Amaran jangan serang Iran -- Iran miliki pasukan lebih hebat daripada Al-Qaeda

2 views
Skip to first unread message

DelimaHijau

unread,
Apr 16, 2006, 4:01:05 PM4/16/06
to Delima Hijau
NEW YORK 16 April - Konflik Amerika Syarikat (AS) dengan Iran bakal
mendatangkan kerosakan lebih besar terhadap kepentingan AS berbanding
perang yang dilancarkan terhadap Iraq.

Bekas ketua antikeganasan White House, Richard Clarke memberi amaran
itu dalam sebuah artikel di akhbar New York Times hari ini.

Artikel tersebut ditulis bersama-sama Steven Simon, seorang bekas
pegawai Jabatan Negara yang juga pernah berkhidmat dalam Majlis
Keselamatan Negara.

Menurut Clarke, laporan bahawa pentadbiran Presiden George W. Bush
merancang untuk mengebom tapak-tapak nuklear di Iran menimbulkan
kebimbangan 'yang akan mencetuskan proses peningkatan ketegangan
berbilang langkah'.

Clarke dan Simon memberi amaran, Iran dijangka menggunakan 'rangkaian
pengganasnya' untuk menyerang kedudukan Amerika di seluruh dunia
termasuk di bumi AS sendiri jika negara itu diserang.

"Iran memiliki pasukan yang jauh lebih hebat daripada sebarang
penyerang yang mampu dikerahkan oleh Al-Qaeda," kata mereka sambil
menyebut hubungan Iran dengan pergerakan Hizbullah.

Iran juga boleh memburukkan lagi keadaan di Iraq, malah Teheran
dipercayai sudah merancang dan bersiap sedia untuk melancarkan
gelombang kejutan sebagai tindak balas, dakwa mereka.

Jika itu berlaku, Bush mungkin mengarahkan pengeboman diperhebatkan
dengan harapan rakyat Iran akan menggulingkan kerajaan pimpinan ulama
di Teheran.

Bagaimanapun kata mereka, perang Amerika terhadap Iran besar
kemungkinan akan memastikan pemerintahan ulama bertapak kukuh untuk
tempoh puluhan tahun lagi.

Kedua-dua penulis itu membuat kesimpulan, persamaan perkembangan
sekarang dengan apa yang berlaku menjelang perang dengan Iraq terlalu
jelas.

Ujar mereka, Bush pada Mei 2002 mendakwa 'tidak ada rancangan perang
di atas meja saya' walaupun beliau telah menghabiskan berbulan-bulan
merencanakan rancangan terperinci untuk menyerang Iraq.

Sementara itu, AS sudah mula merancangkan kempen ketenteraan
besar-besaran terhadap Iran sebelum serangan ke atas Iraq pada Mac 2003
lagi.

Seorang bekas penganalisis perisikan AS, William Arkin hari ini
mendedahkan kempen tersebut yang melibatkan serangan peluru berpandu
dan serangan darat terhadap Iran serta operasi tentera laut untuk
menguasai Selat Hormuz.

Menurut beliau, rancangan itu dikenali di kalangan pegawai tentera
sebagai TIRANNT iaitu akronim bagi 'Theater Iran Near Term' (Medan
Perang Iran Tempoh Terdekat).

- Reuters

Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages