KENYATAAN MEDIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA SEDUNIA
WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
8
Mac 2013
Hari
ini sekali lagi, wanita di seluruh pelusuk
dunia merayakan sambutan Hari Wanita Sedunia. Sejak 1911, 8 Mac
dinobatkan sebagai hari untuk memberi sokongan dan mengiktiraf
sumbangan
dan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dunia. Bagi wanita
Islam, pemartabatan
wanita telah dinobatkan jauh lebih awal
dari 8 Mac 1911, iaitu ketika junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
diangkat sebagai utusan Allah Ta’ala, sebagai Rasul yang membawa rahmat
ke seluruh
alam. Beliau adalah contoh
ikutan yang paling benar telah menunjukkan kepada kita jalan dan cara
hidup yang selamat di dunia dan
akhirat.
Justeru
itu, Rasulullah s.a.w. amat dekat di
hati kita semua kerana bagindalah pejuang ulung yang telah
memartabatkan dan meletakkan wanita di tempatnya yang sebenar,
meletakkan wanita berdiri sama tinggi dan
duduk sama rendah dengan kaum Adam, kedua-dua mereka jenis Adam dan Hawa
ini
mempunyai kedudukan yang sama di hadapan Pencipta ‘Azza wa Jalla, itu
sebagai
hamba kepadaNya semata-mata.(Az-Zariyat, 51: 56).
Terlalu indah dan
mahal untuk dikenang, bila Baginda
pernah bersabda "Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah orang yang
paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang paling baik terhadap
isteri dari kalangan kamu." (Hadis riwayat At-Tirmizi).
Rasulullah s.a.w telah mengangkat darjat
wanita dan memimpin mereka untuk memainkan peranan yang sebenar. Baginda
mengajar kita agar memuliakan wanita sebagai ibu, mencintainya sebagai
isteri, mendidik dan mengasihinya sebagai anak dan melindunginya sebagai
saudara kandung. Wanita bebas mempunyai identitinya sendiri, boleh memiliki dan
mewarisi harta dan dianjurkan untuk berperanan aktif dalam pembangunan
keluarga, masyarakat dan negara.
Tema Hari Wanita yang dipilih oleh Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu bagi tahun 2013 ini adalah “A promise is a promise: Time for action to end violence against women”
– Janji adalah janji : Masa untuk
bertindak memberhentikan keganasan terhadap wanita .
Wanita IKRAM menyokong tema ini dan merasakan
ianya amat sesuai dan mesti diangkat secara besar-besaran kerana
walaupun wanita secara umumnya sudah pun memperolehi peluang bekerjaya dengan
menunjukkan kejayaan yang membanggakan
di pelbagai bidang, namun situasi kesejahteraan, keselamatan dan keamanan
wanita tidak nampak jauh berubah. Indeks kesejahteraan wanita masih menunjukkan
angka-angka yang begitu menyedihkan.
Maklumat menunjukkan seorang dari tiga orang wanita dan
gadis di dunia pernah menjadi mangsa keganasan sama ada dipukul, dijadikan
habuan seks, didera dan dianiayai melalui pelbagai cara. Seorang dari
empat orang wanita dizalimi dan didera semasa mengandung. Di Malaysia , setiap hari secara purata enam orang wanita dan gadis dirogol, namun bilangan sebenarnya jauh lebih tinggi kerana hanya 25%
kes rogol yang dilaporkan. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari
2007 hingga Februari, 2012 menunjukkan sebanyak 18,124 kes keganasan
rumahtangga dilaporkan iaitu 3,756 kes pada 2007; 3,769 (2008); 3,643 pada
2009; 3,173 (2010); 3,277 (2011) dan
506 kes untuk dua bulan pertama tahun 2012.
Walaupun bilangan ini nampak mendatar, namun purata sebenarnya lebih
3,000 wanita diganasi
dalam rumahtangga sendiri oleh orang yang sepatutnya menyayangi dan
melindungi mereka, keadaan ini merupakan satu perkara yang sangat
perlu dipandang serius dan mesti ditangani dengan segera. Bayangkan
tahun 2012 berlabuh
dengan kejadian yang sangat menyayat
hati, berlaku di Kedah; seorang
suri rumah berusia 17 tahun ditemui mati,
dipercayai dibunuh oleh suami
yang baru dikahwini enam bulan sebelumnya, satu tempoh masa yang
sepatutnya masih dalam berbulan madu.
Usaha-usaha
menangani keganasan terhadap wanita ini,
tidak mungkin dapat dilakukan oleh golongan wanita sahaja ataupun melalui
usaha yang terpancar-pancar. Satu usaha
bersepadu yang melibatkan kaum lelaki dan wanita bersama-sama seluruh anggota masyarakat mestilah dirancang dengan
segera.
Wanita
IKRAM
ingin menegaskan bahawa usaha-usaha
ini mestilah bermula dengan program-program pembangunan syahsiah/jati
diri lelaki dan wanita dalam masyarakat, memahami peri pentingnya
keseimbangan dalam
memenuhi tuntutan-tuntutan kebendaan,
fizikal, spiritual dan emosi. Wanita IKRAM juga berpandangan sebarang
agenda
untuk membangunkan wanita (dan lelaki
juga) tidak boleh dipisahkan dari agenda untuk membangunkan
keluarga yang merupakan unit asas dalam pembentukan sebuah negara. Kami
menyeru
agar semua pihak sama-sama mengarusperdanakan agenda keluarga dalam
setiap
polisi dan aktiviti pembangunan masyarakat.
Dengan ini,
sempena sambutan Hari Wanita Sedunia tahun 2013 , Wanita IKRAM ingin
menyarankan beberapa langkah berikut:
1.
Setiap anggota
masyarakat lelaki dan wanita mestilah kembali mengamalkan cara hidup Islam berpandukan ajaran agama. Bagi umat Islam,
tiada jalan lain untuk mengembalikan kegemilangan ummah dan tamaddunnya serta memartabatkan kembali wanita ke tempatnya yang
sebenar selain dari berpegang kepada ajaran Islam sepenuhnya. Ajaran Al Quran
dan sunnah Rasulullah s.a.w mestilah
dipelajari bersungguh-sungguh
dan diamalkan dalam setiap aspek
kehidupan.
2.
Usaha-usaha
proaktif pencegahan keganasan mestilah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk
memberikan pendidikan dan kemahiran bagi setiap lelaki dan wanita, supaya
menjadi lebih bertanggungjawab di samping dapat mengelakkan diri dari menjadi mangsa keganasan apatah
lagi menjadi pelaku keganasan. Pendidikan ini bukan hanya tertumpu untuk
meningkatkan kecerdasan intelek seseorang, malah yang lebih penting adalah
meningkatkan kecerdasan dan kemahiran mengurus emosi dan spiritual
seseorang.
3.
Penguatkuasaan
undang-undang yang tegas lagi berkesan mestilah dilaksanakan kepada pelaku
keganasan supaya hukuman yang setimpal itu
dapat menjadi iktibar yang ditakuti oleh orang lain. Pendidikan
berterusan untuk meningkatkan kepekaan dan kecekapan para petugas badan-badan yang
bertanggung jawab mestilah
sentiasa dijalankan supaya hak dan keselamatan wanita dapat terus dipertahankan.
Sistem kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih mesra
wanita mestilah diusahakan bagi menjamin kesejahteraan dan pembelaan terhadap wanita.
Semoga , dengan
usaha ini, matlamat kita untuk menjadikan bumi yang dipijak dan seluruh dunia menjadi tempat yang sejahtera dan
selamat dari sebarang bentuk keganasan, dapat kita capai dengan jayanya.
Ayuh! Semua lelaki dan wanita, marilah bersama-sama kita berusaha mencari jalan memberhentikan
keganasan terhadap wanita, ketahuilah
bahawa wanita itu belahan daripada lelaki!!!
Selamat Hari Wanita 2013.
Ustazah Maznah
Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
012-3169351
Email:ikram...@gmail.com