"Manusia
menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya." - ini adalah
pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi. Namun demikian, kata-kata
ini banyak kebenarannya. Saya sedikit agak kecewa, bahkan mungkin
merungut sedikit. Saya memohon maaf jika tulisan saya kali ini agak
pedas dan keras (syadid) sikit daripada biasa. Hal ini adalah kerana
saya sememangnya tidak gemar apabila seseorang begitu mudah memberi
hukum tanpa usul periksa. Isu memboikot barang-barang tertentu yang
jelas bersekongkol dengan Israel, saya tegaskan bahawa saya sangat
bersetuju dilaksanakan, tetapi lakukan boikot tersebut dengan bijaksana
dan berhikmah. Bukan dengan membuta-tuli atau berlandaskan kejahilan
serta kebodohan yang kita miliki.
Umat Islam menjadi
lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka terlalu rendah. Malah,
untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita begitu malas. Umat Islam,
khususnya di Malaysia- lebih gemar mendengar khabar angin daripada
menyelidik untuk mencari kebenaran. Lantaran itu, apabila kejahilan
yang kita ikuti pasti akan mendekatkan diri kita ke gaung kehancuran.
Isu memboikot restoran makanan segera KFC telah dilancarkan secara
besar-besaran dalam kalangan
bloggers,
saya tidak tahu sama ada ia berlaku secara terancang, mahu pun terjadi
atas dasar kejahilan kita sendiri. Namun demikian, hal ini sedikit
sebanyak mengundang rasa kecewa dalam kalangan pengurus-pengurus kanan
KFC Holdings Berhad - dan sudah tentu juga bagi Pihak Tan Sri Muhammad
Ali Hashim, CEO JCorp yang menguasai syarikat Kulim Berhad, dan pada
masa yang sama, Kulim Berhad merupakan pemegang saham terbesar dalam
KFC Holdings Berhad.
Nampaknya, kejahilan dan
kebodohan kita selama ini, telah menyebabkan kita tidak mahu menyelidik
dan mencari kebenaran, malah lebih gemar mendengar khabar angin
daripada realiti. Tidak ramai yang tahu betapa susah dan gigihnya
kumpulan Tan Sri Muhammaa Ali Hashim bertungkus-lumus untuk beberapa
tahun, semata-mata mahu menguasai KFC Holdings daripada tangan orang
lain. Keluar masuk mahkamah dan pelbagai lagi cabaran, demi memastikan
KFC Holdings menjadi milik orang Islam. Namun demikian, apabila kita
malas untuk mencari kebenaran, maka yang kita peroleh adalah kejahilan.
Dan apabila kejahilan yang kita sebarkan ia bukan sekadar membuka pintu
fitnah, bahkan menunjukkan mentaliti umat Islam yang lebih mudah
dipengaruhi oleh khabar angin daripada menyelidik terlebih dahulu
sesuatu maklumat yang diterima.
Sejak akhir-akhir
ini tersebar luas kempen untuk memboikot KFC di seluruh Malaysia, tidak
kurang juga risalah yang bertaburan di masjid-masjid menyeru umat Islam
Malaysia agar memboikot KFC Malaysia. Yang lebih malang, kempen boikot
KFC yang penuh dengan fitnah ini datangnya daripada mulut mereka yang
tahu hukum hakam agama bahkah bergelar Imam dan Ustaz. Padahalnya,
mereka sendiri tanpa sedar menyokong rejim Ziones dengan menghisap
rokok di kaki tangga masjid. Bukankah lebih molek dan baik jika lakukan
kempen membiokot rokok? tidakkah kita tahu rokok itu haram hukumnya?
membawa banyak fasad (kerosakan) ke atas tubuh badan manusia? Dan pelik
apabila ada manusia yang menyuruh memboikot makanan yang halal tetapi
berdiam diri tentang rokok? Mengapa sampai begitu jahilnya kita ini?
Jika kita rasa bahawa kita tidak tahu, sama ada KFC Malaysia terlibat
dalam menyalurkan royalti (bayaran cukai) kepada KFC Amerika Syarikat
yang menyokong Israel, lebih baik kita diam. Jangan membawa fitnah ke
sana ke mari, semata-mata kerana kita sendiri tidak berapa pasti
maklumat tersebut dan hanya mendengar khabar angin.
Saya
sempat menghubungi pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim
sebentar tadi- ternyata mereka sangat kecewa dengan kempen kotor lagi
tidak bermaruah ini. Jelas, masyarakat kita kurang mengambil berat
terhadap kesahihah sumber maklumat dan kurang amanah dalam ilmu
pengetahuan. Perlu dijelaskan, bahawa KFC Malaysia hanya menggunakan
jenama (brand) KFC semata-mata dan tidak membayar apa-apa cukai atau
sebarang keuntungan kepada KFC induk di Amerika Syarikat. Cuma membayar
yuran penggunaan jenama. KFC Malaysia adalah hak milik kita. Ia halal
di makan tidak seperti rokok.
Menurut
Pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim, ini semua adalah
fitnah dan boleh menjejaskan pendapatan para pekerja di
restoran-restoran KFC di seluruh Malaysia yang berjumlah 19 000 orang
itu. Malah, rata-rata pekerjanya terdiri daripada orang Melayu-Islam.
Jika para pemboikot itu sanggup menyediakan pekerjaan baharu kepada
mereka, itu tiada masalah, silalah boikot. Tetapi malangnya, yang kita
tahu hanya memboikot, apabila disuruh untuk menderma ke dalam tabung
bantuan rakyat Palestin kita hanya sanggup masukkan RM 5 saja ke dalam
peti derma di tepi pintu masjid. Sekarang, mari kita bertanya di
manakah kita letakkan keutamaan jihad kita? memboikot sebuah produk
yang terbukti salah untuk diboikot atau menggandakan jumlah derma kita
kepada rakyat Palestin? Tepuk dada, tanya iman dan bukan tanya kepada
Aiman.
Saya tegaskan sekali lagi, tiada salah untuk
memboikot - tetapi biar secara bijaksana, berhikmah dan berilmu. Pilih
betul-betul produk yang jelas menyalurkan bantuan kepada Rejim Ziones
tersebut, jangan main sedap boikot saja. Umat Islam mundur kerana kita
ketepikan soal (bijaksana) sebab kita jarang baca al-Quran. Lantaran
itu kita mudah diperkotak-katik oleh bangsa lain. Adalah lebih baik
pada pandangan saya kita boikot semua jenama rokok. Jelas ia
memudaratkan kesihatan, malah jenama syarikat-syarikat besar rokok
antarabangsa belum tentu selamat daripada dikaitkan dengan negara
Israel.
Oleh yang demikian, saya menyeru kepada
sesiapa sahaja, pergilah menjamu selera di restoran-restoran KFC,
jangan ragu dan jangan gusar. Ia bukan sahaja halal, malah KFC Malaysia
adalah milik orang Islam dan tidak terlibat dalam menyumbang wang atau
royalti kepada negara Israel. Malah, ramai yang tidak tahu berapa juta
ringgit yang telah didermakan oleh JCorp hasil keuntungan KFC kepada
tabung rakyat Palestin. Semua ini memerlukan kita berhati-hati sebelum
memboikot.
Gambar
: Penulis bersama dengan Tan Sri Muhammad Ali Hashim di Pejabatnya.
Beliau yang bertanggungjawab memperkenalkan Jihad Bisnes dan Jihad
Ekonomi. Usaha beliau harus dipuji dalam menegakkan Islam melalui
perniagaan.
---
hantar 10,000 emel dengan sekali klik + bonus taja RM244,140 + bonus pool RM45,438