Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
Syarikat Penerbangan; Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan, Hentikan Eksploitasi Wanita
6 April 2017M bersamaan 9 Rejab 1438H
Pendedahan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung aduan seorang calon pramugari yang dikatakan melalui prosedur temuduga Malindo Air yang mengaibkan dirinya telah mengejutkan masyarakat khususnya kaum wanita di negara ini.
Wanita IKRAM merasa amat kecewa dan mengecam tindakan syarikat yang telah menjalankan proses temuduga dengan cara yang melampaui batas kesopanan, mengekploitasi wanita serta boleh dianggap penindasan dan gangguan seksual terhadap golongan wanita.
Turut mengecewakan lagi adalah apabila kenyataan balas pihak Malindo Air yang mempertahankan garis panduan yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai murni yang diamalkan dalam masyarakat yang bermaruah itu sebagai sesuatu yang biasa (normal).
Tindakan seumpama ini juga menunjukkan bahawa betapa maruah seorang wanita itu dengan mudah dijadikan seperti faktor dagangan oleh pihak syarikat untuk mengaut keuntungan. Peranan seseorang pramugari atau pramugara di dalam sesebuah syarikat penerbangan adalah untuk memastikan penumpang selesa sepanjang perjalanan dengan menyediakan keperluan-kepeluan yang munasabah.
Segala layanan yang diberikan hendaklah berada di dalam batas kesopanan dan bukan dengan mengeksploitasikan susuk badan wanita dengan menghendaki mereka berpakaian yang tidak sopan dan menjolok mata semasa menjalankan tugas mereka.
Wanita IKRAM dengan ini menggesa supaya
(i) Semua syarikat penerbangan Malaysia menyemak semula etika berpakaian petugas khususnya peramugari, yang secara langsung terkait dengan prosedur temuduga yang dijalankan seperti di Malindo Air. Syarikat penerbangan perlu berusaha meningkatkan nilai tambah kualiti perkhidmatan yang diberikan seperti kualiti makanan yang disediakan serta kemudahan-kemudahan lain yang sewajarnya untuk keselesaan pelanggan semasa penerbangan. BUKAN pula dengan mempamerkan wanita-wanita cantik berpakaian seksi yang juga menghadkan keselesaan pergerakan mereka dalam menjalankan tugas dengan baik.
(ii) Pihak Kerajaan melihat kepada keperluan memastikan polisi dan prosedur temuduga perjawatan khususnya yang melibatkan kaum wanita oleh pihak majikan, dibuat dengan lebih sejahtera serta menghormati hak-hak mereka sebagai insan, tidak mengandungi unsur-unsur menindas, mengekspoitasi atau membuli.
(iii) Kaum Wanita untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan, mengambil tahu akan hak-hak mereka dalam menjaga maruh diri. Mereka juga seharusnya berani tampil untuk membuat aduan ke atas mana-mana pihak yang didapati menjurus ke arah mengksploitasi wanita serta gangguan seksual.
Wanita IKRAM menyeru semua pihak untuk menghormati dan memartabatkan kaum wanita di negara ini dengan memelihara maruah diri mereka dalam usaha merealisasikan Negara Rahmah.
Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia