Perjalanan Seribu Batu Bermula Dengan Langkah Yang Pertama

2,592 views
Skip to first unread message

linuxmalaysia

unread,
Dec 19, 2006, 12:49:29 AM12/19/06
to hafnie
Perjalanan Seribu Batu Bermula Dengan Langkah Yang Pertama

"A journey a thousand miles begin with the first step"

Suatu perkara yang dirancang perlu dijalankan.
Suatu perubahan yang hendak dibuat perlu ada permulaan.
Sebuah cita-cita bukan sekadar angan-angan sahaja.

Semua ini memerlukan langkah pertama.

Memang sukar untuk individu untuk melangkah dalam membuat perubahan
atau perancangan. Ini disebabkan terdapat rasa kurang selesa atau takut
kepada perubahan.

Kurang selesa kerana mungkin perubahan yang dilakukan akan membawa
kesan negatif kepada perancangan.

Rasa takut, kerana takut kepada kegagalan yang mungkin berlaku kepada
apa yang dirancangkan.

Ada yang mempunyai rasa rendah diri terhadap cita-cita yang hendak
dicapai. Takut dicemuh dan takut diketawa.

dan ada juga yang hanya masih mampu berangan-angan kepada apa yang
dicita-cita. Tiada usaha untuk bermula walaupun hanya langkah pertama.

Tanpa langkah pertama tidak mungkin perjalanan beribu batu akan
bermula. Tanpa langkah pertama tiada kejayaan akan dicapai.

Rasa takut melangkah merupakan penyebab utama mengapa ramai yang tidak
mahu mula melangkah. Rasa takut ini adalah kerana beberapa faktor.

Faktor pertama

Takut gagal. Ada yang sebelum bermula sudah memikirkan kegagalan
daripada bakal usaha yang dirancangkan. Takut gagal ini mendorong untuk
tidak melakukan apa-apa langsung.

Takut gagal juga menyebabkan perancangan hanya tinggal perancangan.
Perkara ini boleh melemahkan keyakinan diri dan keyakinan orang lain.

Fikiran negatif, aku tidak boleh, aku tidak boleh, aku tidak boleh
menguasai diri.

Faktor kedua

Takut perubahan. Ada pula yang tidak mahu melangkah kerana takut kepada
perubahan. Perubahan yang tidak lagi pasti sama ada membawa kepada
kebaikan atau keburukan. Perubahan yang belum tahu lagi kesannya
positif atau negatif. Yang pastinya ada yang takut perubahan sebelum
lagi melangkah.

Faktor ketiga

Takut cemuhan. Melangkah tidak lagi, sudah jatuh tersungkur angkara
orang lain. Cemuhan, kritikan dan kutukan adalah
sifat semulajadi manusia terhadap manusia yang lain. Mungkin kerana
cemburu, mereka mencemuh. Mungkin kerana dengki mereka
mengutuk. Mungkin kerana irihati mereke mengkritik secara negatif.
Tanpa kecekalan tiada siapa yang mampu menghadapi cemuhan, kritikan
negatif dan kutukan. Maka kecundang jatuh sebelum lagi bermula. Sebelum
lagi melangkah.


Faktor-faktor diatas perlu diatasi agar langkah pertama mampu
dilakukan. Penyelesaian adalah terletak didalam minda setiap individu
yang mahu membuat langkah.

Jika takut kepada kegagalan fikirkan sejenak kepada kejayaan orang
lain. Setiap mereka yang berjaya pasti ada kegagalan yang disebaliknya.
Malah kegagalan adalah lebih banyak daripada kejayaan namun bagi mereka
kegagalan adalah hanya satu nota kecil daripada sebuah novel kejayaan
mereka.

Lihatlah kejayaan Rasullah menyebarkan Islam itu sendiri. Adakah ia
dicapai dengan begitu mudah atau ia dicapai dengan banyak kegagalan.
Adakah baginda terus mengalah?

Bayangkan kesukaran Baginda untuk mengajak penduduk Mekah kepada
mengenali Islam pada awal perkembangan Islam itu sendiri,
namun Baginda tidak berputus asa membawa ajaran Islam ke tempat lain,
ke tempat yang bernama Madinah. Disitulah, Islam berkembang menjadi
kerajaan dan akhir secara aman Baginda kembali ke Mekah dan penduduk
Mekah menerima Islam akhirnya.

Bagi mereka yang berjaya, tiada dalam kamus hidup mereka erti
kegagalan. Bagi yang berjaya, kegagalan yang berlaku mereka untuk
membuat penilaian semula dan membuat langkah lain untuk mencapai
kejayaan. Mereka tidak takut gagal. Mereka yang berjaya hanya mahu
terus melangkah.


Bagi yang takut kepada perubahan. Fikirkan sejenak tentang diri kita
ini. Fikirkan sejenak tentang ciptaan Allah ini. Diri kita sendiri.

Bayangkan diri kira sewaktu hari pertama kejadian kita ini. Daripada
satu cel berubah menjadi beribu cel, kemudian menjadi daging dan
tulang, darah mengalir, jantung berdengup.

Sembilan bulan, Kepada ibu berlaku perubahan semata-mata untuk kita
dalam kandungan. Sembilan bulan kita berubah pada tahap setiap minggu
pasti ada perkembangan.


Apabila kita lahir apakah perkara pertama seorang manusia mahu apabila
lahir ke dunia? Mahu cuba melangkah. Mahu cuba mengetahui dan mengenali
dunia sekeliling. Perkara ini hanya mampu dilakukan dengan perubahan
pada tubuh badan. Kekuatan otot dan tulang. Akhirnya mengiring,
kemudian merangkak, kemudian bertatih dan akhirnya pandai bangun
sendiri, melangkah dan berjalan.

Lihatlah dan perhatikan diri kita sendiri. Ia memerlukan perubahan agar
kita berjaya berdiri dan membuat langkah pertama. Apakah kesan
perubahan itu membawa kesan negatif kepada kita? Adakah ia membawa
keburukan kepada kita?

Pasti yang ada hanyalah kesan parut jatuh bangun kita belajar berjalan
dan jika sekarang ditanya tiada siapa boleh tunjukkan parut bila mula
belajar berjalan untuk langkah pertama.

Dan lihat diri kita sekarang ini bermisai, berjanggut, berdada dan
sudah matang. Maka fikirkan sejenak, perubahan yang berlaku kepada
tubuh kita adalah untuk persediaan untuk kita menjadi lebih matang dan
bersedia dalam mencapai kejayaan.

Mengapa kita masih lagi takut perubahan untuk membuat langkah.

Bagi yang takut cemuhan. Cemuhan, kritikan negatif dan kutukan adalah
lumrah. Lumrah alam. Ia melambangkan keikhlasan mereka yang memberikan
perhatian kepada diri kita. Ia merupakanpertanda bahawa kita
diperhatikan.

Mengapa masih takut lagi. Tiada lagi kita keseorangan dalam membuat
langkah. Cemuhan mereka adalah keikhlasan hati mereka. Kejujuran mereka
dalam penyataan mereka. Jadikan kata-kata mereka sebagai cabaran dan
kata-kata semangat. Bahawa apa yang telah dinyatakan tidak sama sekali
tidak.

Hanya selepas mencapai kejayaan dengan membuat langkah pertama barulah
kita mampu menangkis cemuhan, kritikan negatif dan kutukan, tanpa perlu
berkata apa-apa.

Akhir bicara, marilah kita ambil masa sebentar untuk menilaikan
perjalanan hidup kita ini, Perjalanan hidup yang beribu batu. Adakah
kita sudah ambil langkah pertama, langkah yang betul dalam mencapai
kejayaan kepada apa yang kita cita-citakan?

Adakah kita sudah mulakan langkah pertama untuk mencapai cita-cita
hidup kita.

Tutuplah mata. Tutuplah mata dan bayangkan cita-cita yang kita mahu
capai. Sila tutup mata anda semua selama 10 saat ,Bayangkan cita-cita
masing-masing.

Jangan buka mata lagi. Dengan kaki kanan, langkahlah setapak ke depan.
Buatlah langkah yang pertama. Anda teleh membuat langkah pertama
cita-cita anda.


Wassalam.

Harisfazillah Jamel
14mar2004


http://www.harisfazillah.info/

Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages