Apakah
perbezaan di antara Rogol dan Hubungan Seks?
Rogol adalah perbuatan yang kejam di mana
perogol memaksa si mangsa untuk melakukan hubungan seks dengannya. Ia merupakan
perbuatan yang bersifat agresif yang bertujuan untuk memalukan dan menguasai si
mangsa. Rogol bukanlah seks. Seks melibatkan keizinan bersama pasangan.
Apakah maknanya Rogol Berkanun?
Melakukan hubungan seks dengan seorang gadis
yang berumur 16 tahun dan ke bawah dengan atau tanpa izinnya dianggap sebagai
rogol berkanun.
Kenapa lelaki merogol?
Satu mitos yang biasa didengar bahawa lelaki
tidak dapat mengawal nafsu berahi mereka. Walau bagaimanapun, hakikat yang
sebenarnya ialah rogol bukan mengenai daya penarik atau nafsu berahi. Ia adalah
mengenai kuasa dan pengawalan ke atas si mangsa.
Bagaimanakah Rogol itu berbeza daripada
jenayah-jenayah seksual yang lain?
Undang-undang mentakrifkan rogol sebagai
penembusan zakar lelaki ke dalam faraj seseorang perempuan dengan tanpa
izinnya. Wanita dan lelaki boleh diancam secara seksual dengan cara-cara yang
lain seperti seks di luar tabii, liwat serta sentuhan seksual yang tidak wajar.
Untuk jenayah-jenayah seperti ini, pesalah boleh didakwa melalui undang-undang
di bawah seksyen-seksyen lain, seperti pencabulan, liwat, pencabulan seksual
atau percubaan merogol. Jika anda merupakan seorang mangsa jenayah-jenayah
tersebut, anda masih boleh membuat laporan polis.
Kenyataan Sebenar bertentang dengan
Mitos-mitos berkenaan dengan Rogol
Mitos : Gadis-gadis yang memakai pakaian seksi atau menggoda
lelaki akan menyebabkan rogol berlaku.
Kenyataan : Rogol tidak ada kaitan dengan pilihan pakaian seseorang
gadis atau cara dia berkelakuan. Ini adalah satu mitos yang dijadikan alasan
supaya perogol dapat menyalahkan si mangsa. Orang yang patut dipersalahkan
kerana merogol ialah perogol itu sendiri. Kanak-kanak, wanita yang telah
berumur dan wanita yang berpakaian sopan atau mereka yang memakai tudung juga
pernah dirogol. Rogol bukan mengenai nafsu berahi. Rogol ialah suatu perbuatan
jenayah yang ganas di mana seks digunakan sebagai senjata.
Mitos : Kebanyakan
wanita dirogol oleh orang yang mereka tidak kenali.
Kenyataan : Statistik daripada pihak polis
menunjukkan bahawa cuma ada peratusan yang kecil sahaja kes-kes rogol dilakukan
oleh mereka yang tidak mengenali mangsanya. Dalam 80% kes-kes berkenaan, si
mangsa kenal perogolnya – dia merupakan seorang kenalan, kawan atau ahli keluarga
sendiri. Perogol boleh terdiri daripda sesiapa sahaja.
Mitos : Kebanyakan kes-kes rogol berlaku
di lorong-lorong gelap, tempat-tempat sunyi dan tempat-tempat bahaya.
Kenyataan : Menurut pihak polis, 69% kes-kes rogol berlaku di rumah
kediaman dan bangunan. Kaum wanita masih perlu berwaspada pada waktu malam, di
jalan-jalan sunyi atau di tempat-tempat gelap, tetapi mereka juga menghadapi
risiko di tempat-tempat lain.
Bolehkah seseorang menjadi hamil atau
dijangkiti penyakit kelamin (STD) setelah dirogol?
Jika kondom tidak digunakan semasa rogol
berlaku, risiko si mangsa menjadi hamil ataupun dijangkiti penyakit kelamin
adalah tinggi. Anda perlu menjalani pemeriksaan di hospital kerajaan, Bahagian
Kemalangan dan Kecemasan, di mana di sana anda juga boleh membuat laporan
rogol.
Bolehkah seseorang wanita berkahwin
setelah dirogol?
Ya. Seseorang wanita yang pernah dirogol
masih boleh berkahwin dan berkongsi hidup dengan seseorang yang dia cintai.
Perlukah seseorang wanita yang telah
dirogol berkahwin dengan perogolnya?
Kadang-kadang mungkin terdapat desakan
supaya si mangsa berkahwin dengan perogolnya, terutamanya jika dia telah
mengandung. Sesiapapun tidak patut dipaksa untuk berkahwin dengan perogolnya.
Jika seseorang wanita itu berkahwin dengan perogolnya, ada kemungkinan
penganiayaan itu akan berterusan selepas perkahwinan.
Apa harus saya buat jika saya telah
dirogol?
Jangan menyucikan diri atau bertukar
pakaian, walaupun anda ingin berbuat demikian. Ia akan menghilangkan
bukti-bukti yang penting seperti air mani, darah, air liur, rambut dan gentian.
Proses membuat laporan rogol mungkin
sukar bagi mangsa-mangsa rogol.
Dapatkan seorang kawan atau ahli keluarga untuk memberi sokongan dan menemani
anda ke hospital dan/atau ke balai polis atau hubungi salah satu organisasi
wanita bukan kerajaan atau perkhidmatan kaunseling.
Pergi ke Bahagian Kemalangan & Kecemasan
di hospital kerajaan untuk menjalani pemeriksaan dengan serta merta.
Doktor akan memeriksa anda untuk
mengumpul bukti-bukti.
Walaupun anda mungkin merasa tidak selesa, adalah amat penting untuk
mendapatkan bukti-bukti rogol dengan secepat mungkin.
Buat laporan polis secepat mungkin.
Kakitangan hospital akan menghubungi pihak
polis dan anda boleh membuat laporan di hospital atau jika anda pergi ke balai
polis dahulu, seorang polis wanita akan menemani anda ke hospital. Anda boleh
membuat laporan polis kemudian tetapi selepas 72 jam, kes rogol itu akan
dianggap sebagai "kes lama".
Adakan perbincangan dengan seseorang.
Berbincang dengan seseorang yang anda
percayai atau dengan menghubungi salah satu organisasi wanita bukan kerajaan
atau perkhidmatan kaunseling adalah sangat penting walaupun anda bercadang
tidak mahu pergi ke balai polis. Melalui perbincangan, anda boleh menangani perasaan
takut, bimbang dan hilang nilai diri yang sering dialami oleh mangsa gangguan
seksual. Pusat Kesedaran Wanita memberi perkhidmatan percuma secara sulit untuk
melindungi mangsa-mangsa.
Ingat, rogol bukan kesalahan anda!
Orang yang patut disalahkan kerana merogol
ialah perogol itu sendiri. Dengan melaporkan kejadian rogol, anda mungkin
menolong wanita-wanita lain daripada disakiti oleh perogol tersebut.
Apakah harus saya buat jika seseorang
kawan saya telah dirogol?
Apakah yang dapat saya lakukan untuk mencegah berlakunya rogol?