Malah adegan cium antara ahli jawatankuasa Pemuda DAP (Dapsy), Tan Chen
Choon dan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan di dalam protes DAP di
luar pejabat Dewan Bandaraya KL semalam, dilihat sebagai sengaja
mencabar kesabaran pihak berkuasa dan undang-undang.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata disebabkan semua
agama menentang kegiatan tidak bermoral maka tidak wajar untuk
mempamerkan perlakuan sumbang di tempat awam.
Sehubungan itu katanya, PAS menyokong penuh keputusan Mahkamah
Persekutuan baru-baru ini memutuskan pihak berkuasa tempatan (PBT)
mempunyai kuasa membuat undang-undang dan peraturan bagi menyekat
perbuatan tidak sopan di khalayak ramai.
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang bersidang
bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Alauddin Mohamad Sheriff dan
Dato' Richard Malanjum, sebulat suara memutuskan Datuk Bandar Kuala
Lumpur (DBKL) adalah betul untuk mendakwa seorang guru sandaran dan
teman wanitanya kerana bercumbu di Taman City Centre Kuala Lumpur
(KLCC).
Bagaimanapun keputusan tersebut mendapat bantahan DAP dan beberapa
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan perhimpunan di depan
bangunan Dewan Bandaraya semalam.
Menurut Ustaz Idris, kuasa yang diberikan kepada PBT bagi menangani isu
moral rakyat negara ini adalah satu langkah bagi menbendung gejala yang
semakin parah sama ada di kalangan orang Islam mahupun bukan Islam.
"Persoalan ini mesti dilihat dari sudut asas kerana semua agama
menentang gejala yang tidak bermoral itu lebih-lebih lagi dalam agama
Islam," katanya yang dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Justeru, katanya, slogan kebebasan hak setiap individu tidak boleh
disalah gunakan sehingga membawa kepada runtuhnya nilai-nilai
kemanusiaan.
Ini katanya, termasuk bercumbu di khalayak ramai kerana ia bertentangan
dengan budaya serta agama masing-masing.
"Semua agama mahukan penganutnya mengamalkan hidup yang mulia tanpa
mempertonton nafsu syahwat kepada masyarakat," katanya.