En. Bahrulmazi Edrak
Ketua MyCommunity Cluster
Community Engagement
Projek Jangkauan Global Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
Assalamualaikum wbt En.Bahrul,
PELUANG MELANJUTKAN PELAJARAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI MALAYSIA
Semoga perutusan ini menemui tuan dalam keadaan sihat dan berbahagia di sisi keluarga.
2. Sukacita dengan hormatnya saya memaklumkan bahawa Imam Mikhail Abdul Aziz, Imam di Papua New Guinea dan En. Hussein Bare, Presiden komuniti Islam telah memohon agar bantuan pendidikan dapat diberikan kepada Saudara Abdul Qasim bin Abdul Wahab @ Sare Bradley.
3. Imam dan Presiden komuniti telah menulis surat kepada UIA pada bulan November tahun lalu bagi memohon agar Sdr. Abdul Qasim dapat melanjutkan pengajian dalam bidang Architectural Engineering Science, di samping bantuan pembiayaan pendidikan daripada Islamic Development Bank.
4. Imam Mikhail memperkenalkan Sdr Abdul Qasim kepada saya dan memohon agar pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia dapat membantu dalam mempermudahkan urusan beliau bagi melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Malaysia. Selain itu, Imam Mikhail berulangkali memohon kepada ahli-ahli jemaah agar bantuan dapat diberikan kepada Sdr. Abdul Qasim setiap kali khutbah Jumaat disampaikan oleh beliau, lebih-lebih lagi setelah ayahnya allahyarham Abdul Wahab Sare meninggal dunia pada 13 Mac 2015 yang lalu.
5. Sdr. Abdul Qasim sebelum ini melanjutkan pelajaran di Suva Muslim College di Fiji dan pernah belajar di Fiji National University dalam tempoh kurang 12 bulan. Pengajian di Fiji National University tidak dapat diteruskan kerana masalah pembiayaan selain dakwaan layanan buruk yang diterima semasa di sana.
Komen
6. Diteliti daripada rekod akademik (merujuk transkrip akademik disertakan), pencapaian akademik Sdr. Abdul Qasim adalah pada tahap sederhana/average. Berdasarkan analisa yang diberikan oleh tenaga-tenaga pengajar, Sdr. Abdul Qasim perlu memberikan fokus dalam pembelajaran dan memerlukan sokongan daripada keluarga serta rakan-rakannya.
7. Saya melihat Sdr. Abdul Qasim sebagai seorang anak muda yang sentiasa merendah diri (humble) dan mempunyai potensi untuk lebih maju dengan galakan serta dorongan yang berterusan. Seperti juga Sdr Muhammad Mmuah Newman yang pernah melanjutkan pengajian di Malaysia sebelum ini, Sdr. Abdul Qasim boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan insyaAllah mampu menyesuaikan diri suasana pembelajaran di Malaysia. Pihak kami tiada halangan dan menyokong permohonan beliau untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia sekiranya ada peluang di universiti atau kolej yang sudi menerimanya sebagai pelajar.
8. Pihak komuniti Islam di sini amatlah berbesar hati sekiranya tuan dapat membantu hasrat Sdr. Abdul Qasim ini sebagaimana yang pernah diberikan kepada Sdr. Muhammad Newman sebelum ini. Saya memohon maaf kerana mengambil masa untuk memanjangkan permohonan beliau kerana laporan kesihatan yang baru diterima. Sukacita disertakan bersama-sama ini dokumen-dokumen berikut untuk perhatian serta rujukan tuan jua:
i. Butiran diri Sdr. Abdul Qasim (sepertimana pada borang permohonan UIA yang disertakan);
ii. Surat sokongan daripada Imam Mikhail dan Presiden Komuniti Islam PNG;
iii. Biopage passport;
iv. Rekod akademik; dan
v. Laporan kesihatan
Kerjasama tuan amatlah dihargai dan saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Salam ikhlas dari Port Moresby
Farzamie Sarkawi
STM Port Moresby