tigermalaya69
unread,Apr 14, 2011, 9:56:14 PM4/14/11Sign in to reply to author
Sign in to forward
You do not have permission to delete messages in this group
Either email addresses are anonymous for this group or you need the view member email addresses permission to view the original message
to GABUNGAN
Dunia Melayu menurut Sheikh Ahmad al-Fathani
Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Dipetik dan disesuaikan kembali dari : BLOG ULAMA NUSANTARA
penulis petik kembali kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau
tulis dalam bahasa Arab dan pernah diterjemah dan dimuat dalam buku
Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam,
jilid 1. Petikan itu ialah:
"Iaitu kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan
kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di
atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya'. Mereka adalah
kelompok atawa segolongan besar manusia. Negeri-negeri mereka adalah
sesubur-subur negeri dunia.
"Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah
alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar
atau terpisah-pisah. Pakar/ ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa
alam Melayu itu adalah sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.
"Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-
bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan "Jawah", iaitu satu
golongan manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu
bukanlah daripada orang Jawa.
"Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada
bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan
orang Hijaz/Arab memakai menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan
dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan
bahasa Melayu.
"Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak,
berperibadi sopan. Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai
pembaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh
pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman
padanya.
"Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka
kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka."
Tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah
dalam bahasa Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau
berjudul Tashil Nail al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa
tempat di dunia Melayu, mahupun di tempat-tempat lain di dunia Islam
terutama di Mesir.
Dengan kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang
Melayu tersebut di atas, bererti Sheikh al-Fathani telah
memperkenalkan peradaban dan ketamadunan Melayu di peringkat
antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau selesai
menulis kitab Tashil Nail al-Amani itu.
Perlu penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani
tersebut, dimulai dari kalimatnya, "...al-Malayuwiyah itu dibangsakan
kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di
atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya", takrif yang
diberikan bererti menurut dialek Arab dibunyikan dengan perkataan
"mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu
sendiri ialah "me" (Me-layu).
Tidak terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang
menyebut apakah perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa
lainnya. Kemungkinan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) yang disebut
oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu adalah berasal dari perkataan Arab.
Dunia Melayu - dari aspek geografi dan kesuburannya
Sheikh Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya,
"Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina". Ini
adalah gambaran bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit
oleh dua tanah besar dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.
Ia diperjelaskan lagi dengan kalimat, "Pakar / ahli ilmu geografi
mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-
negeri India-Cina. Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan
Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan
Jawah."
Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, "iaitu satu golongan manusia di satu
pulau yang besar di sana" atau di dunia Melayu. Dari perkataan "Jawah"
kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang
Jawa adalah serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-
Fathani orang Melayu tidak sama dengan Jawa.
Inilah yang dimaksudkan dengan kalimat, "Orang-orang Melayu bukanlah
daripada orang Jawa." Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia
Melayu dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab
Mekah. Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak
dalam gugusan kepulauan Melayu.
Selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Adalah alam Melayu itu
terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-
pisah", dalam Hadiqat al-Azhar. Ia adalah petikan Jaridah Al-Ma'lumat
terbitan Betawi.
Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: "Adalah
Kepulauan Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari:
Sumatera, Bangka, Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa,
Flores, Timor, Borneo / Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak
lagi".
Kalimat selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Negeri-negeri
mereka adalah sesubur-subur negeri dunia ..." yang dimaksudkan di sini
ialah bahawa keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak,
baik hasil tanah daratan, hasil laut mahu pun yang terkandung dalam
perut buminya yang demikian luas.
Dalam karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat
tentang kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di
bumi Melayu seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, "Padahal kita
jenis Melayu aula dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-
ubat itu pada bumi kita. Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu
diambilkan daripada bumi kita. Dan kita terlebih aula pada merintahkan
diri kita daripada jenis yang lain daripada kita".
Aspek bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu
Setelah memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh
Ahmad al-Fathani melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, "Bahasa
Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-
bahasa penduduk wilayah-wilayah itu."
Pada konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar,
Sheikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, "Bahasa mereka bermacam-macam
iaitu Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-
macam lagi]".
Walaupun di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh
sebab "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan /
mudah ...", maka bahasa Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.
Sheikh Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, "Sebab itulah
kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam
pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka
dengan bahasa Melayu".
Persyaratan sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang
bangsa Melayu hingga tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani
berpendapat, "Sebahagian ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa
seseorang tiada melihat di negeri mereka dan lainnya peminta-peminta
secara paksa, walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin sekali
pun".
Pandangan ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih
lengkap ditulis pada nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis
tahun 1313 H/1895 M. Catatannya, "Muru'ah, ertinya "kemukaan" atau
"kemanusiaan", iaitu kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan
beberapa adab yang ada sekalian itu pada dirinya yang membawa oleh
memeliharanya akan dia kepada baik segala perangainya dan elok segala
adatnya.
Dan terjemah hamba akan "muru'ah" dengan erti "kemukaan" itu, betul
lagi nyata, kerana "kemukaan" pada bahasa Melayu itu kinayah daripada
keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.
Yang membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik Lagi
tiada reda ia sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan
keadaan manusia.
Maka iaitulah 'ain "muru'ah" yang pada bahasa Arab, dikatakan "Si Anu
itu orang yang bermuka". Ertinya: "mempunyai maruah, yang ia malu
mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan
barang yang membawa kepada kepujian dirinya".
Dengan dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada
negeri mereka, istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka
itu dengan syukur sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu
daya.
Dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta.
Bersalahan setengah daripada jenis yang lainnya. Dan "kemukaan" ini
lain daripada "wajahah" yang pada bahasa Arab. Kerana makna "wajahah"
itu "al-hazhu wal ratbah".
Dan iaitu bukannya "kemukaan" yang pada bahasa Melayu. Maka
tertolaklah dengan demikian itu i'tiradh setengah manusia akan tafsir
hamba akan "muru'ah" dengan "kemukaan". Maka ia berkata ia [bahawa]
"kemukaan" itu terjemah "wajahah" yang pada bahasa Arab.
Ada pun tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemanusiaan", ertinya
"keadaan seseorang itu manusia yang sempurna".
Maka, iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu
bahawa bersifat ia dengan segala barang yang tersebut pada makna
"muru'ah" itu. Wallahu a'lam."
Masih dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail
al-Amani dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu "memiliki
kehormatan yang sopan ..."
Aspek perkembangan ilmu pengetahuan
Pada sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan
orang Melayu dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas
menerima ilmu pengetahuan.
Inilah yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu "menguasai
perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh
pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman
padanya".
Mengenai perkataannya "menerima pemodenan teknologi" Sheikh Ahmad al-
Fathani dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu.
(Lihat Al-Fatawal Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3,
Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1422 H/2002 M, halaman 31-32).
Aspek kedaulatan pemerintahan
Dalam konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani
mengakhiri kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, "Bangsa
Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-
kekuasaan kafir telah menipu daya mereka. Semoga Allah memelihara
negara-negara Islam daripada mereka (kafir). Amin".
Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa
karangan yang lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu
sehingga membentuk daulah yang dipegang oleh orang-orang Islam.
Namun selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah
datang menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh