Petai menangis

1 view
Skip to first unread message

Gerakan Masyarakat

unread,
Mar 3, 2011, 1:35:56 AM3/3/11
to

JHEAIPP tampal notis larang puja pokok petai

Dari: Berita Harian

2011/03/03

PENDUDUK, Ishak Jusoh membaca notis dilekatkan JAIPP pada pokok petai 'menangis' di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal, Kepala Batas.

KEPALA BATAS: Lima hari selepas berita pokok petai 'menangis' di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal, di sini tersebar dan mendapat perhatian ramai, Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan notis supaya orang ramai tidak melakukan perkara bercanggah dengan ajaran Islam.

JHEAIPP menampal notis pada pokok petai itu yang melarang perbuatan memuja sebarang bentuk kejadian alam atau yang menghampiri perkara khurafat kerana bercanggah dengan Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

Mengikut seksyen itu, mereka yang melanggar larangan itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

Minggu lalu, media menyiarkan berita pokok petai itu yang mengeluarkan air melalui dahan sehingga kelihatan seperti menangis.

Selain itu, pokok petai berkenaan juga dikerumuni serangga riang-riang untuk tidur waktu malam dan mengeluarkan bunyi nyaring pada waktu siang hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.

Berikutan itu, orang ramai termasuk dari luar Pulau Pinang mengunjungi kampung berkenaan untuk menyaksikan pokok petai 'menangis'. Malah, ada yang menadah air daripada pokok itu dan dibawa pulang.

Sementara itu, seorang penduduk, Ishak Jusoh, 63, berkata orang ramai termasuk dari luar Pulau Pinang berpusu-pusu ke kampungnya untuk melihat pokok petai yang dikatakan 'menangis'.
“Ada yang datang dari Perak, Kuala Lumpur dan Johor selepas membaca berita mengenai pokok petai aneh dalam akhbar. Bukan orang Melayu saja, malah Cina dan India turut tidak melepaskan peluang untuk melihatnya,” katanya.

Beliau berkata, kakitangan JHEAIPP yang menggunakan teropong juga nampak dengan jelas air keluar melalui dahan pokok petai itu.

“Saya tidak minum air berkenaan tetapi ada juga penduduk yang mencubanya kerana beranggapan ia mempunyai nilai perubatan. Seumur hidup saya, ini kali pertama saya melihat pokok petai 'menangis',” katanya.
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages