Ini adalah sebuah deklarasi kemerdekaan untuk generasi ku...
Sudah tiba masa untuk kita generasi muda yang sudah lama rasa bosan, terpinggir, terkongkong dan terasing dengan budaya politik dan sistem pemikiran generasi lama untuk bangun memberontak ke arah membentuk satu gerakan counterculture baru anak muda yang akan membawa revolusi politik, sosial, ekonomi, kebudayaan dan pemikiran yang lebih releven dengan idealisme generasi muda bagi merealisasikan impian kita untuk mencapai kemerdekaan sebenar yang akan mengembalikan kuasa kepada rakyat!
Jom!
Kuala Lumpur, 31.10.10
Bagi memperingati perjuangan rakyat menuntut demokrasi dari penjajahan kolonial, ingin aku cadangkan supaya tarikh 20 Oktober dijadikan sebagai hari perayaan kebangsaan dan cuti umum buat seluruh rakyat Malaysia sempena menyambut "HARI HARTAL" - hari perjuangan demokrasi rakyat.
Kalau kamu menyokong cadangan ini, pada 20.10.2010, sempena ulangtahun ke-63 aksi Hartal Se-Malaya, sila letakkan imej di atas dalam blog kamu, dengan tajuk "Selamat Hari Hartal!", berserta dengan embedded video dokumentari Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka bagi menerangkan sejarah di sebalik Hari Hartal.
Kamu juga dijemput untuk kemukakan cadangan-cadangan bagaimana cara untuk kita menyambut dan merayakan Hari Hartal kelak.
Kempen ini akan terus berjalan sehingga Hari Hartal diiktiraf sebagai hari perayaan kebangsaan di Malaysia.
Terima kasih dan Selamat Hari Hartal!
Selepas menonton filem bajet besar Shuhaimi Baba, aku mengulang kembali doku-filem Fahmi Reza, Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka. Sekadar mahu melihat perbezaan antara dua peristiwa sejarah yang mencorak negara kita hari ini.
Langit dan bumi. Mungkin itu perumpamaan yang paling tepat untuk membezakan antara kemerdekaan 31 Ogos 1957 dan percubaan untuk merdeka 10 tahun lebih awal sebelum itu. Satu ialah perjuangan sayap kanan yang dipelopori golongan bangsawan dan berasaskan nasionalisme. Yang satu lagi ialah perjuangan sayap kiri yang dipelopori golongan pekerja buruh atau tani dan berasaskan sosialisme.
Seperti yang termaktub dalam buku teks sejarah yang kita semua pelajari, kemerdekaan dicapai oleh golongan bangsawan dalam sayap kanan. Kemerdekaan Malaya hasil dari perbincangan dan rundingan antara UMNO-MCA dan pihak penjajah British.
Bohong. Dua belas tahun Darurat atau nama Inggerisnya Emergency adalah testimoni tentang pertumpahan darah benar-benar berlaku dalam usaha mencapai kemerdekaan. Dua belas tahun peperangan yang dinamakan Emergency oleh pihak kolonialis British kerana desakan pemilik-pemilik estet getah dan lombong bijih timah hanya kerana insuran mereka tidak melindungi kerosakan aset akibat peperangan atau tiadanya klausa perang.
Doku-filem dari Fahmi Reza menulusuri hari-hari yang membawa kepada berlakunya Hartal pada 20 Oktober 1947 hasil usaha Pakatan PUTERA-AMCJA yang terbentuk dari gabungan pertubuhan pelbagai kaum di Malaya ketika itu dalam menuntut kemerdekaan dari pihak British.
Idea melaksanakan hartal tercetus hasil dari penggunaanya di India dalam perjuangan menuntut kemerdekaan yang dikepalai oleh Mahatma Ghandi. Hartal adalah satu protes besar-besaran tanpa keganasan. Tiada perhimpunan atau tunjuk perasaan, yang dilakukan hanyalah penutupan kedai, kilang, pejabat, ladang, sekolah dan apa saja premis serta pemberhentian sebarang aktiviti-aktiviti harian, terutama sekali yang bersangkut-paut dengan ekonomi.
Matlamat hartal secara keseluruhan ialah mencetuskan civil disobedience. Simbol protes dan mesej tentang rasa tidak puas hati rakyat. Dan hartal pada 20 Oktober 1947 berlangsung dengan jayanya seperti apa yang kita boleh lihat dalam doku-filem dari Fahmi Reza.
Yang membuatkan penjajah British pada masa itu naik angin. Masakan tidak, mereka kerugian 4 juta Pound Sterling, bukannya satu nilai yang kecil pada tahun 1947, hanya kerana hartal untuk satu hari. Ladang-ladang getah dan lombong bijih timah tidak beroperasi, dua sumber pendapatan utama Empayar British yang pada masa itu berada di ambang bankrapsi akibat Perang Dunia Ke-2.
Pakatan PUTERA-AMCJA bukan sahaja menganjurkan hartal sebagai protes, tetapi turut mengusulkan idea pembentukan sebuah negara Malaya yang merdeka, memperkenalkan Perlembagaan Rakyat yang menerima semua bangsa di Malaysia sebagai satu bangsa Melayu dan pemberian hak yang sama rata untuk semua.
Tetapi Pakatan PUTERA-AMCJA tidak dilayan dan diiktiraf oleh penjajah British. Semuanya kerana pakatan ini terbentuk dari pertubuhan-pertubuhan berhaluan kiri yang memperjuangkan idea-idea sosialisme dan komunisme. Dan sebagai balasan protes hartal yang aman dan tidak ganas itu, penahanan besar-besaran dilaksanakan oleh penjajah British untuk menangkap para pemimpin berhaluan kiri.
Kempen membasmi dan membunuh pertubuhan-pertubuhan berhaluan kiri secara besar-besaran bermula dari tarikh 20 Oktober 1947. Apa sahaja yang berhaluan kiri, bercirikan sosialisme dan komunisme adalah salah di sisi undang-undang. Mereka yang berhaluan kiri ditangkap dan dipenjarakan, segolongan yang lain pula berjaya meloloskan diri, memilih untuk mengangkat senjata dan memulakan perjuangan gerila.
Dan semua ini memuncak pada Jun 1948 apabila Darurat atau Emergency diisytiharkan, mencetus pada perang saudara yang berlanjutan selama 12 tahun lamanya. Penjajah British membawa masuk puluhan ribu askar-askar Komanwel dalam kempen membasmi anasir-anasir komunis yang menjangkiti Malaya. Penahanan tanpa bicara, sekatan jalanraya, sabotaj, pembunuhan, kem tahanan dan perintah berkurung, semuanya menjadi lumrah selama 12 tahun.
Dalam tempoh Darurat atau Emergency inilah penjajah British menyedari hakikat bahawa mereka tidak boleh selamanya kekal di Malaya hanya untuk memastikan semenanjung emas ini tidak menjadi negara sosialis atau komunis. Langkah yang terbaik pada masa itu ialah memberi kemerdekaan pada Malaya dengan mewasiatkannya kepada pihak yang mereka senangi.
Siapa lagi jika bukan kem nasionalis yang dipelopori golongan bangsawan berlatar belakangkan pendidikan British? Siapa lagi jika bukan mereka yang pro pada institusi raja-raja Melayu? Siapa lagi jika bukan mereka yang akan memastikan kesinambungan British akan kekal di Malaya dengan sistem ekonomi kapitalis dan pemerintahan demokrasi Barat?
Dan inilah hasilnya seperti apa yang kita lihat hari ini. Malaysia yang sudah 50 tahun merdeka tetapi masih berpecah-belah, yang masih lagi belum dapat menghasilkan bangsa Malaysia sejati, yang kerakyatannya masih terdiri dari dua kelas, Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Doku-filem Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka dari Fahmi Reza pastinya tidak se gah filem bajet besar Shuhaimi Baba. Dengar khabar wang peruntukan yang diberikan pun hanya RM5000 sahaja. Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka juga tiada nama-nama besar sebagai pelakon. Malahan tokoh-tokoh lama yang ditemubual juga pada hari ini hanyalah warga veteran biasa tanpa sebarang pangkat seperti Datuk atau Tan Sri.
Menonton Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka membuka mata kita tentang satu episod sejarah negara yang dilupakan atas kehendak pihak-pihak tertentu. Ia juga adalah penghargaan ke atas perjuangan mereka yang bangun mencipta sejarah tetapi sayangnya tidak diiktiraf dalam catatan sejarah. Ia adalah kisah Hati Malaya yang jauh lebih dekat dengan kita semua tetapi diabaikan.
(Artikel ini asalnya diterbitkan di dalam buku Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Ia diterbitkan kembali sempena Hari Kemerdekaan ke-65. Dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka boleh ditonton di pautan Youtube ini)
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.
Dalam konteks sejarah Malaysia (سجاره مليسيا), walaupun nama "Malaysia" merupakan sebuah konsep moden yang baru diciptakan pada separuh kedua abad ke-20, Malaysia kontemporari tetap menganggap keseluruhan sejarah Tanah Melayu dan Borneo, merangkumi ribuan tahun yang lalu termasuk zaman prasejarah, sebagai sejarahnya tersendiri.[1]
Catatan awal Barat mengenai negara ini bermula sejak orang-orang Yunani seperti Cladius Ptolemy menamakan semenanjung yang terdapat di negara ini sebagai Semenanjung Emas (kini digelar Semenanjung Malaysia) atau "Golden Khorsenese" di dalam buku Geographia yang ditulisnya pada sekitar 150 M.[2] Agama Hindu dan Buddha dari India dan China masing-masing mendominasi sejarah awal negara ini dan mencapai kemuncaknya semasa pemerintahan kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera, Indonesia, yang mempunyai pengaruh yang meluas di seluruh Sumatera sendiri, Jawa, Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian besar Borneo dari abad ke-7 hingga ke-17.
Walaupun kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu telah berlaku seawal abad ke-10, agama tersebut mula mengukuhkan kedudukannya di Tanah Melayu pada abad ke-14. Penerapan Islam pada abad ke-14 telah menyaksikan kebangkitan kesultanan-kesultanan, yang paling menonjol ialah Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Brunei. Islam sememangnya mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap orang Melayu.
Pada tahun 1511, Melaka telah berjaya ditawan oleh Portugis yang merupakan kuasa penjajah Eropah pertama yang mengukuhkan kedudukan mereka di Semenanjung Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kemudian, Melaka ditawan oleh Belanda pada tahun 1641. Akhirnya, British yang asalnya menubuhkan pangkalannya di Jesselton, Kuching, Pulau Pinang dan Singapura, memperoleh hegemoni mereka di seluruh wilayah Tanah Melayu melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Perjanjian tersebut menetapkan sempadan antara Tanah Melayu British dan Hindia Timur Belanda (yang menjadi Indonesia). Kemudian, Perjanjian Inggeris-Siam 1909 pula menetapkan sempadan antara Tanah Melayu British dan Siam (yang menjadi Thailand). Fasa keempat pengaruh asing ialah kemasukan buruh-buruh dari negara China dan India untuk memenuhi keperluan ekonomi kolonial yang dicipta oleh British di Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo.[3]
3a8082e126