KUALA TERENGGANU, 16 April (Hrkh) - Sultan Terengganu, Sultan Mizan
Zainal Abidin bertitah, pembangunan luar bandar tidak wajar diketepikan
kerana masih ramai lagi rakyat hidup di kawasan itu.
Menurut Sultan Mizan, satu pendekatan pembangunan luar bandar yang
telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri ialah melalui Pusat-pusat
Pertumbuhan Desa.
"Walau bagaimanapun, beta dapati pembangunan Pusat-pusat Pertumbuhan
Desa masih belum mencapai kejayaan sebagaimana yang diharapkan,"
titah Sultan Mizan ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Yang
Ketiga Dun ke-11, hari ini.
Oleh yang demikian, tambah Sultan Mizan, pelaksanaan Pusat-pusat
Pertumbuhan Desa hendaklah dilihat kembali dan langkah-langkah yang
sewajarnya diambil bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
Selain itu, Sultan Mizan berpendapat kemajuan fizikal sahaja tidak
mencukupi sebaliknya ia hendaklah pada masa yang sama diimbangi dengan
kemajuan rohaniah dan insaniah bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang
syumul dan seimbang.
Justeru, titah Sultan Mizan, program-program khusus untuk memperkasakan
jati diri rakyat terutama golongan muda harus sentiasa menjadi teras
penting dalam setiap aspek pembangunan manusia.
"Pada masa yang sama, beta berharap kepada para ibu bapa agar
sama-sama memainkan peranan memastikan anak masing-masing diberi
pendidikan sempurna terutama dalam bidang keagamaan bagi menjayakan
hasrat membina generasi baru yang berakhlak mulia dan berkeperibadian
unggul," titah Sultan Mizan. - mns