Saya teringat kepada perbualan saya bersama-sama dengan bekas pengikut al-Arqam tentang ciri-ciri kepimpinan Abuya.
Antara kisah yang ingat ialah, apabila Abuya berceramah, ia akan dirakam dengan video. Selepas ceramah, Abuya dan rakan-rakannya akan menonton video tersebut yang banyak memfokuskan kepada penonton. Mata-mata yang terbeliak, mulut yang terlopong, adalah tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu berpotensi untuk diajak menjadi pengikut. Individu yang sedemikian rupa akan disiasat latar belakangnya, dan dicari alamatnya.
Lalu Abuya dan pengikutnya akan ke rumah lelaki tersebut. Bayangkan sahaja betapa berbesar hatinya seorang yang sedang sarat dengan kekaguman diziarah oleh tokoh yang dikaguminya. Abuya akan bertanya khabar, dan kemudian meminta izin untuk berehat seketika dengan tidur di atas lantai beralaskan bantal sofa lelaki tersebut.
Allah, cair hati tuan rumah. Lepas tu, minta apa pun diberi Insya Allah.
Saya tidak bermaksud mahu menganalisa Abuya dan gerakannya di sini, namun sikap beliau sangat mempengaruhi pengikut. Jika nyamuk gigit pun, Abuya hanya meniup dan tidak menamparnya. Ketika makan bertalam, Abuya akan mengambil tulang lebihan mereka yang makan setalam dengannya, dan akan dijamahnya sisa-sisa daging yang masih terlekat sehingga habis licin.
Gaya kepimpinan begini, sangat mempengaruhi. Apa yang beliau lakukan? Beliau berhubung dengan pengikutnya. Bukan hanya hubungan logik akal, tetapi hubungan hati, hubungan emosi.