WAWANCARA Sasterawan
Negara Datuk A Samad Said berkata Pengerusi Bersama BERSIH Datuk S
Ambiga menjadi sasaran ancaman pelbagai pihak disebabkan beliau
keturunan India dan seorang wanita.

Sebaliknya, kata A Samad
(kiri), ancaman itu, antaranya 'senaman punggung' di hadapan rumah, tidak akan berlaku sekiranya beliau berada di tempat Ambiga.
"Ambiga memang sepatutnya (mengetuai). Beliau seorang peguam, beliau
mempunyai pengalaman yang banyak, dia menerima pujian dan sebagainya.
"Malang, oleh kerana dia seorang India, dia bukan Islam, malang. Kalau
Ambiga itu saya, tidak berlaku ancaman yang berlaku terhadapnya
(seperti) menayangkan punggung," kata A Samad ketika ditanya perbezaan
peranannya dalam BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0.
Samad, seorang lagi
pengerusi bersama gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu
menegaskan bahawa "tiada perbezaan tetapi mempermudahkan" sesuatu
perkara.
Ditanya sekiranya beliau dilihat lebih menonjol berbanding Ambiga, segala ancaman itu tidak akan timbul, Pak Samad menjawab:

"(Beliau)
seorang wanita kerana itu mereka bersedia untuk melanggar (Ambiga).
Kalau dari mula saya (pimpin), barangkali ada kewarasan-kewarasan yang
lain," katanya.
Pak Samad berkata, beliau mungkin juga akan
dituduh dipengaruhi fahaman komunisme disebabkan beliau membaca buku
tokoh aliran itu seperti Mao Zedong dan karya-karya sasterawan kiri
antaranya Fyodor Dostoyevsky dan Boris Pasternak.
'Sisa kuasa' hebohkan Melayu disanggah
Beliau bagaimanapun menegaskan membaca buku-buku jenis itu bukan untuk
mengikuti fahamannya sebaliknya hanya mahu membandingkan karya pelbagai
aliran.
"Jadi sebagai seorang penulis, (kita) ingin memahami.
Kita membaca di pihak sana untuk mewaraskan pihak di sini. Ini (tidak),
kita baca di pihak sana, tapi terus dicop (mengikuti) pihak sana (juga).
Itu salah (menurut pandangan) otak orang-orang yang resah," katanya.
Tokoh yang mesra dipanggil "Pak Samad" berkata rakyat Malaysia mudah bertelagah disebabkan isu perkauman.

Malah,
katanya, golongan yang disifatkannya sebagai "sisa kuasa" mula
menghebohkan bahawa kuasa Melayu sedang disanggah atau kaum lain akan
menyanggah ketuanan Melayu.
Pak Samad bagaimanapun mempersoalkan
kewajaran perkara itu ditimbulkan dan membangkitkan apa yang dilakukan
pihak yang membangkitkan perkara itu untuk melindungi ketuanan Melayu
ketika berada di "takhta kuasa".
"Pada hal kita tidak mudah untuk
mempercayainya. Oleh kerana kita merdeka sudah lama, kita mempunyai
perdana menteri, semuanya Melayu. Timbalan perdana menteri, semua
Melayu," katanya.
Ditanya sama ada golongan sastera mengambil
peduli isu dibangkitkan BERSIH, Pak Samad mengakuinya tetapi menurutnya
"bukan tugasnya untuk memobilisasi" kumpulan tersebut.
"Mereka
perlu bertanyakan hati mereka, adakah mereka harus menyertainya. Tugas
saya untuk memperjelaskan inilah situasi siasah negara kita.
"Adakah
kita mahu berlanjutan atau kita mahu mengubahnya," katanya sambil
menambah kumpulan sastera tidak terpisah dengan isu politik apabila
menghasilkan karya atau mengadakan sesuatu perbincangan.