oleh Rogena R. Sining
Gambar oleh SOCCOM
Sandakan: Pada 21hb April 2019, kebangkitan Yesus telah dirayakan dalam Misa Kudus seawal jam 9 pagi. Misa ini diselebrankan oleh Yang Mulia Uskup Julius Dusin Gitom di gereja St. Mark, Batu 12, Sandakan dan dihadiri lebih kurang seribu umat.
Uskup Julius dalam homili mengatakan "kita telah merasai serta mengalami cinta kasihNya dalam kehidupan kita bermula dari pembaptisan kita. Kita datang bukan kerana suatu kewajipan melainkan kerana ungkapan cinta kasih kita terhadap Tuhan yang telah bangkit untuk menyelamatkan kita. Kebangkitan Tuhan bukan semata-mata untuk Tuhan sendiri tetapi untuk menyelamatkan kita semua. Itulah tujuan Yesus datang ke dunia ini iaitu demi keselamatan kita dan dunia.
Gereja bermula dengan komuniti yang sangat kecil dan tidak dapat diperhitungkan sebagai orang-orang yang penting di dalam masyarakat. Mereka adalah orang-orang yang sangat sederhana tetapi mereka mempunyai semangat yang tinggi, iman yang besar dan hati mereka berkobar-kobar untuk memberi kesaksian tentang Yesus Kristus.
Apa yang harus kita buat? Persoalan ini kita boleh tujukan kepada diri kita sendiri secara peribadi sebagai pengikut Tuhan Yesus. Paling utama ialah kita harus YAKIN. Yakin akan penebusan Tuhan, sebab dengan keyakinan yang ada pada diri kita, dengan adanya iman maka kita mempunyai pengharapan. Apabila kita mempunyai pengharapan, dari situlah kita tidak berhenti untuk memberitahu kepada mereka yang belum mengenali Tuhan Yesus dengan mengatakan Tuhan itu adalah Juruselamat manusia. Bukan itu sahaja, tetapi Dia berjalan bersama-sama dengan kita.
Selain dari itu, pengikut-pengikut Tuhan Yesus harus menubuhkan komuniti yang tetap bersatu, bekerjasama dan mengembala bersama. Inilah tugas kita, orang-orang yang telah menerima kemuliaan kebangkitan Tuhan. Bapa Uskup mengambil petikan dalam pembacaan kedua dimana Santo Paulus mengatakan kepada Jemaat di Kolose bahawa orang Kristian yang telah menerima kebangkitan Tuhan Yesus dan pembaptisan adalah orang-orang yang telah diperbaharui kehidupannya. Mereka tidak lagi memikirkan perkara-perkara di dunia ini tetapi memikirkan kemuliaan Tuhan di akhirat nanti. Ini bukan bermaksud tidak peduli dengan kehidupan di dunia, tetapi menjadi lebih yakin dalam kehidupan di dunia ini. Kita mengatakan bahawa 'ini adalah suatu kepentingan untuk membawa saya kepada kehidupan yang lebih baik iaitu kehidupan di Syurga'.
Kita harus menampakkan keyakinan dan pengharapan kita di dalam kehidupan kita sehari-hari. Memberi kesaksian dalam kehidupan kita dan menerima Tuhan Yesus sebagai Tuhan kita. Kita berikan hidup Tuhan Yesus itu di dalam keluarga, komuniti dan paroki kita."