Jangan Buka Aib Orang, Jangan Dedah Aib Sendiri

15 views
Skip to first unread message

tigermalaya69

unread,
Apr 14, 2011, 10:05:02 PM4/14/11
to GABUNGAN
Jangan Buka Aib Orang, Jangan Dedah Aib Sendiri

by Mohd Fadli Yusof on Friday, April 1, 2011 at 11:33am


...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang; ...(Al-Hujuraat 49:12)

(Status FB Mohd Fadli Yusof: March 25 at 8:09am)


Firman Allah SWT

وَلَا تَجَسَّسُواْ

Ayat ini berisi larangan umum untuk mencari-cari keburukan orang lain,
mencakupi berbagai macam jenis tajassus (mencari-cari kesalahan,
mengintai, mencuri dengar, mencuri pandang dan yang seumpamanya)

Menurut ulama tafsir, tajassus adalah mencari-cari aib dan aurah kaum
muslimin. Bererti kita dilarang mencari-cari aib saudara sesama
muslim, malah diperintah menutupinya.

Rasulullah ﷺ bersabda:

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
"Dan barangsiapa yang menutupi aib seorang muslim, Allah akan menutupi
aibnya pada hari kiamat". (HR. Bukhari & Muslim).

Menutupi aib itu bukan bererti bersubahat dan menyetujui perbuatan
jahat saudaranya itu tetapi tidak dijaja, tidak disebar dan tidak
diberitahu kepada orang lain, kecuali kalau terpaksa dengan maksud
untuk membaikinya, maka diadukan kepada orang tertentu umpamanya kadhi
atau pemimpin.

Kalaupun terpaksa didedahkan, itu pun menurut yang diharuskan oleh
syariat seperti untuk pendakwaan atau penghakiman yang sangat terbatas
kepada orang-orang tertentu. Bukannya tersebar hingga orang buta dan
orang pekak pun turut tahu. Anak-anak kecil yang belum pandai
membacapun pun sudah mendengar dan mengenal kemungkaran orang lain.

Mencari-cari kesalahan itu tetap di larang, telah jelas di dalam ayat
di atas, tetapi bila bertemu kemungkaran, wajib pula dicegah...Islam
ada cara dan panduannya, para sahabat dan salafussoleh contoh
teladannya.

Sebagai contoh, seseorang telah membawa al-Walid bin Uqbah kepada Ibnu
Mas'ud, lalu katanya "Ini al-Walid bin Uqbah, janggutnya menitiskan
khamar" (maksudnya ada tanda-tanda minum arak). Ibnu Mas'ud berkata,
"Sesungguhnya kita dilarang mencari-cari kesalahan, tetapi apabila
nampak sesuatu kita menghukumnya"". (al-Kabair hal: 159)

Kita lihat lagi contoh, bagaimana salafussoleh apabila bertemu
kemungkaran, dalam keadaan tiada saksi melainkan dirinya sendiri. Dari
Tsaur al-Kindi bahawasanya Umar bin al-Khattab berjalan di kota
Madinah di waktu malam. Dia mendengar suara lelaki sedang menyanyi di
dalam rumah. Maka Umar memanjat dinding rumah dan dia mendapati
bersama lelaki tersebut seorang wanita dan lelaki tersebut membawa
arak. Umar berkata, "wahai musuh Allah, apakah engkau menyangka bahawa
Allah menutupi kemaksiatanmu?"...

Lelaki tersebut menjawab, "Wahai Amirul mukminin, jangan terburu-buru
menghukumiku. Jika aku bermaksiat kepada Allah dalam SATU kesalahan,
sesungguh engkau telah bermaksiat kepada Allah dalam TIGA perkara.

PERTAMA: Allah berfirman,

وَلَا تَجَسَّسُواْ

"...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang ..."(Al-Hujuraat 49:12). Sedangkan engkau telah mencari-
cari keburukan orang.

KEDUA: Allah SWT berfirman,

وَلَـٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنِ ٱتَّقَىٰ‌ۗ وَأۡتُواْ ٱلۡبُيُوتَ مِنۡ
أَبۡوَٲبِهَا‌ۚ

"Dan bukanlah kebaktian memasuki rumah-rumah dari belakangnya ". (QS.
Al-Baqarah: 189).

Sedangkan engkau telah memanjat dinding dari belakang rumah tanpa
izin.

KETIGA: Allah SWT telah berfirman,

لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا غَيۡرَ بُيُوتِڪُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ
وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَا‌ۚ

"Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin
dan memberi salam kepada penghuninya". (QS. An-Nur: 27).
Sedangkan engkau telah masuk rumahku tanpa mengucapkan salam".

Lalu Umar berkata, "Apakah kamu akan mendapat kebaikan jika aku
memaafkanmu?". Dia menjawab, "Ya, demi Allah wahai Amirul mukminin
jika engkau memaafkanku, aku tidak akan mengulangi perbuatan semacam
ini untuk selamanya".
Maka Umar memaafkannya lalu keluar dan meninggalkannya. (Dikisahkan
oleh al-Kharaithi dalam Makarim al-Akhlaq no.: 513).

Lihatlah contoh yang telah ditunjukkan Khalifah Umar Al Khattab,
sedangkan waktu itu beliau berkuasa untuk menghukum, tetapi kerana
tidak cukup syarat, beliau melepaskan walaupun amat nyata orang itu
bersalah. Tetaplah berpegang dengan firman Allah dengan penuh
taqwa, ...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang; ...(Al-Hujuraat 49:12)

Ayat larangan mencari atau mengintai kesalahan itu tidak sama sekali
menafikan amar makruf Nahi Mungkar, kerana ia adalah satu kewajipan.
Sabda Rasulullahﷺ, “Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran
maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka
dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah
selemah-lemah iman” (Muslim)

Apa yang ditekankan dalam ayat larangan tajassus ini adalah cara atau
disiplin dalam mencegah kemungkaran. Dan inilah yang seringkali
dilanggar hingga membawa kepada kerosakan yang lebih besar.

Rancangan gossip, terjah dan sebangsa dengannya di kaca TV, jika
mencari-cari salah, tetap salah. Lebih-lebih lagi menyebarkan salah
orang yang belum tentu salah. Perbuatan menggosip itu sudah haram lagi
berdosa, yang menonton atau mendengarnya pun turut berdosa sama.

Mari kita lihat pesanan Al-Hafizh Ibnu Hibban, "Yang harus dilakukan
setiap orang berakal adalah mencari keselamatan, tanpa mencari-cari
aib orang lain, sambil meluruskan aib dirinya sendiri. Sebab siapa
yang dapat melihat dan memperbaiki aib dirinya tanpa mencari-cari aib
orang lain, bererti dia telah mententeramkan dirinya dan tidak
membebani hatinya. Selagi dia melihat aib dirinya, tentu dia tidak
nampak jika melihat aib serupa pada diri saudaranya."

Berbalik soal tajassus, pesanan Rasulullah ﷺ kepada umat, dalam sebuah
hadis daripada Mu’awiyah: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya
engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka. Kata Abu
Darda: Itu adalah perkataan yang Muawiyah dengar daripada Rasulullah
ﷺ, ALLAH memberikan manfaat kepadanya dengan perkataan tersebut.
(Riwayat Abu Daud. dengan sanad sahih)

Rasulullah ﷺ berpesan lagi:

لاتجسسواولاتحسسواولاتباغضواولاتدابرواوكونوعبادالله اخوانا

"Janganlah kalian mencari-cari keburukan dan mengintai kesalahan orang
lain, janganlah saling membenci, dan juga saling membelakangi. Jadilah
kalian sebagai hamba Allah yang bersaudara."

Imam Al-Auza'i mengatakan, perkataan التجسس bermaksud mencari-cari
sesuatu, sedang perkataan التحسس pula bermakna mencuri dengar
perbuatan seseorang atau sesuatu kaum, sedangkan mereka tidak menyukai
hal itu, atau mendengar dari sebalik pintu-pintu mereka. Adapun
perkataan التدابر bermaksud memutuskan hubungan. Demikian yang
diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim. (Tafsir Ibnu Katsir, Juz 26, hal
490)

Sedangkan aib sendiripun Allah larang kita mededahkannya, inikan pula
aib orang lain.

"Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa
yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan
Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan
perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan
hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla.
(Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615,
disahihkan dengan syarat Bukhari dan Muslim)

Marilah sama-sama kita taati perintah Allah dan Rasul ini, agar kita
terhindar dari dosa, termasuk dosa bersubahat, dalam perkara mencari-
cari keaiban orang lain dengan apa cara sekalipun. Bertaqwalah kepada
Allah, moga kita selamat di akhirat nanti.

محمد فضلي بن يوسف
27Rabiul Akhir 1432H
01 April 2011

Silakan tag@share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila
nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah
menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke
FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini,
http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150199090051719)
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages