Fwd: [ikram-ajk-DISKUSI] Ekonomi Negara China – Gelembung Menunggu Masa untuk Pecah

5 views
Skip to first unread message

Alfa Red

unread,
May 7, 2017, 9:11:04 PM5/7/17
to ikr...@googlegroups.com, sukarelawan_aktivi...@googlegroups.com, gema-p...@googlegroups.com
Ekonomi Negara China – Gelembung Menunggu Masa untuk Pecah

 

Prof Mohd Nazari Ismail, Ketua Biro Penyelidikan IKRAM dan Ahli JK MMJ

 

Peradaban di negara China mempunyai sejarah yang sangat lama iaitu beribu tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Tetapi walaupun budaya negara China adalah berbeza dari Eropah semenjak awal lagi, namun apa yang sangat menarik ialah akhirnya bentuk industri perbankan atau hutang yang timbul di negara tersebut adalah tidak berbeza sangat dengan industry hutang di Eropah.

 

Industri hutang mula-mula ditubuhkan oleh golongan saudagar China pada pertengahan kuran ke 19.[1]  Tujuan utama ialah untuk menyimpan wang dengan selamat. Tetapi ia juga mula memberi hutang dan membantu membuat bayaran bagi pihak penyimpan. Oleh kerana amalan Riba tidak diharamkan, maka pemilik bank mendapati perniagaan perbankan adalah sangat menguntungkan dan oleh itu mula membesarkan lagi aktiviti mereka dan membuka cawangan di bandar-bandar lain.  Mereka juga banyak membantu perkembangan aktiviti perdagangan merentas perbatasan Cina kena negara lain, seperti sutera dan teh ke Russia dan bulu dan kulit ke Mongolia dengan menggunakan matawang yag dibuat dari perak.[2]

Bank yang dimiliki oleh orang Eropah juga wujud pada masa ini kerana orang Eropah sebenarnya sudah lama ada di China. Pada mulanya kehadiran mereka adalah sebahagian dari usaha dakwah agama  Kristian. Tetapi selepas itu kehadiran orang Eropah juga mempunyai tujuan lain iaitu untuk perdagangan dan mendapatkan hasil mahsul negara China.[3] 

Tujuan kedatangan bank Eropah, terutamanya dari Britain ialah untuk memberikan perkhidmatan hutang kepada firma perdagangan dari negara mereka masing-masing. Yang pertama diwujudkan adalah Oriental Bank pada tahun 1840-an dan diikuti oleh The Hong Kong and Shanghai Banking Corporation (1865), Deutsch-Asiatische Bank dari German (1890an) Banque de l'Indochine dari Perancis dan Russo-Asiatic Bank dari Russia. Pada penghujung kurun ke 19, terdapat sembilan bank dari negara asing yang mempunyai empat puloh lima cawangan di negara China.[4] 

Ramai pemilik modal dari negara Asing dan juga dari kalangan orang China sendiri telah menceburkan diri dalam sektor perbankan yang berkembang pesat. Susulan dari  perang saudara yang berlaku selepas perang dunia kedua, China berubah menjadi sebuah republic pada 1949 dengan nama People’s Republic of China. Ia dipimpin oleh Mao Zedong (atau Mao Tze Tung) dan parti yang mentadbira ialah parti komunis yang membuat keputusan memiliknegarakan semua aset negara termasuk di dalam sektor perbankan.

 

Tanah-tanah pertanian diusahakan secara bersama dan dijadikan koperasi. Pemerintahan komunis di bawah Mao tidak bertoleransi langsung dengan pandangan yang berbeda. Sesiapa yang menentang sistem komunis akan dihukum dengan hukuman yang berat. Peranan utama bank-bank yang dimiliki kerajaan pada masa ini ialah mengagihkan subsidi kerajaan serta mengutip cukai dan pendapatan lain dari badan-badan perniagaan milik kerajaan. Pinjaman juga diberikan.

 

Output ekonomi China di bawah sistem komunis adalah tidak memberangsangkan. Pada tahun 1958,  Mao  telah melancarkan  satu program yang bergelar `Lompatan hebat ke Hadapan’ (The Great Leap Forward).[5] Koperasi pertanian digabungkan untuk membentuk unit yang lebih besar yang dipanggil `Perkampungan’ (communes). Namun langkah ini telah gagal untuk merangsangkan ekonomi. Bahkan keadaan ekonomi menjadi lebih teruk.  Akibatnya rakyat bertambah merana dan ramai yang mati kebuluran. Masalah kemarau pada tahun  1959 dan 1960 membuat keadaan lebuh teruk. Adalah dianggarkan 36 juta rakyat China telah terkorban akibat kebuluran. Ada juga yang dibunuh kerana mencuri makanan kerana kelaparan.[6] 

 

Kegagalan kempen `Lompatan Hebat’ mengakibatkan pengaruh dan kuasa Mao tergugat. Dengan itu dia terpaksa mengadakan satu lagi inisiatif atau kempen untuk mendapat balik pengaruh beliau. Inisiatif itu dilancarkan pada tahun 1966 dan dipanggil `Revolusi Kebudayaan’ (Cultural Revolution). Namun keadaan ekonomi China semakin jauh ditinggalkan oleh ekonomi di negara lain dari segi output, terutama sekali berbanding dengan ekonomi Eropah Barat yang berkembang pesat.

 

Rasa ketidakpuasan di kalangan rakyat terhadap keadaan kehidupan semakin ketara dan pada tahun 1989 telah berlaku demonstrasi oleh ribuan pelajar dan pemuda-pemuda di Tiananmen Square di Beijing. Mereka mahukan reformasi demokrasi berlaku di negara China. Malangnya pihak berkuasa China tidak memberi sebarang peluang kepada usaha ini dan mereka telah dirempuh oleh tentera. Ramai pendemo telah terkorban.

 

Tetapi selepas itu, China mula melakukan beberapa reformasi dalam sistem ekonominya.  Petani-petani di kawasan perkampungan diberikan kontrak untuk menjalankan aktiviti pertanian dimana output yang melebihi sesuatu jumlah yang ditetapkan boleh dijual dan hasilnya adalah milik petani tersebut. Kilang-kilang juga diberikan autonomi dari aspek pengurusan di mana mereka dibenarkan membuat persetujuan sendiri dengan pembekal dan pelanggan mereka supaya output, jualan dan keuntungan dapat dimaksimakan. Sebahagian dari keuntungan itu boleh dikongsi bersama dengan pekerja dalam bentuk bonus.  Beberapa zon khas ekonomi juga telah dibangunkan di sebelah timur negara China yang menjadi pusat aktiviti pengilangan dan pembuatan. Dalam erti kata yang lain, China telah memperkenalkan konsep pasaran bebas kedalam sistem ekonominya walaupun parti komunis terus memerintah. Akibatnya ekonomi negara China berkembang cepat dan pendapatan rakyatnya juga meningkat.

 

Sektor perbankan yang dikawal oleh kerajaan China ini memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan ekonomi negara China dan telah diperkembangkan semenjak dari tahun 1980-an lagi. Antara 1979 dan 1985, jumlah deposit meningkat tiga kali ganda dan jumlah pinjaman meningkat 260 peratus.[7] Menjelang 1987 sistem perbankan terdiri dari beberapa bank utama milik kerajaan termasuk People's Bank of China, Agricultural Bank of China, Bank of China (yang mengendalikan urusan pertukaran asing), China Investment Bank, China Bank for  Industry and Trade, People’s Bank for Construction, Bank of Communications dan lain-lain.  

 

Pada tahun 1986 langkah-langkah awal telah diambil untuk memajukan perkhidmatan perbankan. Pertumbuhan sektor perbankan China melonjak selepas itu. Aset perbankan China meningkat lebih daripada dua kali ganda dari tahun 2011 dan 2016 dan telah mencapai jumlah 232 trilion yuan ($ 33.6 trilion) menjelang akhir tahun 2016. Pertumbuhan aset bagi 21 bank milik kerajaan China adalah 15.8 peratus pada 2016.[8]

 

Tetapi pembangunan sektor perbankan ini juga telah menyebabkan pertumbuhan yang besar dalam jumlah hutang. Pada akhir 2015, hutang isi rumah di China adalah 35 peratus berbanding KDNK sementara hutang kerajaan pula adalah 44 peratus berbanding KDNK. Walaupun berbanding dengan dengan beberapa negara lain, tahap hutang di China adalah tidak berapa tinggi, namun ukuran sebenar ialah dengan keadaan di China sebelum ini di mana tahap hutang amat rendah.

Menurut Bank for International Settlements (BIS), jumlah kesemua hutang dari sektor kerajaan, sektor korporat dan isi rumah ialah $ 26.6 trilion pada tahun 2015. Ini merupakan 255 peratus daripada KDNK negara China dan oleh itu negara itu boleh dikatakan kini mempunyai salah satu daripada nisbah hutang tertinggi di kalangan negara-negara membangun.[14] Menurut satu kajian lain, jumlah hutang kesemua sektor berbanding KDNK nya ialah sebenarnya lebih dari 300 peratus.[9]

 

Berapa masalah yang berkaitan dengan industry hutang sudah mula timbul. Tren juga menunjukkan ia akan menjadi semakin serius pada masa akan datang. Sebagai contoh ialah kenaikan dalam masalah kemuflisan. Pada tahun 2005, bank-bank China dianggarkan menghadapi masalah pinjaman bermasalah (bad loans) berjumlah  $ 205 bilion. Ramai juga berpendapat angka sebenar adalah sekitar AS $ 500 bilion, iaitu angka yang sama dengan separuh daripada output ekonomi tahunan China. Pinjaman bermasalah ini adalah dianggarkan 50 peratus daripada semua pinjaman dan memakan 15 peratus kepada 30 peratus daripada KDNK.  Bank-bank China dipercayai mempunyai portfolio pinjaman bermasalah yang sama jumlahnya dengan di Jepun walaupun saiz ekonominya adalah jauh lebih kecil iaitu hanya satu pertujuh saiz Jepun.[10]

 

Satu laporan juga menunjukkan bahawa kadar kemuflisan telah meningkat 20 peratus pada tahun 2015 berbanding 2014.  Adalah dianggarkan jika ini berlaku dua tahun berturut-turut, maka lebih dari 7,000 syarikat mungkin akan ditutup.[17] Satu lagi laporan yang agak terkini menunjukkan bahawa kes kemuflisan di China telah meningkat pada tahun 2016 menjadi 1,028 kes pada suku pertama sahaja, iaitu satu penambahan sebanyak 52.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.[11]

 

Pertumbuhan pinjaman juga telah menyebabkan kenaikan harga hartanah yang seolah-olah menunjukkan bahawa keadaan gelembung besar dalam sektor hartanah sedang berlaku sekarang di China. Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2016, menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg, harga purata bagi rumah baru meningkat 28 peratus di bandar-bandar seperti Shanghai, dan 10 peratus pada bandar yang lebih kecil. Keadaan ini bermula dari 2014, apabila Bank Rakyat China mula melonggarkan syarat-syarat pinjaman dan memotong kadar faedah. Menjelang Jun 2016, 196 pemaju yang disenaraikan China telah mempunyai hutang yang mencecah 3 trilion, berbanding 1.3 trilion tiga tahun sebelum ini. Spekulasi dalam sektor hartanah begitu dasyat sehinggakan banyak berlaku kes di mana harga satu meter persegi tanah yang belum dibangunkan bernilai lebih tinggi berbanding harga satu meter persegi rumah yang telah siap yang berdekatan.[12]

 

Satu laporan bertarikh 28 September 2016  oleh Deutsche Bank menganggarkan bahawa 10 peratus penurunan harga perumahan di seluruh negara akan membawa kepada 243 bilion yuan kerugian untuk pemaju. Perbelanjaan pengguna juga boleh jatuh juga, kerana ramai rakyat telah berhutang untuk membeli hartanah. Menurut laporan itu, ini adalah satu suasana berisiko tinggi yang sangat membimbangkan.[13]

 

Harga rumah meningkat terpantas di bandar-bandar di mana pihak berkuasa tempatan tidak memperkenalkan sekatan. Tapi pakar-pakar pasaran perumahan berpendapat bahawa langkah-langkah oleh kerajaan tempatan tidak mungkin akan dapat mengekang kenaikan harga selagi kredit masih mudah diperolehi. Menurut mereka harga tidak akan jatuh melainkan jika kerajaan memperketatkan kredit.[23]

Tetapi malangnya kerajaan China nampak tidak serius untuk mengawal kenaikan harga rumah. Bahkan langkah-langkah mereka lebih menyumbang kepada fenomina kenaikan harga rumah dan menjadikan suasana gelembung aset menjadi lebih besar.   Sekarang ini ramai pihak termasuk kerajaan dan industri hutang bergantung kepada sektor hartanah dan oleh itu keberatan untuk mengawal pertumbuhannya.[14] 

 

Jelas lah faktor utama kepada masalah gelembung aset di China ialah kecenderungan kuat di kalangan pihak industry hutang di China untuk membekalkan pinjaman kepada pembeli rumah dan pemaju rumah. Namun semua ini membuat kerajaan China berasa senang hati kerana ekonomi China telah berkembang sebanyak antara  6.5 dan 7 peratus pada tahun 2016.  Tetapi risiko kepada ekonomi sebenarnya juga sedang meningkat kerana kenaikan tahap hutang terutama di sektor korporat. Yang telah meningkat menjadi 169 peratus berbanding KDNK. Purata pertumbuhan hutang di China dari tahun 1998 dan 2017 ialah 16.32 peratus, iaitu satu angka yang juga sangat tinggi.[15][28] 

 

Walaupun ekonomi China berkembang, apa yang agak pelik ialah kadar pengangguran juga kian meningkat. Ada kajian menyatakan bahawa kadar pengangguran di China mungkin adalah dua kali ganda apa yang dilaporkan. Kajian yang dijalankan oleh Feng Shuaizhang dari Shanghai University of Finance and Economics dan Hu Yingyao dan Robert Moffitt dari Johns Hopkins University menggunakan data dari  soalselidik rasmi berkenaan perumahan dan mereka mendapati bahawa kadar purata pengangguran di China ialah lebih kurang 10.9%  dari tahun 2002 sehigga 2009, iaitu hampir tujuh peratus lebih tinggi berbanding kadar yang berdasarkan penganggur yang berdaftar dalam masa tersebut.[16]

Masalah yang dihadapi apabila mengkaji situasi ekonomi di China ialah sama ada kadar yang dilaporkan adalah tepat atau tidak. Ini kerana kadar yang dilaporkan tidak pernah berubah semenjak 2010 iaitu 4.1 peratus, sedangkan keadaan ekonomi China telah menjadai perlahan semenjak tahun itu. Lagipun kadar yang dilaporkan adalah bergantung kepada maklumat mereka yang mendaftarkan diri untuk mendapat bantuan pengangguran di kawasan mereka. Ia tidak mengambil kira keadaan  277 juta pekerja `musafir’ (migrant workers) yang berada jauh dari kawasan mereka dan tidak dapat mendaftarkan diri walaupun sebenarnya tidak mempunyai pekerjaan.[17]

Sebenarnya ekonomi China memang menghadapi berbagai risiko termasuk ekonomi yang semakin perlahan akibat jumlah hutang yang tinggi,  pasaran perumahan yang gelembung dan telah pecah ( walaupun sedang berkembang kembali), pasaran saham yang juga gelembung dan juga sudah pecah (juga sedang berkembang kembali)  dan hutang yang bermasalah sebanyak 20 peratus yang sedang merebak.[18]

 

China oleh itu menghadapi dua masalah serius di masa hadapan akibat dari ekonomi yang dijangka akan menjadi bertambah perlahan. Pertama ialah bagaimana hendak menangani cabaran `hutang bermasalah’ (non-performing loans atau NPL)  dan keduanya ialah bagaimana hendak menangani masalah sosial yang serius akan berlaku akibat dari masalah pembuangan pekerja dalam skala yang begitu besar di masa akan datang.[19]

 

Sebagai rumusan negara China telah menunjukkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang cepat semenjak ia mengadakan reformasi dan beramal dengan sistem pasaran bebas. Namun oleh kerana pertumbuhan ekonomi nya adalah berpaksi kepada sistem perbankan (yakni industri hutang) maka tidak hairanlah pertumbuhan itu juga disusuli dengan berbagai masalah termasuk pengangguran, kenaikan kos sara hidup dan juga masalah harga hartanah yang terlalu mahal yang menunjukkan wujudnya masalah gelembung aset (asset bubble) yang serius. Setakat ini banyak dari masalah itu berjaya dikawal dengan cara kerajaan mengadakan langkah stimulus. Tetapi ini juga bermakna penambahan kebergantungan kepada industri hutang dan oleh itu tahap hutang menjadi semakin tinggi. Dalam erti kata yang lain apa yang telah dilakukan hanyalah penundaan masalah kepada satu masa di hadapan. Tetapi kita semua tahu, berdasarkan apa yang telah berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, lambat laun masalah akan timbul juga dan kemungkinan besar pada skala yang lebih teruk. Oleh kerana ekonomi Malaysia banyak bergantung kepada ekonomi China, maka ekonomi kita sudah tentu juga akan terjejas.



[2] ibid

[3] Ding, Wang (2006). "Remnants of Christianity from Chinese Central Asia in Medieval ages". In Malek, Roman; Hofrichter, Peter (editors). Jingjiao: the Church of the East in China and Central Asia. Steyler Verlagsbuchhandlung GmbH. ISBN 978-3-8050-0534-0.

[4] Wang Jingyu, Shijiu shiji xifang ziben zhuyi dui Zhongguo de jingji qinlue (Beijing: Renmin chubanshe, 1983) at 146-148.

[6] Ibid

[13] ibid.




Prof. Mohd Nazari Ismail, PhD.
Faculty of Business and Accounting
University of Malaya
50603 Kuala Lumpur

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "Forum DISKUSI AJK IKRAM" group.
To unsubscribe from this group and stop receiving emails from it, send an email to ikram-ajk-diskusi+unsubscribe@googlegroups.com.
For more options, visit https://groups.google.com/d/optout.



--
______________________________________________________________________________________________
Gusar Telefon Hilang? backup data telefon anda, Gunalah dropbox. Saya sudah, anda bila lagi? reply email saya untuk pertanyaan :)
Ketahui lebih lanjut drop box dan daftar di https://db.tt/cAiSsrqm
________________________________________________________________________________
Muhamed Fared

Setiausaha NGO IKRAM Daerah Barat Daya
JK Belia & JK Media
Youtube: IKRAM Pulau Pinang

P.Setiausaha NGO GEMA Negeri Pulau Pinang
https://www.facebook.com/GEMAPulauPinang
Youtube: GEMA Pulau Pinang
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages