OLEH: DATO' USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Wahai anakku,
Janganlah kamu libatkan mereka yang panas kepala dalam
mesyuaratmu, kerana mereka tidak akan menerima pendapat berbeza.
Janganlah engkau libatkan mereka yang tinggi egonya, kerana ia akan
memandang rendah kepada pandangan orang lain. Jangan engkau perlekehkan
pandangan yang rendah dan bodoh, kerana Allah tidak menyamakan taraf akal manusia. Hargailah setiap pandangan, agar pandanganmu dihargai.
Wahai anakku,
Jangan kamu gopoh-gapah dalam membuat sesuatu keputusan yang besar,
melainkan engkau dengar pandangan semua. Mohonlah pandangan dari yang
lebih tua atau yang alim, kerana sebahagian mereka tidak akan memberi
pandangan melainkan diminta. Mutiara yang indah tidak akan dapat
diambil, melainkan kena buka kerangnya. Berbahagialah bilamana kamu
mampu melihat dari sudut yang berbeza sebelum engkau membuat keputusan.
Wahai anakku,
Jangan engkau kemukakan sesuatu cadangan, melainkan engkau suluh ia
dari kacamata Tuhan-mu, engkau padankan dengan ilmumu, dan engkau
timbang ia dengan kudrat ahli yang akan melaksanakan cadanganmu.
Wahai anakku,
Janganlah engkau berdukacita bilamana cadanganmu ditolak, sebaliknya
bersyukurlah kerana engkau tidak akan menanggung dosa di atas cadangan
itu, seandainya ia membuahkan keburukan. Sebaliknya hendaklah engkau
beristighfar apabila cadanganmu diterima, kerana belum tentu ia menjadi
kebaikan apabila ia dilaksana. Sekiranya ia menjadi kebaikan, janganlah
engkau bangga kerana cadangan itu datang darimu, kerana engkau tidak
mengetahui samada Allah menerima atau menolak kebaikan itu.
Wahai anakku,
Patuhilah sesuatu keputusan mesyuarat, walau kamu tidak bersetuju
sekalipun, kerana hebat mana satu pandangan, tidak akan sama dengan
pandangan dan keputusan jamaah. Ingatlah pertolongan Allah beserta
jamaah.
Wahai anakku,
Awasilah golongan yang mengadakan
mesyuarat di luar mesyuarat rasmi bagi mengumpulkan golongan yang tidak
bersetuju di dalam sesuatu keputusan, kerana ini petanda keretakan
jamaah dan mengundang kemurkaan Allah.
Wahai anakku,
Bilamana engkau telah menerima sesuatu keputusan, bertawakallah kepada
Allah, berazamlah untuk melaksana keputusan dan mohonlah pertolongan
Allah. Kerana keputusan yang besar dan berat akan menjadi ringan
bilamana Allah membantumu.
Semoga Allah memandu kita dalam urusan agamanya. Senyum.