanita sedunia iaitu berani kerana perubahan.


Maka saya menyeru agar kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian peruntukan tahunan tetap kepada Briged Wanita untuk mengadakan program.


Perubahan politik


Perubahan politik tidak akan menjadi reality tanpa penglibatan rakyat. Proses empowerment kepada penduduk amat penting untuk mengubah sikap dan mengetahui hak asasi manusia. Setiap penduduk adalah ejen perubahan untuk mendokong dan merealisasikan agenda reformasi.


Rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada Pakatan Harapan. Keberanian rakyat untuk membuat perubahan sejak 2008 perlu diberikan keyakinan bahawa pilihan mereka adalah bijak dan betul kerana kehidupan mereka adalah bertambah baik dan bukannya dibebankan dengan pelbagai kos sara hidup yang tinggi.


Machang Bubuk seringkali menggalakkan penduduk tempatan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses membuat keputusan termasuk membuat rundingan untuk mencari jalan penyelesaian ke atas pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk. Penubuhan Badan Bertindak Penebatan Banjir serta Badan Bertindak Keselamatan Lalulintas adalah contoh-contoh begaimana kebijaksanaan tempatan dapat digunapakai dalam usaha menangani masalah.


Dengan dialog serta perbincangan yang membina, rakyat boleh menyuarakan pandangan dan cadangan mereka secara langsung kepada pihak berkuasa tempatan dan pembuat dasar. Suara rakyat tidak patut diperlekeh malah perlu dikaji dengan serius agar semangat sense of belonging dalam komuniti dapat dipupuk.


Smart City dan e-Voting


Pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) bukan sekadar imej atau slogan sahaja. Urustadbir CAT perlu dirasai dan dinikmati oleh rakyat dalam urusan setiap hari. Maka, kerajaan negeri boleh menggunakan aplikasi baru internet seperti sistem e-voting untuk membolehkan rakyat menyuarakan pandangan dan mengundi tentang sesuatu dasar baru atau pembangunan baru yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan. Dengan adanya sistem e-voting ini, kerajaan negeri juga boleh mendengar pandangan dan cadangan orang ramai serta menyempurnakan dasar kerajaan dan mencapai sasaran penglibatan rakyat dalam menuju ke negeri yang pintar.


Baru-baru ini, apabila saya mengunjungi pusat penjaja dan pasar awam, ada penjaja yang mengadu kepada saya tentang masalah yang dihadapi oleh mereka jika MPSP melarang penjaja tempatan untuk mengupah pekerja asing sebagai pembantu di gerai. Penjaja-penjaja mengadu bahawa dasar baru tersebut akan memberi tamparan yang kuat ke atas perniagaan mereka yang kini sudah kian mencabar malah merosot akibat kos sara hidup yang tinggi. Mereka berasa kerajaan dan orang yang membuat keputusan tersebut tidak mengambil kira kesusahan dan kesulitan penjaja untuk mendapat pekerja tempatan, perniagaan bermodal kecil tidak mampu untuk mengupah pekerja sambilan tempatan dan sebagainya.


Kadang-kala, apabila saya sedang makan di pusat penjaja, ada penduduk datang dan memberitahu kepada saya bahawa dia sokong usaha kerajaan negeri dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang akan membina LRT untuk kurangkan kesesakan lalulintas. Mereka berpendapat bahawa pembangunan ekonomi penting dan penambakan laut adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan demi masa depan negeri Pulau Pinang.


Dua pengalaman yang saya kongsikan tadi mempunyai satu kesamaan iaitu kedua-dua pengalaman menunjukkan bahawa rakyat di akar umbi memang mempunyai pandangan dan suara yang berbeza tentang sesuatu dasar atau projek yang akan dibuat oleh kerajaan. Pelbagai idea dan komen tentang urusan sosial dan masyarakat daripada penduduk boleh dikatakan kebijaksanaan tempatan atau “local wisdom” yang boleh digunapakai oleh kerajaan untuk memastikan sesuatu keputusan dibuat dengan mengambil kira segala aspek dan keperluan.


Dalam Dasar Mengupah Pekerja Warganegara Asing/Pemaustautin Tetap (PR) Sebagai Pembantu di Gerai Perniagaan Milik Majlis, Premis Perniagaan dan Penjaja yang diperkenalkan oleh MPSP, reaksi daripada stakeholders amat besar kerana dasar tersebut akan mempengaruhi atau merosotkan bisnes mereka. Sama juga Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang merupakan satu pelan mega projek yang akan mempengaruhi masa depan rakyat dan negeri Pulau Pinang.


Sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan tempatan seperti MPSP boleh membentangkan cadangan dasar baru tersebut dengan menjelaskan matlamat dan cara perlaksanaan dasar tersebut di dalam satu platform aplikasi iaitu e-Voting, maka ia dapat dijadikan satu platform untuk mengumpul maklum balas atau reaksi daripada stakeholders. Demi urustadbir CAT, sistem e-Voting akan membolehkan kerajaan mengumpul pandangan dan mengutip suara orang ramai dan stakeholders dengan berkesan.


Cara ini bukan sekadar membuka ruang kepada orang ramai untuk memahami segala dasar baru yang bakal dilaksanakan, ia juga membolehkan kerajaan menguasai kecenderungan dan suara rakyat dengan lebih menyeluruh. Dengan itu, kredibiliti kerajaan juga tidak akan terjejas atau dikritik oleh sebahagian orang bahawa perlaksanaan dasar kerajaan yang tidak prihatin dan kurang sensitive terhadap kesusahan rakyat.


Hostel Pekerja Asing


Dalam isu pembinaan hostel pekerja asing yang mendapat bantahan daripada penduduk tempatan. Masalahnya bukan sokong atau bantah pembinaan hostel pekerja asing. Isunya juga bukan dibina di kawasan DUN yang ditanding oleh KEADILAN-Pakatan Harapan atau UMNO-BN. Persoalan yang paling penting adalah adakah proses public consultation telah dibuat terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan dibuat? Adakah pihak berkuasa tempatan atau pemaju telah mengadakan sesi penerangan kepada penduduk atau stakeholders tentang isu-isu seperti kebersihan, keselamatan dan pengurusan lalulintas yang amat dikhuatiri oleh mereka?


Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu ada satu pakej di mana semua maklumat tentang projek pembinaan hostel pekerja perlu dibuka dengan telus kepada semua stakeholders. Proses rundingan dengan penduduk perlu dibuat sehingga mencapai persefahaman dan semua kerisauan penduduk diatasi. Sekiranya kerajaan berpegang dengan kaedah top down, maka masalah bantahan daripada penduduk akan terus berlaku dan menimbulkan kesulitan dalam perlaksanaan projek.


Hak kediaman untuk pekerja perlu dilindungi. Hak untuk tahu bagi penduduk perlu dihormati!


Kita perlu tukar minda dalam soal menangani aduan atau bantahan daripada penduduk. Kita perlu tegakkan pemikiran baru dalam proses membuat keputusan di Pulau Pinang untuk memastikan perubahan yang dicapai sejak 2008 dapat diteruskan.


Kesimpulan


Izinkan saya menggunakan satu konsep sebagai kesimpulan untuk perbahasan saya. Konsep itu adalah “mutualism”. Pada asalnya konsep mutualism adalah satu konsep ekosistem semulajadi. Berbanding dengan undang-undang rimba, mutualism adalah pergantungan di antara spesis serta manfaat bersama untuk hidup bersama. Selepas itu, konsep ini telah berkembang sehingga ke pembangunan komuniti iaitu penduduk-penduduk di dalam komuniti yang tidak mengira jantina, kaum, warga negara dan umur di mana tidak semestinya jatuh ke dalam hubungan persaingan yang bersaing untuk memperolehi sumber yang amat terhad.


Saya berpendapat kita boleh cuba untuk mengamalkan konsep mutualism di dalam sistem pentadbiran, perundangan kita. Seperti yang saya sentuh tadi, amalan bottom up, penglibatan masyarakat secara terbuka adalah matlamat muktamad yang kita semua berusaha untuk mewujudkan satu cara yang lestari untuk hidup dalam komuniti kita. Akhirnya, Pulau Pinang akan mencapai tanah dapat diguna dengan tahap optima, barang-barang dapat diguna dengan sebaik-baiknya dan bakat-bakat dapat memainkan peranan yang sehebat-hebatnya.


Sekian, terima kasih. Saya pohon untuk menyokong.




--
LEE Khai Loon
012 - 225 8607
Organizing Secretary of KEADILAN Penang
ADUN N14 Machang Bubuk
Twitter @leekhailoon
Facebook www.fb.com/leekhailoon

Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages