Sembang Politik:
Siapa Naib Presiden UMNO?
Oleh: Naseron Ismail
KUALA LUMPUR: Setelah kekalahan memalukan di Pilihanraya Kecil P.36 Kuala Terengganu, UMNO dilihat perlu mengatur strategi dharurat untuk memastikan parti tersebut masih lagi relevan dan mampu menang jika ada lagi pilihanraya kecil di masa yang akan datang, jika tidak satu demi satu kerusi yang dimenangi oleh UMNO-BN akan jatuh ke tangan pembangkang melalui proses yang serupa. Jika itu terjadi, pada PRU13 nanti, UMNO dengan sendirinya akan menjadi parti pembangkang di Parlimen dan di kebanyakan DUN, pada masa itu senario dan lanskap politik negara tentunya akan berada pada situasi cemas dan bergelora kerana MCA, Gerakan dan MIC mungkin akan belot menjadi kerajaan campuran bersama PR. Bukankah itu satu kemungkinan yang amat nyata?
Kebangkitan rakyat menolak UMNO begitu ketara. Bukan Melayu kelihatan jelas menolak calon UMNO di P.36 kelmarin. Orang yang paling bertanggungjawab terhadap kekalahan UMNO ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah berjaya menjadi jaguh, membawa rakyat kepada politik membenci kerajaan yang melampau dan Tun Dr. Mahatahir Mohamad yang kerana kecewa mengkritik keras kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku PM dan Presiden UMNO seolah-olah pemimpin itu langsung tak berguna. Selain itu, Tengku Razaleigh Hamzah dan kuncu-kuncunya, juga dalam usaha untuk menjadi Perdana Menteri turut memperlekehkan kepimpinan UMNO termasuk anggota MT sebaik sahaja Pak Lah menjawat jawatan itu.
Menjelang Perhimpunan Agong UMNO Mac ini, perhatian akan lebih tertumpu kepada siapa yang bakal menduduki kerusi Timbalan Presiden dan Naib-Presiden. Perebutan untuk jawatan Naib Presiden jelas hebat dan panas kerana semua calon dikatakan mempunyai 'par' dan 'chi' yang hampir sama untuk menang atau pun kalah. Setakat ini, antara nama popular yang dikatakan berupaya untuk mencipta kemenangan ialah Datuk Seri Haji Dr. Zahid Hamidi, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Datuk Seri Khaled Norden atau Datuk Seri Shafie Apdal dari Sabah. Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Dalam Negeri juga berpeluang jika beliau mendapat undi bonus dari Pahang, Johor dan Perak. Kesemua calon didapati mempunyai karisma dan kemampuan tersendiri.
Walau bagaimanapun, kalangan pemerhati politik tidak menolak kemungkinan up-set dan confusion akan terjadi. Mungkin ia hanya tsunami kecil sahaja. Perkembangan mutakhir yang berlaku dalam senario politik UMNO dan negara, nama-nama calon-calon popular bagi jawatan Naib-Presiden telah tersebar kesemua pelusuk bahagian, dan para pelobi (power brokers) telah mula memainkan peranan masing-masin untuk memastikan calon kesayangan masing-masing mendapat tempat. Keadaan ini sebenarnya telah memberi nafas baru kepada survival UMNO dengan hidupnya kembali demokrasi selepas hampir mati di Era Tun Dr. Mahathir.
Tokoh berwibawa dari Perak, Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Zahid Hamidi yang juga mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO selepas era kepimpinan Tan Sri Rahim Tamby Chik, dilihat sebagai satu-satunya calon pelapis untuk jawatan Naib Presiden yang bakal mewarnai perjuangan parti di masa akan datang. Dr. Zahid disebut-sebut sebagai antara pemimpin yang berupaya untuk memulihkan kekuatan dan kepimpinan getir UMNO di negeri Perak Darul Redzuan dan negara seluruhnya. Dr. Zahid setakat ini dikatakan tidak berhadapan dengan laluan sukar untuk beroleh kejayaan kerana separuh rakan-rakan beliau di dalam Pemuda dahulu kini telah tegap menguasai kepimpinan di peringkat bahagian.
Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim adalah antara tokoh berpengaruh yang disegani dan dihormati oleh ahli-ahli UMNO diperingkat akar umbi, dipercayai beliau tidak akan menghadapi masalah besar untuk mencipta kemenangan. Dr. Rais mendapat sokongan padu dari Negeri Sembilan, Perak, Kelantan, Kedah dan Selangor. Sementara itu, Datuk Seri Khaled Norden adalah calon paling popular dari negeri Johor. Beliau dikatakan mendapat sokongan menyeluruh bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara kerana sikap beliau yang jujur dan sangat terbuka, dedikasi, setia dan prihatin terhadap perjuangan parti. Bekas Peguam berkaliber dan dedikasi ini menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi dengan cukup baik dan sangat disayangi oleh golong inteligensia Melayu di IPT dan di Kementerian.
Namun terpulanglah kepada ahli-ahli UMNO sendiri terutama para Perwakilan untuk memberi peluang kepada Dr. Zahid Hamidi, Dr. Rais Yatim, Khaled Norden atau Shafie Apdal atau Syed Hamid Albar, kerana mereka adalah para pejuang UMNO yang ada kebolehan dan kelayakan serta mempunyai karisma dan kemampuan tersendiri walaupun cara dan pendekatan masing-masing agak berbeza. Pemimpin datang dan pergi, namun perjuangan mesti diteruskan. Siapakah pilihan anda? Sila kirimkan pendapat dan komentar kepada
angah...@yahoo.com -
HATCHET.