NamaDinding" merujuk kepada lerengnya yang curam, dengan kecerunan yang lazimnya melebihi 45 darjah, sekaligus menjadi "dinding" yang memisahkan Wangsa Maju dan Setiawangsa. Bagi penduduk setempat, ianya dianggap kawasan hijau terakhir di situ. Lokasinya berdekatan dengan Bukit Antarabangsa di sebelah timur, yang merupakan sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa, dan beberapa kilometer sahaja daripada Highland Towers di situ, yang telah runtuh pada 11 Disember 1993 dahulu.
Hutan ini terdiri daripada tumbuhan primer dan sekunder. Sebelum ini ia merupakan sebahagian daripada ladang getah Hawthornden, dan terdapat banyak pokok getah tua. Di beberapa kawasan terdapat pokok-pokok jenis Acacia, Atrocarpus (Sukun dan Terap), Leucaena dan Alstonia augustifolia (Pulai). Terdapat beberapa hidupan liar, termasuk musang, monyet dan babi hutan. Tidak terdapat tapir, harimau atau gajah di kawasan tersebut.[5]
Bukit Dinding menjadi pusat aktiviti basikal bukit serta "downhill cycling", oleh kerana kepelbagaian kecuraman cerunnya. Terdapat kemudahan laluan jalan tar yang dibina untuk menara Telekom, membolehkan basikal dibawa ke puncak. Sekurang-kurangnya 5 denai hutan telah diterokai oleh para penggiat aktiviti basikal ini.
Menurut Presiden Pertubuhan Suara Setiawangsa, Harun Mohd Amin, sehingga tahun 1960-an terdapat sebuah air terjun di situ, yang kini telah dikambus atau diubah alirannya mengikut binaan sistem perparitan baru.[9]
Kawasan sekitar Bukit Dinding, termasuk Gonggang (kemudiannya Ladang Gonggang dan Hawthornden) di sebelah barat, dan lembah Sungai Gisir di sebelah utara, menjadi antara lokasi Perang Kelang / Perang Saudara Selangor di antara kumpulan Tengku Kudin dan Yap Ah Loy (menyebelahi Raja Abdullah) dengan kumpulan Syed Mashhor dan Chong Chong (menyebelahi Raja Mahadi). Di dalam salah satu babak pertempuran tersebut, pasukan Syed Mashhor telah menyerang pasukan Yap Ah Loy (diketuai Hiu Fatt and Tung Khoon) di Ulu Klang dari Ampang, manakala pasukan Chong Chong mara dari sebelah barat Bukit Dinding (yang kemudiannya menjadi Ladang Gonggang dan Hawthornden), lalu mengepung pihak lawan dari belakang, kemungkinan dari lembah Sungai Gisir di sebelah utara Bukit Dinding. Namun pasukan Yap Ah Loy yang lain (diketuai Chung Piang) sempat sampai ke lokasi kepungan dan setelah pertempuran yang panjang, berjaya mematahkan serangan lalu memaksa pasukan Chong Chong berundur kembali ke Ampang.[10]
Sekitar tahun 1883, kawasan barat daya Bukit Dinding yang dikenali sebagai "Gonggang" (sekitar Jalan Jelatek - Kampung Datuk Keramat - Setiawangsa kini) adalah antara pusat perlombongan bijih timah. Kawasan tersebut berkembang sehingga ke hulu Sungai Bunus di sebelah barat laut Bukit Dinding, iaitu di sekitar Wangsa Maju kini. Keadaan ini telah direkodkan di dalam sepucuk surat bertarikh 24 September 1883, daripada juruukur M'Carthy kepada H.F.Bellamy, ketika beliau mencadangkan pembinaan jalan baru bagi menghubungkan kedua-dua lokasi tersebut.[11] Sementara itu, ladang-ladang kopi mula dibuka secara besar-besaran di sekitarnya, sejak 1880-an.[12] Namun sehingga awal kurun ke-20, kawasan Gonggang ini, juga sepanjang lembangan Sungai Klang di sebelah selatan dan timur Bukit Dinding, masih menjadi pusat perlombongan bijih timah.[13]
Pada Oktober 1888, Ladang "Ulu Gonggang" di Batu 5 Jalan Pahang Kuala Lumpur (di penghujung sebelah utara pusat perlombongan Gonggang) telah dibuka oleh J. A. Toynbee, bekas pengurus ladang Weld's Hill kepunyaan syarikat Messrs. Hill and Rathborne.[14] Kemungkinan ladang Ulu Gonggang ini berkembang ke Batu 6 Jalan Pahang, dan dinamakan sebagai Ladang Hawthornden. Ladang ini kemudiannya berkembang ke timur/tenggara sehingga merangkumi sebahagian besar kawasan Bukit Dinding.[15]
Pada 3 September 1965, kerajaan persekutuan telah mengumumkan perancangan sebuah perbandaran baru di Ladang Wardieburn, termasuk sebahagian kecil Ladang Hawthornden: "Ladang Wardeiburn di-Jalan Ulu Klang menjadi sa-buah 'Bandar Baru' yang paling moden sa-kali di-Ibukota ini manakala Kerajaan membena kira2 200 penchakar langit 17 tingkat yang mengandongi 42,000 rumah pangsa mulai awal tahun hadapan. ... Projek tersebut yang dibahagikan kepada 11 kawasan berasingan akan meliputi seluroh kawasan ladang itu sa-luas 828 ekar termasuk sa-bahagian kechil dari kawasan Ladang Hawthornden."[16] Kemungkinan kawasan tersebut di sekitar Taman Bunga Raya kini. Ini adalah antara pembangunan terawal yang melibatkan Ladang Hawthornden, yang kemudiannya berkembang ke timur/tenggara, ke arah Bukit Dinding.
Pada 9 Disember 1983, Pelan Induk bagi kawasan ini, dikenali sebagai Projek Pusat Pertumbuhan Bandar Baru Ladang Hawthornden, telah diluluskan. Sejak itu, kawasan Wangsa Maju dibangunkan, seksyen demi seksyen, iaitu Seksyen 1 (apartmen kos rendah), Seksyen 2 hingga 4 (apartmen kos sederhana), dan Seksyen 5 (rumah teres, apartmen dan kondominium). Di dalam pelan tersebut, sebahagian daripada Bukit Dinding (ditandakan sebagai "R-12") telah pun diwartakan sebagai "Tapak Kediaman", namun tidak dibangunkan, dan masih kekal sebagai kawasan hutan sehingga kini.[17]
Sepanjang tahun 1983-1995, Ladang Gonggang Estate, termasuk kawasan kaki dan lereng sebelah barat daya Bukit Dinding, mula dibangunkan oleh syarikat Island & Peninsular (I&P) Group Sdn Bhd, yang telah mengambil alih ladang itu sejak 21 September 1981 lagi.[19] Sekitar Mei 1983, cadangan pelan pembinaan 6,000 unit perumahan, 150 unit kedai, dan sebuah pusat membeli-belah di situ telah diluluskan, dan mula dibina sekitar akhir tahun 1983.[20] Kawasan tersebut kemudiannya dikenali sebagai "Taman Setiawangsa". Peringkat terakhir pembangunan ini ialah Puncak Setiawangsa, dan disiapkan pada tahun 1995.[21]
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mempamerkan Draf Perancangan Bandar Kuala Lumpur / Draft Kuala Lumpur City Plan 2020 (KLCP 2020), mulai 15 Mei hingga 30 Ogos 2008. Dalam peta cadangan "Environmental Protection Zone" serta "Zoning", sebahagian besar Bukit Dinding telah pun dirancang untuk pembangunan kediaman (Residential).[22]
Pada hari Jumaat, 28 Disember 2012, sekitar 10 malam, kejadian tanah runtuh telah berlaku di Puncak Setiawangsa, di sebelah barat daya Bukit Dinding. Di dalam kejadian itu, sebuah benteng konkrit di lereng bukit setinggi 43 meter (dibina tahun 1992) tidak berupaya menyekat gelongsoran tanah bukit tersebut, lalu sebahagiannya turut merekah dan runtuh. Sebuah rumah di puncak bukit kelihatan rosak teruk, dan sekitar 10 buah rumah terletak berdekatan dengannya. Turut terancam adalah rumah-rumah dan lot kedai yang terletak di kaki puncak tersebut, berhadapan kawasan runtuhan. Sebagai langkah berjaga-jaga, penghuni 46 buah rumah di situ terpaksa dipindahkan.[23]
Pembangunan pertama di sebelah timur Bukit Dinding dimulakan sekitar September 2014. Walaupun menerima bantahan daripada penduduk setempat, projek tersebut tetap diteruskan dan telah diluncurkan pada 12 Ogos 2017, dan siap sepenuhnya pada tahun 2020. Dikhabarkan, semenjak itu kejadian banjir dan pencerobohan hidupan liar telah meningkat. Antara penduduk yang terkesan ialah rumah pangsa Kelumpuk Serindit, Keramat AU, dan sekitarnya.[24] Pemaju yang membangunkan kawasan tersebut adalah Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd.[25]
Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi "Projek Wangsa Maju", yang dicadangkan oleh Nova Pesona Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang bakal membangunkan sebahagian kawasan Bukit Dinding yang ditandakan sebagai R-12 dalam Pelan Induk Bandar Baru Ladang Hawthornden 1983. Penilaian ini antara lain telah mengenalpasti kawasan Bukit Dinding sebagai kawasan sensitif. Walaupun kawasan hutan dan taburan hidupan liarnya berstatus "miskin", antara impak projek yang dinyatakan ialah hidupan liar bakal melarikan diri ke sebelah timur Bukit Dinding, dan memerlukan khidmat pihak Perhilitan bagi memindahkan mereka, contohnya ke Hutan Simpan Ampang di sebelah timur.[27]
KLCP 2020 akhirnya diwartakan pada 30 Oktober 2018, namun banyak kandungannya telah dipinda dari versi asal yang turut melibatkan konflik kepentingan, serta tidak melalui proses pameran dan bantahan seperti sebelumnya. Sebagaimana yang telah dicadangkan di dalam Draf KLCP2020 pada tahun 2008, sebahagian besar kawasan Bukit Dinding diwartakan sebagai kediaman (Residential). Namun selebihnya dilabelkan sebagai "Taman Rekreasi Bukit Dinding" di dalam peta "Hierarchy Public Parks and Open Space" serta "Zoning", dan keluasannya berkurang dari 70 ekar (dalam Deraf KLCP 2020) kepada 50 ekar (Warta KLCP 2020).[28]
Di dalam Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, persempadanan Bukit Dinding masih tidak berubah, dan status tanah kosong yang tinggal, dinyatakan sebagai "Taman Kejiranan" ("Neighborhood Park"). Sehingga kini, ianya kekal sebagai "tanah kosong", dengan hanya pemancar Telekom Malaysia di puncaknya.[29]
Pada 28 Mac 2022, Pengarah Jabatan Kemajuan Bandar Zulkurnain Hassan telah meluluskan cadangan pembangunan 2 blok pangsapuri oleh syarikat Nova Pesona Sdn Bhd, sebagai kesinambungan kepada perancangan bandar sedia ada, dan disokong oleh laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environment Impact Assessment - EIA) pada tahun 2017 dahulu. Penduduk setempat yang tidak dimaklumkan mengenai hal-hal ini telah membuat bantahan berdasarkan EIA yang terlalu lama dan tidak menyeluruh, iaitu tidak membuat kajian cerun serta tidak mengambil kira risiko-risiko tanah runtuh dan lain-lain.[30]
Pada 15 September 2022, suatu sesi perjumpaan telah diadakan di antara syarikat pemaju Nova Pesona Sdn Bhd dan penduduk setempat. Di dalam sesi tersebut, pihak penduduk telah menyuarakan bantahan mereka terhadap pembinaan 2 blok kondominium 26 tingkat di situ, atas dasar kekhuatiran terhadap kesan-kesannya seperti tanah runtuh, banjir, dan kesesakan lalulintas. Pihak penduduk berpendapat, pihak syarikat telah gagal meyakinkan mereka berkenaan isu-isu tersebut, lalu bertindak meneruskan bantahan mereka melalui saluran-saluran media serta ruang awam. Pada 26 September, Datuk Bandar Kuala Lumpur menyatakan 25% daripada kawasan itu harus dikekalkan sebagai kawasan hijau, dan kerja pembinaan tidak boleh dimulakan selagi siri perbincangan dengan penduduk setempat belum dijalankan. Pada Oktober 18, penduduk setempat telah membuat laporan polis terhadap pihak pemaju, atas dakwaan penggunaan laporan EIA yang telah tamat tempohnya (2017, iaitu lebih daripada 2 tahun). Pihak pemaju pula menyatakan kawasan tersebut telah pun diwartakan sebagai kawasan kediaman sejak 1983 lagi, dan perkara ini turut termaktub di dalam Kuala Lumpur City Plan 2020. Menurutnya lagi, sistem perparitan akan dibina mengikut panduan keselamatan JKR, lalu akan dapat membendung larian air yang merupakan kekhuatiran utama penduduk setempat.[31]
3a8082e126