Wajah Kepimpinan Sayidina Umar r.a.

3 views
Skip to first unread message

tigermalaya69

unread,
Apr 14, 2011, 9:51:48 PM4/14/11
to GABUNGAN
Wajah Kepimpinan Sayidina Umar r.a.
by Mohd Fadli Yusof on Thursday, March 31, 2011 at 6:22pm

Apabila kita melihat lembaran sejarah para sahabat, maka didapati
kisah Sayidina Umar lebih panjang daripada sahabat yang lain. Malah
lebih banyak disebut namanya, sedangkan Sayidina Umar adalah khalifah
kedua berbanding Sayidina Abu Bakar As Siddiq.

Panjang dan banyaknya kisah Sayidina Umar Al Khattab itu bukan bererti
beliau lebih istimewa berbanding Sayidina Abu Bakar. Hanya kerana
Sayidina Umar berada pada zaman di mana Islam berkembang pesat dan
pengaruhnya hingga mencapai tiga suku dunia.

Kita juga perlu ingat dan faham bahawa kejayaan Sayidina Umar dengan
perluasan pengaruh dan perkembangan Islam yang pesat itu adalah
merupakan kesinambungan atau lanjutan dari zaman Sayidina Abu Bakar.
Dan lebih-lebih lagi kita tidak boleh lupa bahawa segala kejayaan dan
kegemilangan itu, semuanya adalah hasil buah tangan dari didikan
Rasulullah ﷺ. Di zaman mana pun Islam ini tidak akan dapat dipisahkan
dari mula cetusan perjuangannya oleh Rasulullah ﷺ.

Kedapatan banyaknya kisah Sayidina Umar Al Khattab ini kerana di zaman
beliau banyak berlaku perkembangaan terbaru, perubahan tamaddun, ragam
masyarakat, pengurusan dan pentadbiran negara dan rakyat, serta
peningkatan ilmu pengetahuan dan pemikiran. Dengan berbagai bangsa dan
budaya bernaung di bawah panji-panji Islam maka para pemimpin banyak
berdepan dengan situasi baru yang berbagai ragam.

Sayidina Umar sendiri selaku Khalifah Al Mukminin terpaksa bekerja
keras mengawal dan mempastikan barisan kepimpinan di bawah beliau
benar-benar berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab di kawasan
masing-masing. Perkembangan yang pesat itu terpaksa ditangani dengan
penuh kesungguhan untuk mempastikan seluruh rakyat dapat hidup dengan
cara Islam serta mengecapi keadilan yang merata. Dalam waktu yang sama
ancaman musuh tidak pernah reda.

Walaupun tidak seluruhnya ditulis oleh ahli sejarah, namun beberapa
pembaharuan (peraturan) telah dibuat di zaman Sayidina Umar yang tidak
berlaku sebelumnya. Di antaranya, pembayaran gaji kepada petugas dalam
pemerintahan. Tidak mengeluarkan zakat bagi muallaf dan setiap negeri
dikehendak menyumbang sedikit harta atau wang bagi mengisi
Perbendaharaan Pusat.

Sayidina Umar Al Khattab juga ada membuat garis panduan kepada barisan
pimpinan di sepanjang pemerintahan beliau. Garis panduan ini bertujuan
untuk menjaga kewibawaan pemimpin Islam, agar dengan itu pemimpin
tetap terpercaya. Dan juga bertujuan untuk menutup segala pintu fitnah
dan syak wasangka yang boleh menjatuhkan maruah kepimpinan Islam.

1. Seseorang itu memiliki penampilan diri seolah-olah seorang pemimpin
walaupun dia belum menjadi pemimpin dan penampilannya seperti rakyat
biasa apabila telah menduduki jawatan pemimpin.
2. Semua kemudahan yang disediakan oleh pemerintah tidak boleh
digunakan untuk urusan peribadi atau keluarga.
3. Pemimpin dikehendaki menonjolkan keunggulan masing-masing dengan
keluhuran budi dan akhlak atau keelokan jiwa yang terpuji dan bukannya
keelokan pakaian dengan menyembunyikan kebatilan.
4. Menegah pemimpin memiliki harta peribadi yang keterlaluan
banyaknya.
5. Melarang berkenderaan mewah.
6. Melarang berpakaian mahal dan halus.
7. Melarang menikmati makanan yang mahal, berlebihan dan mewah.
8. Melarang menutup pintu demi untuk urusan umat.
9. Hendaklah zuhud terhadap jawatan dan kekuasaan serta mengelak dari
dipilih. Tetapi andainya dipilih maka terimalah dengan penuh
penyesalan.
10. Rakyat menganggap berjawatan itu suatu yang istimewa, tetapi
pemimpin itu sendiri mesti menolak berbagai bentuk keistimewaan yang
diberikan oleh rakyat. Sayidina Umar memberi peringatan, "Aku benci
menjadi orang yang diistimewakan."

Kenikmatan yang dicegah oleh Sayidina Umar itu sama sekali tidak
diharamkan oleh agama. Namun beliau berpegang kepada prinsip bahawa
pemimpin mesti memilih keutamaan. Bermewah memang tiada larangan agama
namun kesederhanaan adalah keutamaan (aula).

Rasulullah ﷺ bersabda:

خيرلا مور أو سا طها

maksudnya, "Sebaik-baik perkara adalah sederhana." (Tirmizi)

Beliau mahu para pemimpin duduk pada taraf yaang sesuai dengan taraf
hidup rakyat bawahan (miskin) yang mereka itu dikasihi oleh Rasulullah
ﷺ. Selain itu Sayidina Umar mahu agar pemimpin benar-benar menjadi
majikan kepada rakyat dan bukan Kaisar dan Kisra.

Benarlah sabda Rasulullah ﷺ,

لوكان بعدى نبي لكان عمر بن الخطب

Maksudnya: “Kalaulah ada nabi selepas aku, tentulah dia Umar bin Al
Khattab.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Hakim)


محمد فضلي بن يوسف
26 Rabiul Akhir 1432H
31 Mac 2011

Silakan tag@share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila
nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah
menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke
FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini,
http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150149406921719)
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages