Kenyataan Media ADUN Machang Bubuk merangkap Setiausaha Pengelola KEADILAN Pulau Pinang, Lee Khai Loon pada 21 March 2017.
Akta Perhimpunan Aman Menjadi Alat untuk Menyekat Perbahasan Demokrasi dan Hak Berhimpun
Pulau Pinang –Pihak polis telah menolak permohonan perhimpunan perbahasan di antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia , Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz. Permohonan tersebut ditolak atas empat alasan iaitu lewat mengemukakan borang pemberitahuan seperti mana yang dinyatakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
ADUN
Machang Bubuk, Lee Khai Loon berpendapat
bahawa pihak polis telah menggunakan Akta Perhimpunan Aman sebagai alasan untuk
menyekat perbahasan demokratik seperti ini. Empat alasan yang dikemukakan oleh pihak
polis tidak munasabah sama sekali. Pihak polis bukan sahaja tidak mengambil posisi
neutral, malah menjadikan Akta Perhimpunan Aman sebagai satu alat untuk menyekat
demokrasi dan
perbahasan rasional.
Matlamat asal penggubalan Akta Perhimpunan Aman adalah untuk melindungi hak dan menyelaras perhimpunan. Akta ini tidak patut digunakan untuk menghalang ataupun menyukarkan proses perhimpunan. Lagipun, perbahasan Tun Dr Mahathir dengan Dato’ Seri Mohamed Nazri diadakan di tempat yang tertutup dan ianya bukanlah satu ceramah umum. Justeru itu, polis tidak seharusnya menolak permohanan perbahasan ini atas alasan-alasan seperti pemberitahuan sebelum 10 hari, perintah dan keselamatan tempat awam, pemilihan sekolah sebagai tempat penganjuran, tidak mematuhi peraturan ataupun bantahan daripada orang berkepentingan.
Akta Perhimpunan Awam dilihat telah menjadi satu alat untuk penganiayaan politik oleh pihak berkuasa terhadap musuh politik mereka. Dari himpunan “Kita Lawan”, “Tangkap M01” sehingga perhimpunan aman oleh Bersih, ramai aktivis masyarakat sivil, Ahli Parlimen dan ADUN daripada parti pembangkang telah disiasat kerana menyertai perhimpunan aman. Ahli Parlimen dan ADUN yang disiasat kemungkinan akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan ADUN, malahan juga mungkin dinafikan hak untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon mencadangkan agar pihak polis harus memainkan peranan dalam menjaga ketenteraman semasa penganjuran perbahasan yang aman. Pihak polis bukan ahli politik dan bukan juga pengadil yang boleh menentukan nasib perbahasan politik ini. Perbahasan politik adalah unsur penting dalam negara demokrasi. Semasa pilihanraya di negara-negara demokrasi, perbahasan diadakan supaya rakyat boleh mengetahui ideologi dan pandangan calon-calon dan ahli-ahli politik. Proses ini membolehkan rakyat memahami ideologi dan dasar mereka dan berupaya untuk buat pilihan terbaik semasa pilihan raya.
Oleh itu, saya mendesak pihak polis agar tidak menjadi pembantut demokrasi, tidak menjadi alat kepada parti pemerintah malahan tidak menjadikan Malaysia sebagai negara polis. Sebaliknya, pihak polis harus bertugas dengan profesional, neutral serta menghormati semangat demokrasi untuk membina budaya perbahasan demokrasi dan pemikiran rasional.
Lee Khai Loon
ADUN Machang Bubuk
Setiausaha Pengelola Parti KEADILAN Rakyat Pulau Pinang