Dua rumah ditelan tanah
Dari: Harian Metro
Oleh Junaidi Ladjana
KOTA KINABALU: Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah yang dialami lapan sekeluarga apabila nyaris terbunuh selepas dapur rumah mereka ranap dihempap tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Kabidan Kibabaig, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, penghuni rumah berkenaan, Elizaberth Jolius, 27, dikatakan baru beredar dari dapur selepas menyediakan sarapan pagi lalu mengejutkan suami dan tiga anaknya di dalam bilik sebelum terdengar bunyi geseran pokok serta dentuman kuat.
“Sebelum kejadian, saya sedang memasak nasi goreng untuk suami, anak, mentua dan adik ipar sebelum menuju ke bilik masing-masing untuk mengejutkan mereka.
“Sebaik kembali ke dapur, saya terdengar bunyi seakan guruh dan terkejut apabila mendapati dapur rumah bergegar dan bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Katanya, dia menjerit ketakutan hingga menyebabkan suami, David Pileh, 48, bergegas ke dapur dan melihat tanah di atas bukit mula menghempas dinding rumahnya.
“Tanpa membuang masa, suami mengarahkan saya bersama anak serta ahli keluarga lain lari menyelamatkan diri.
“Sekiranya kejadian ini berlaku ketika sedang bersarapan, sudah pasti kami semua akan mati tertimbus,” katanya.
Elizabeth berkata, rumah abang iparnya yang terletak bersebelahan turut ranap akibat kejadian itu.
Sementara itu, David bersyukur kerana bapanya, Pileh Balingai, 71, ibu, Christina Tulakan, 73, adiknya, Martin Harold, 30, dan tiga anaknya berusia empat, enam dan tujuh tahun terselamat.
“Kejadian berlaku sangat pantas dan menakutkan. Mujur kami tiada di dapur ketika itu.
“Sebaik menyedari rumah mula bergegar, saya mengarahkan semua ahli keluarga keluar menyelamatkan diri sebelum mendapatkan ibu yang terbaring akibat sakit tua di dalam bilik.
“Adik saya (Martin) turut membantu membawa keluar ibu ketika rumah kami hampir tertimbus,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan lereng bukit setinggi kira-kira 10 meter yang terletak di belakang rumah mangsa menggelongsor hingga memusnahkan kedua-dua rumah berkenaan.
Selain rumah, empat kenderaan milik keluarga kedua-dua mangsa turut diseret runtuhan tanah terbabit.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba Sabah, Mohamad Nor Amit ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.01 pagi dan tiba ke tempat kejadian lima minit kemudian.
Katanya, sebuah jentera bersama lapan anggota digerakkan bagi membantu memindahkan mangsa ke kawasan lebih selamat.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.
Kejadian itu juga menyebabkan dua lagi keluarga yang menetap di puncak bukit berkenaan terputus hubungan apabila laluan ke rumah mereka turut musnah menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Penampang terpaksa menggunakan laluan hutan bagi aktiviti menyelamat.