Teks Perbahasan Bajet 2017 Oleh ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon

15 views
Skip to first unread message

Khai Loon Lee

unread,
Nov 17, 2016, 8:15:33 AM11/17/16
to

Perbahasan Bajet 2017 Oleh ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon pada 17 November 2016 (Khamis) di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

 

Salam sejahtera, salam Bersih, salam reformasi.

 

Terima kasih kepada Dato Yang Dipertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Enakmen bagi pembekalan dan anggaran pembangunan bagi tahun 2017 yang telah berjaya dibentangkan oleh YAB Ketua Menteri pada hari Selasa yang lalu.

 

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri kerana berjaya mencatat bajet lebihan dengan jumlah lebihan sebanyak RM574 juta bagi tempoh 8 tahun dari 2008-2015. Aset Pulau Pinang juga digandakan dalam tempoh 8 tahun dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion. Dengan tatakelola kerajaan yang cekap, accountable dan telus (CAT), pengurusan kewangan jauh lebih baik dengan kerajaan Persekutuan yang gagal dalam pengurusan ekonomi khasnya masalah skandal 1MDB serta hutang negara yang meningkat setiap tahun. Akibat buruk daripada urustadbir yang menyeleweng serta rasuah, rakyat perlu tanggung pelbagai kesan buruk seperti cukai yang zalim GST, kenaikan harga barangan keperluan dan nilai mata wang RM jatuh merundum.

 

Keadaan ekonomi sedunia semakin mencabar dan tidak menentu dengan pemilihan Donal Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Sekiranya Donald Trump menaikkan tariff ke atas semua produk luar negara serta menarik balik kilang-kilang yang berada di luar negara untuk balik ke Amerika Syarikat, sejauh manakah Pulau Pinang akan terkesan daripada dasar baru tersebut?

 

Terdapat banyak pelabur dan kilang-kilang dari Amerika Syarikat yang memilih Pulau Pinang sebagai tapak pelaburan mereka atas beberapa factor. Namun demikian, kebelakangan ini terdapat pembuangan pekerja, Seagate juga tutup kilang di Batu Kawan serta pembuangan pekerja. Sejauh manakah Pulau Pinang bersedia dengan situasi yang mencabar seperti ini? Berapakah banyak lagi kilang-kilang seperti Seagate yang akan tutup dan meninggalkan Pulau Pinang? Apakah langkah-langkah alternative yang diambil oleh kerajaan negeri misalnya menarik pelabur dari negara China?

 

Usahawan Start-up

 

Selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai satu negeri keusahawanan yang berpaksikan kerjasama di antara sector awam, swasta dan rakyat agar memaksimakan pulangan kewangan dan memberikan impak sosial yang tinggi, saya mencadangkan supaya kerajaan negeri tumpu pada pembangunan usahawan start-up yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan orang muda dan wanita.

 

Dalam jawapan soalan bertulis saya yang ke-9, usaha utama yang diambil oleh kerajaan untuk membangunkan usahawan start-up lebih tumpu kepada pinjaman melalui Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) dan Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) yang baru diperkenalkan tahun 2015. Bilangan usahawan start-up yang berdaftar dengan PDC di seluruh Pulau Pinang ada seramai 2368 orang.

Berdasarkan jawapan tersebut, saya mendapati bilangan usahawan tersebut adalah ramai tetapi keperluan untuk analisis terhadap jenis usahawan start-up yang berdaftar tersebut. Apa jenis usahawan yang diceburi dan berapakah yang masih berdaya saing serta mampu untuk bertahan. Dalam era pembangunan ekonomi digital, adakah usahawan start-up tersebut dilengkapi dengan pengetahuan dan ilmu tersebut? Kesemua ini perlu dikaji dan ditangani dengan baik agar satu persekitaran yang mesra terhadap usahawan start-up dapat diwujudkan.

 

Pembahagian Peruntukan ADUN Mengikut Keluasan Kawasan dan Bilangan Pengundi

 

Saya pernah membangkitkan tentang pengagihan peruntukan kerajaan kepada ADUN perlu berdasarkan keluasan KADUN serta bilangan penduduk yang ada di dalam kawasan tersebut. Bagi ADUN-ADUN yang mempunyai banyak kampong-kampung, peruntukan banyak digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang tidak disediakan oleh PBT. Contoh penebangan pokok kelapa atau pokok yang mengancam keselamatan orang awam, kebanyakan kawasan kampong serta JKKK akan bergantung kepada peruntukan ADUN. Padahal untuk ADUN di kawasan Timur Laut seperti KOMTAR, kesemua penyelenggaran serta pembinaan infrastruktur adalah di bawah tanggungjawab MBPP. Selain itu, masalah seperti pembersihan am di kawasan perkampungan atau kampong tersusun yang kebanyakannya terletak di kawasan Seberang Prai juga tidak dibuat oleh PBT. Maka pihak ADUN perlu menggunakan peruntukan yang amat terhad untuk membaiki jalan, longkang, lampu jalan dan pembersihan.

 

Pembahagian peruntukan mengikut bilangan pengundi serta keluasan kawasan khasnya kawasan kampong yang tidak tertakluk di bawah pentadbiran PBT perlu peruntukan yang lebih. Adalah tidak adil sekiranya kawasan tersebut tidak diberi peruntukan yang lebih kerana kos pembinaan jalan dan parit serta penyelenggaran infrastruktur adalah lebih tinggi. Maka saya mencadangkan supaya kerajaan akan mempertimbangkan pengagihan peruntukan ADUN mengikut keluasan dan bilangan penduduk.

 

Pembangunan infrastruktur

 

Dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalulintas serta mempertingkatkan keselamatan lalulintas, beberapa projek pelebaran jalan dijangkakan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri. Antaranya projek yang sedang dinanti-nantikan oleh rakyat adalah pembinaan pelebaran Jalan Bukit Minyak-Alma yang hanya dijangka bermula pada suku pertama 2017. Cadangan projek tersebut telah dibuat sebelum PRU13 tetapi sehingga 2016, proses perlaksanaan projek masih perlahan disebabkan proses pengambilan balik tanah yang masih belum selesai sehingga hari ini.   

 

Setiap hari ADUN dan Ahli Parlimen ditanya oleh pengguna jalanraya tentang bila projek tersebut akan bermula. Beberapa kali sidang media telah diadakan untuk memberi perkembangan terkini kepada orang ramai. Namun, maklumat yang diperolehi sering bertukar sehingga wakil rakyat dianggap penipu kerana memberi maklumat yang tidak tepat kepada orang ramai. Kredibiliti wakil rakyat kawasan juga terjejas apabila apa yang disampaikan kepada orang ramai tidak berlaku seperti yang dinyatakan.

 

Selain itu, jawapan soalan bertulis saya ke-7 berkenaan dengan status cadangan pembinaan slip road di Jalan Seladang untuk menangani kesesakan lalulintas juga terpaksa ditangguhkan berikutan keputusan Jawatankuasa Tanah Negeri menangguhkan pengambilan balik tanah kerana kos yang terlalu tinggi iaitu RM7 juta.

 

Memandangkan cabaran utama bagi kedua-dua projek pelebaran jalan dan pembinaan slip road tersebut adalah pengambilan balik tanah, maka saya mencadangkan supaya kerajaan negeri perlu mengkaji semula Akta Pengambilan Balik Tanah agar pampasan yang diminta oleh tuan tanah tidak melampau atau dijadikan kesempatan untuk mengaut keuntungan daripada pengambilan balik tanah.

 

Selain daripada pengambilan balik tanah, factor lain yang menyebabkan sesuatu projek naiktaraf infrastruktur tidak dapat dijalankan dengan lancar adalah disebabkan dasar kerajaan negeri yang menetapkan kos pengalihan utiliti yang akan ditanggung oleh syarikat utility sendiri. Walaupun dasar tersebut seolah-olah menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan dan bertindak adil kepada semua syarikat utility, tetapi dasar tersebut telah menyebabkan masa dan birokrasi untuk pemindahan utility bertambah panjang dan rumit. Contoh yang jelas adalah projek pembinaan parit lencongan (by-pass channel) di Taman Impian juga tergendala kerana perlu menunggu TNB untuk mengalihkan kabel 33KV di Jalan Rozhan yang sehingga kini masih belum mendapat kelulusan daripada pihak TNB.

 

Saya ingin mencadang supaya pembayaran pengalihan utility akan dibiayai dulu oleh kerajaan dan dibayar balik oleh syarikat utility kemudian. Asalkan projek tersebut boleh jalan, maka kerajaan negeri akan menjadi lebih efisyen dan kos tersebut akan dikutip balik.

 

Rampas balik tanah

 

Masalah sampah haram dan pusat hiburan berunsur judi semakin berleluasa serta mengacam keselamatan awam. Namun demikian, kerajaan negeri seolah-olah tidak dapat menjalankan tindakan penguatkuasaan yang berkesan memandangkan undang-undang yang sedia ada mempunyai banyak kelemahan dan diambil kesempatan oleh para pengusaha atau pemilik tanah kosong.

 

Mengikut jawapan soalan bertulis saya yang ke-15, bilangan pusat hiburan berunsur judi yang telah diambil tindakan oleh MBPP sepanjang tahun 2016 adalah sebanyak 14, manakala bagi MPSP adalah sebanyak 360. Jumlah tindakan yang diambil oleh PDRM adalah 963 kes. Bilangan tersebut amat tinggi dan menunjukkan usaha tersebut tidak memadai serta tidak dapat membanteras aktiviti haram tersebut. 

 

Maka tindakan tegas dan drastic perlu diambil ke atas sesiapa yang tidak bertanggungjawab tersebut. Dengan mengenakan hukuman berat seperti tindakan rampas tanah oleh pihak kerajaan, maka golongan tersebut akan menjaga hartanah mereka serta lebih berwaspada apabila menyewakan rumah atau kedai mereka kepada pengusaha pusat hiburan yang berunsur judi.  

 

Saya pernah bangkitkan perkara ini di sidang DUN yang lepas. Namun tiada sebarang tindakan positif yang diambil oleh pihak kerajaan sehingga kini. Saya berharap kerajaan negeri akan menunjukkan iltizam politik dalam menangani masalah yang semakin serius ini. Peranan wakil rakyat bukan sekadar menunjukkan masalah tetapi juga perlu membuat kritikan yang membina supaya masalah tersebut dapat diselesaikan dengan sempurna.

 

Dengan ini saya meminta kerajaan negeri untuk mangkaji dan menggubal undang-undang yang sediada untuk merampas balik tanah ke atas tanah-tanah yang gagal dijaga, dilindungi atau melanggari syarat kegunaan tanah sehingga tanah tersebut menjadi tempat pembuangan sampah haram, pusat hiburan berunsur judi yang mengancam keselamatan orang awam serta kesejahteraan sosial.

 

Rancangan Tebatan Banjir yang berkesan

 

Syabas dan tahniah kepada keraaan negeri yang memperuntukkan wang yang paling besar sebanyak RM220 juta untuk pencegahan banjir. Projek tebatan banjir perlu dipercepatkan. Saya mengalu-alukan usaha kerajaan negeri dan JPS telah menghasilkan satu pelan induk perparitan SPT untuk memastikan kerja-kerja tebatan banjir dapat dirancang sebelum sesuatu pembangunan dilaksanakan pada masa depan. Pelan induk amat comprehensive di mana semua aspek telah diambil kira dalam laporan tersebut. Di samping itu, cadangan-cadangan yang konstruktif untuk dilaksanakan supaya pencegahan banjir dapat dijalankan dengan menepati sasaran serta efektif. Maka, saya berharap satu jawatankuasa pemandu yang terdiri daripada wakil rakyat, agensi kerajaan, JPS, PBT dan pakar-pakar untuk membincang dan melaksanakan cadangan-cadangan tersebut dalam jangkamasa yang munasabah.

 

Antara cadangan-cadangan yang dibuat dalam pelan induk perparitan SPT, Sungai Kilang Ubi, pemasangan pam di pintu air PDC dan sebagainya. Punca berlakunya banjir di Taman Sukun, Taman Amra, Kampung Permatang Tok Suboh adalah pintu air PDC yang tutup apabila air laut pasang. Cadangan yang dikemukakan adalah pemasangan pam air di pintu air PDC tersebut agar air sungai boleh dipam keluar apabila air laut pasang dan air di kawasan perumahan yang berisiko tinggi tersebut dapat mengalir keluar.

 

Selain itu, penyelenggaraan Sungai Kilang Ubi yang telah lama tidak dijalankan khasnya usaha untuk meninggikan tebing dan memperbaiki tebing yang runtuh. Lembangan Sungai Kilang Ubi telah dibangun dengan pesat dan perlu mengadakan rancangan tebatan banjir agar tiada banjir di kawasan Kampung Bukit Minyak dan tempat yang rendah di sepanjang sungai tersebut.

 

Beberapa projek tebatan banjir sedang dijalankan di KADUN Machang Bubuk termasuk projek parit lencongan atau lebih dikenali sebagai by-pass channel dan naik taraf rumah pam di Permatang Tinggi juga dinanti-nantikan. Semalam saya telah berdialog dengan pengilang-pengilang di Taman Industri Ringan Permatang Tinggi yang menghadapi banjir serta air tidak dapat surut sehingga air di kawasan persekitaran surut. Mereka menaruhkan harapan tinggi tentang projek menaiktaraf rumah pam Permatang Tinggi.

 

RTB Lembangan Sungai Junjong perlu dijalankan kerana kapasiti sungai tersebut semakin kurang akibat daripada tiada peruntukan daripada kerajaan Persekutuan. Sebenarnya RTB Sungai Junjong sudah dipohon sejak Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), namun permohonan telah dibuat tetapi sehingga kini yang sudah sampai RMK11, lebih 10 tahun masih belum ada sebarang maklum balas yang positif daripada kerajaan Persekutuan. Masalahnya adalah setiap kali hujan, air sungai akan melimpah ke kawasan yang berdekatan dan menyebabkan banjir. Mengikut pemerhatian di tapak, tebing sungai tersebut adalah rendah dan hanya tinggal 1 kaki sahaja apabila hujan lebat. Keadaan amat merbahaya sekiranya tebing sungai tidak dinaikkan dan diselenggara.

 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang mengeluarkan bajet untuk pembinaan kolam tadahan di Alma yang begitu penting untuk memastikan air di hulu tidak mengalir terlalu cepat ke kawasan perumahan. Sekali lagi saya ingin memohon kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan kolam tadahan yang dwi fungsi di mana ia juga boleh dijadikan tempat rekreasi untuk penduduk tempatan.  

 

Projek perumahan di Kampung Manggis yang masih belum siap

 

Saya ingin membangkitkan tentang isu perumahan di Kampung Manggis sebanyak 61 buah rumah yang masih belum siap sepenuhnya dan progres yang begitu lembap. Untuk makluman dewan yang mulia, satu projek perumahan rakyat yang telah  mendapat kelulusan Kebenaran Merancang oleh Kerajaan Negeri di bawah kontraktor Syarikat Perumahan Negara Berhad  (SPNB) telah mula dibina pada Febuari 2015 dan dijangka siap pada Febuari 2016. Pada 3 November 2016, satu lawatan tapak serta siasatan telah dilakukan oleh pegawai saya mendapati hanya 20 buah rumah yang sedang dibina dan masih belum siap sepenuhnya. Bukan sahaja hanya 20 buah rumah sahaja yang dibina malahan segala infrastuktur seperti jalan, longkang dan kolam pembentung masih belum disiapkan. 

 

Seperti yang sedia maklum projek perumahan ini adalah bertujuan untuk memindahkan penduduk di Kg Manggis yang sering terjejas apabila berlakunya banjir kilat. Harapan penduduk yang terlibat amatlah tinggi namun kita lihat pihak SPNB dan Kerajaan Persekutuan seperti acuh tidak acuh dengan kelewatan menyiapkan projek perumahan tersebut. Saya ingin bertanyakan apakah yang telah berlaku sehingga kontraktor yang dilantik oleh pihak SPNB tidak dapat menyiapkan projek tersebut dan apakah tindakan yang telah diambil oleh SPNB terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek yang diberikan ini?  Saya juga ingin bertanya bilakah baki 41 buah rumah ini akan didirikan dan disiapkan oleh kontraktor dan SPNB? 

 

Kegagalan pihak kontraktor menyiapkan projek ini telah menyebabkan kesukaran kepada mereka yang terlibat. Apabila berlaku banjir kilat mereka menjadi mangsa apabila terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir serta terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda serta menjejaskan pendapatan mereka kerana tidak dapat keluar bekerja. Masalah kesihatan juga akan menjadi lebih serius apabila air banjir tersebut masuk ke rumah kerana ianya bercampur dengan najis dan sebagainya. Anak -anak mereka tidak dapat ke sekolah kerana apabila rumah mereka dinaiki air semua pakaian dan buku sekolah mereka basah.

 

Saya amat berharap pihak kontraktor dan SPNB lebih bertanggungjawab untuk memastikan rumah rumah ini siap dibina sepenuhnya dan diserahkan kunci kepada pembeli agar mereka dapat berpindah serta mendapat keselesaan yang sewajarnya. Sekali lagi saya tegaskan disini bahawa pihak kontraktor dan SPNB perlu memastikan masalah kelewatan ini dapat diatasi dan rumah rumah ini disiapkan serta diserahkan kepada pembeli supaya mereka dapat berpindah dan tinggal dalam keadaan yang lebih selesa. 

 

Saya juga memohon pihak berkuasa tempatan agar menjalankan pemantauan supaya pihak kontraktor menjalankan kerja - kerja mengikut garis panduan Kebenaran Merancang yang telah dikeluarkan.

 

Loji rawatan kumbahan ditebusguna

 

Mengikut jawapan YB Padang Kota kepada soalan bertulis yang ke-11 saya, terdapat 107 tapak loji rawatan kumbahan yang tidak diguna pakai di seluruh Pulau Pinang. Antaranya 78 tapak didaftar hakmilik kepada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan diuruskan oleh Indah Water IWK. Manakala sebanyak 29 tapak didaftar hakmilik atas nama PBT.

 

Masalah yang di hadapan kita ini adalah loji kumbahan yang tidak digunapakai atau terbiar begitu sahaja telah menjadi tempat semak samun, pembiakan nyamuk, ular dan timbul kacau ganggu kepada penduduk setempat. Misalnya di Taman Selamat dan Taman Nirwana, loji kumbahan tersebut telah menjadi tempat yang tidak diselenggara dan merbahaya kepada budak-budak kecil yang mencerobohi masuk ke dalam loji sekiranya terjatuh ke dalam loji yang terbuka.

 

Kedua-dua loji kumbahan tersebut adalah dimiliki oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan. Penduduk tempatan juga membuat permohonan agar tempat tersebut dapat ditebusguna untuk kegunaan tempat rekreasi. Namun demikian, mengikut surat yang dikeluarkan oleh JPP, penduduk perlu membuat permohonan serta membayar sewa untuk kegunaan loji tersebut.

 

Masalahnya adalah penduduk tidak mampu untuk sewa dan kos tebusguna juga memerlukan kos yang tinggi. Maka, saya mencadangkan kepada PBT agar boleh mempertimbangkan untuk menebusguna loji kumbahan yang terbiar tersebut agar ia boleh dijadikan satu tempat rekreasi yang boleh diguna oleh semua penduduk di Taman Selamat dan kawasan sekitarnya. Cadangan lain juga boleh dibuat tempat letak kereta untuk menampung keperluan yang tinggi untuk kegunaan pasar awam Taman Selamat.

 

Cabaran climate change

 

Saya ingin menarik perhatian dewan berhubung masalah perubahan iklim atau climate change yang akan menjejaskan kehidupan rakyat. Kita semua tahu alam semulajadi yang telah wujud sejak sekian lama menjadi tempat tinggal bagi semua makhluk di muka bumi. jika kita imbau masa lalu, kehidupan kita di muka bumi ini amat selesa dengan udara yang nyaman, air sungai yang bersih dan menyegarkan namun pada hari ini kita dapat rasakan banyak perubahan telah berlaku dimana kualiti udara semakin berkurangan, air sungai sudah mula bewarna coklat, musim panas yang begitu terik dan ianya akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada kehidupan kita serta menjejaskan hidupan lain serta pelbagai sektor terutama pertanian. 

 

Pelbagai punca boleh dikaitkan dengan keadaan ini seperti sikap kita sebagai khalifah di muka bumi ini yang seakan tidak peka dengan persekitaran dan alam semulajadi. 

 

Saya  ingin memetik satu kajian yang telah dijalankan oleh Professor Dr.Subramaniam a/l Karuppannan, Ketua Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam yang mana telah membentangkan satu kajian khusus tentang kesan terhadap perubahan iklim di negara kita yang bertajuk Perubahan Iklim dan Kesan Kepada Kesihatan Persekitaran Climate Impacts on Environmental Health.

 

Kesan berbagai perubahan iklim iaitu

 

1. Kesan-kesan dari gelombang haba 

 

2. Kesan Daripada Peristiwa Cuaca Melampau

 

3. Kesan Daripada Kualiti Udara Rendah 

 

4. Kesan Kepada Penyakit Sensitif Iklim

 

Di dalam kajian itu juga ada menyatakan risiko yang bakal dihadapi antaranya ialah

i. meningkatkan penyakit/morbiditi (penyakit) & 

ii. mortaliti (kematian). 

iii. Ribut risiko banjir teruk

iv. Angin kuat dan 

v. Ancaman terhadap orang dan harta benda.

 

Risiko ini adalah kerana suhu panas yang meningkatkan kepekatan pencemaran udara dan air yang tidak sihat dengan kesan kesihatan manusia berkaitan sistem pulmonari dan lain-lain berkaitan.

 

Perubahan suhu juga mengubah corak serta peristiwa melampau yang boleh meningkatkan penyebaran beberapa penyakit berjangkit, melalui udara, air dan vektor penyakit.

 

Oleh yang demikian saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar memandang serius dengan perubahan iklim ini dan membentuk polisi serta implementasi strategi yang mengambilkira penilaian polisi kesihatan melalui kaedah dan strategi

 

1. Variasi dalam keberkesanan dan kesesuaian berkenaan adaptasi mengikut kawasan dan kumpulan demografi

 

2. Bagaimana perlu mengeksploitasi peluang dan mengurangkan risiko kesihatan 

 

3. Perbelanjaan atau kos adaptasi dan potensi serta akibatkan perubahan iklim (contoh penggunaan penyaman udara) 

 

4. Keperluan adaptasi berbagai faktor seperti perubahan iklim

 

5. Impak akibat perubahan sistemik alam semulajadi dalam pelbagai sektor yang terlibat dalam pengurangan impak kepada kesihatan awam 

 

6. Salah adaptasi polisi yang meningkatkan kesan kepada kesihatan dari perubahan iklim termasuk kesan negatif serious perlu diambil kira.

 

Secara kesimpulannya, 'Mencegah lebih baik daripada mengubati'.

 

Spekulasi hartanah

 

Seringkali saya dengar aduan daripada orang muda bahawa harga rumah terlalu mahal. Selepas tamat pengajian di university dan keluar mencari kerja sehingga bersedia untuk mendirikan rumahtangga, berfikir dan tengok samada boleh memilik rumah di mana-mana, akhirnya mendapati bahawa sekiranya tiada bantuan daripada pihak keluarga, langsung tidak mampu untuk memilik sebuah rumah. Pemilikan rumah telah menjadi impian yang semakin jauh untuk orang muda. Mereka merupakan golongan professional yang mempunyai pendapatan tetap. Bagi golongan muda akar umbi yang sedang menanggung hutang PTPTN, pinjaman kereta atau tanggungan keluarga yang membebankan, mustahil bagi golongan tersebut untuk memiliki rumah.

 

Sementara kadar kenaikan sewa dan harga rumah yang tinggi, terdapat banyak rumah atau unit kosong adalah sesuatu fenomena yang tidak sihat. Tanah adalah asas kepada segala pembangunan dan pembuatan. Sekiranya nilai tanah telah meningkat akibat daripada aktiviti spekulasi, maka segala perbelanjaan juga akan meningkat termasuk harga makanan di restoren, kos perniagaan dan tempat tinggal, kos perkhidmatan malahan apabila kerajaan ingin mengambil balik tanah untuk pembangunan infrastruktur seperti pelebaran jalan juga terpaksa menjadi mangsa kepada spekulasi hartanah. Kesemua ini adalah kos sosial yang disebabkan oleh spekulasi pasaran hartanah dan dihadapi oleh seluruh masyarakat. Pengawalan ketat ke atas spekulasi tanah bukan satu langkah yang popular pada jangkamasa yang pendek. Namun, sebagai kerajaan yang tekad untuk membangun Pulau Pinang sebagai negeri yang livable dan bukan syurga untuk spekulasi, kerajaan perlu menunjukkan komitmen dan tekad politik dalam menangani masalah nilai hartanah yang terlalu tinggi.

 

DIY Perancangan

 

Untuk membina sebuah rumah yang sesuai didiami, harga rumah yang munasabah merupakan syarat yang asas. Namun bagaimana untuk membuat perancangan untuk sesuatu tempat pula merupakan cabaran yang berlainan. Dulu, kita percaya kepada cadangan yang dibuat oleh professional. Kerja-kerja perancangan yang rumit telah diserahkan kepada mereka. Kita percaya perlu ada professional baru berupaya untuk membuat perancangan. Akan tetapi, masyarakat kini adalah lebih rumit berbanding dengan yang dulu. Permintaan rakyat yang berlainan dan berbilang kaum, hanya bergantung kepada pakar-pakar tradisional, sudah tidak dapat reka dan rancang berlandaskan keperluan rakyat secara menyeluruh. Saya teringat seorang kawan yang mengalami kecederaan kaki patah akibat kemalangan, dia bergantung kepada crutch untuk bergerak. Dia barulah sedar bahawa semua tempat adalah tidak mesra khasnya kepada golongan OKU atau mempunyai keperluan khas. Walaupun mempunyai kenderaan, dia tidak dapat melangkah masuk ke dalam bangunan kerana di depan dia ada tangga.

 

[Tiada orang yang lebih mengenali keperluan anda sendiri], komuniti yang berlainan mempunyai fokus yang berlainan. Saya mencadangkan kerajaan negeri akan mengambil kira unsur perancangan rakyat semasa membuat pembangunan. Dengan melatih “fasilitator perancangan komuniti” untuk membolehkan rakyat mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam reka dan perancangan. Proses ini akan mempertingkatkan sense of belonging di komuniti tersebut. Konsep sebegini masih baru di Malaysia tetapi di tempat lain serta negara-negara di Asia yang lain telah membuat pelbagai percubaan. Saya berharap Pulau Pinang boleh menjadi teladan untuk Malaysia.

 

Risk Society

 

Saya telah membincangkan begitu banyak masalah dan cabaran tadi. Ia telah mengingatkan saya satu konsep risk society yang dikemukakan oleh Ulrich Beck, seorang pakar sociology dari Germany pada akhir 80an tetapi masih sangat relevan untuk menerangkan masyarakat sosial hari ini. Sifat asas bagi risiko bukan terhadap individu, tetapi ia adalah risiko terhadap sosial secara kolektif. Apabila sesuatu krisis terjadi, akibatnya akan ditanggung oleh semua golongan masyarakat.

 

Saya berpendapat bahawa krisis yang wujud di masyarakat kita adalah sesuatu yang dipersembahkan dengan lebih radikal. Misalnya climate change, ilkim yang luar biasa telah menyebabkan bencana alam, banjir yang lebih serius dan kerap, suhu air laut yang tinggi juga menjejaskan mata pencarian nelayan serta penyakit berjangkit seperti demam denggi dan zika yang merebak melalui nyamuk. Secara amnya kesemua krisis tersebut menjejaskan semua orang. Setiap orang di kalangan kita adalah potential victims. Ekonomi yang tidak stabil, nilai mata wang jatuh menyebabkan masalah pengangguran, pendapatan rendah dan kuasa membeli menurun.

 

Dalam suasana masyarakat kini, krisis yang serius datang dari pelbagai arah serta penuh dengan merasai kelemahan manusia. Namun bagi kita semua yang berada dalam Dewan yang mulia ini, tidak kira ADUN, EXCO atau pembangkang, perlu menjawab persoalan dalam masyarakat yang penuh dengan risiko ini, sesiapakah yang dapat menyelesaikan risiko ini secara diri sendiri. Sebagai ahli politik, apakah peranan yang dimainkan oleh kita semua? Adakah kita boleh memikul tanggungjawab untuk menyediakan perlindungan asas kepada setiap individu sehingga semua rakyat apabila berdepan dengan krisis dan tidak berasa tidak berdaya?

 

Oleh itu, dalam perbahasan saya kali ini telah menegaskan bahawa kerajaan perlu berusaha untuk membina sosial safety net dari kesihatan mental individu sehingga jaminan kehidupan dan pendapatan serta perancangan bandar dan desa yang lestari. Usaha ini adalah untuk mengurangkan ketidaktentuan kehidupan rakyat dan menjamin rakyat dapat menikmati kehidupan yang selamat dan baik.

 

Dengan ini saya pohon menyokong.

 


--
LEE Khai Loon
012 - 225 8607
Organizing Secretary of KEADILAN Penang
ADUN N14 Machang Bubuk
Twitter @leekhailoon
Facebook www.fb.com/leekhailoon

Usul Perbahasan Belanjawan 2017.docx
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages