erasaan yang paling gejolak dalam sanubari ketika saya ditahan di bawah
ISA adalah takut dan berharap. Sebagai insan biasa, takut bererti
merasa gerun jika saya terus dipenjara bertahun-tahun lamanya. Berharap
pula bererti perasaan yang berterusan menanti-nanti saat dan ketika
agar dibebaskan secepat mungkin.
Sebagai manusia kerdil, sudah pasti ingatan terhadap anak-anak, isteri
dan bapa yang sudah tua membawa saya untuk sentiasa berharap bahawa
penahanan saya tidak lama. Mungkin enam bulan. Mungkin tiga bulan!
Itulah perasaan yang bermain di lubuk hati saya.
Saya dan Ezam, rakan seblok tahanan saya, pada hari-hari pertama kami
di Kem Kamunting tidak mahu bercakap banyak tentang masa depan kami.
Masing-masing memendamkan perasaan. Mungkin Ezam juga tidak mahu
dikurung lama.
Saya sembunyikan perasaan saya. Saya tidak membuka mulut tentang
perkara tersebut. Tidak saya zahirkan saya bersedia ditahan lama. Tidak
pula saya zahirkan yang saya mahu dibebaskan segera.
Jujur?
Apapun itulah perasaan saya ketika itu. Saya bukan wira. Saya pun tidak
mahu jadi hero. Saya mahu..........bebas!
Pada minggu pertama saya di Kem Kamunting, tidak terlintas bahawa saya
akan ditahan lebih dari satu tahun. Saya enggan memikirkan kemungkinan
tersebut!
Terasa seram. Gerun. Meremang bulu roma!
Bagi saya mustahil penahanan kami akan berlangsung hingga satu tahun.
Raja Petra dan Pak Din dibebaskan sebelum cukup 60 hari soal-siasat.
Ghani dan Gobi pula dibebaskan oleh keputusan mahkamah. Kempen di luar
begitu semarak. Isteri-isteri dan anak-anak turut menyumbang
meningkatkan kempen untuk membebaskan kami.
Tekanan masyarakat dan badan-badan hak asasi manusia tempatan dan
antarabangsa memuncak mengutuk penahanan kami. Tidak mungkin Mahathir
dapat bertahan.
Dengan itu semua, mustahil saya akan ditahan sehingga satu tahun di Kem
Kamunting. Paling lama enam bulan. Mungkin tiga bulan. Hati kecil saya
memujuk diri saya bahawa mungkin seminggu dua lagi saya akan
dibebaskan. Entah-entah esok ada SB datang dari Bukit Aman menyampaikan
berita yang saya boleh balik!!!
Begitulah kerdilnya jiwa ini. Begitu daifnya perasan hati. Tinggi
sekali kemahuan insan terhadap kebebasan.
Semasa disoal-siasat oleh SB, setelah berlalu 40 hari, perasaan saya
mula menjadi cemas. Terdetik di hati: "Eh, aku akan ke Kamunting ke?".
Tetapi saya cuba menguatkan perasaan saya berkali-kali dengan berkata
dalam hati " Tidak..tidak..tidak. Bebas..bebas..bebas". kata orang
dalam bahasa Orang Puteh: "I was in the state of denial"
Doa dan permintaan saya kepada Allah adalah agar dibebaskan. Tidak
dihantar ke Kem Kamunting.
Pada masa itu saya benar-benar merasakan saya diletakkan dalam satu
terowong gelap yang tiada penghujungnya. Tiada cahaya kelihatan di
hujung terowong. Oh, panjangnya terowong itu. Oh gelapnya, tiada
sebarang petanda.
Sehari sebelum saya dihantar ke Kem Kamunting, saya membaca sepotong
ayat Al-Quran.
Tersentak jiwa raga saya. Bagai nak tercabut jantung saya! Seolah-olah
ayat tersebut ditujukan kepada saya. Bukan tidak pernah saya dengar
ayat tersebut. Ayat itu sudah banyak kali saya dengar dalam
program-program usrah dan tarbiyyah. Bahkan saya sendiri menyampaikan
tazkirah beberapa kali berpandukan ayat tersebut!
Seolah-olah ada satu suara yang membisikkan kepada saya. Dihantar ke
Kamunting adalah baik bagi kamu. Hanya kini kamu tidak sedar dan tidak
nampak kebaikannya. Setelah kamu melaluinya, pasti ianya baik bagi
kamu.
Bukan! Bukan! Bukan! Bukan untuk saya. Bukan ke Kamunting! Tidak ada
baiknya merengkok di Kem Kamunting. Tidak ada baiknya dipisahkan
daripada anak-anak dan isteri tercinta. Yang ada adalah penyiksaan.
Pilu. Sedih. Sengsara!
Ayat itu adalah ayat 216, Surah Al-Baqarah yang mafhumnya : "....dan
boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan
boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan
(ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu
tidak mengetahuinya"
Bagi mengukuhkah jiwa, saya membaca sirah sahabah. Saya menekuni
kisah-kisah Mus'ab bin Umayr, Salim Maula Abi Hudhayfah, Nu'man bin
Al-Muqarrin, Utbah bin Ghazwan, Zaid bin Al-Khattab, Khabbab bin
Al-Arat, Al-Bara bin Malik Al-Ansari, Abbad bin Bishr dan lain-lain
lagi.
Tiba-tiba perasaan saya tersentak. Tidak saya sedari air mata saya
mengalir deras. Sederas denyutan nadi saya.
Seorang sahabah Rasulullah s.a.w telah ditawan oleh musuh. Beliau
dihadapkan kepada para pemimpin musuh. Beliau diperintahkan untuk
menghina Rasulullah s.a.w. Beliau enggan. Seorang pahlawan datang
menetak sebelah tangannya dengan pedang tajam hingga putus.
Beliau diperintah lagi untuk menghina Rasulullah s.a.w. Sekali lagi
beliau enggan. Sekali lagi juga tangannya yang sebelah lagi ditetak
dengan pedang tajam. Putus dan kudung kedua-dua belah tangannya.
Beliau tetap bertahan. Teguh iman. Cekal pendirian!
Sekali lagi beliau diarahkan menghina Rasulullah s.a.w. Beliau tetap
bertahan. Kali ini kakinya pula dipancung hingga putus. Maka ia jatuh
dan terus dibunuh.
Syahid!
Membaca kisah ini terasa kerdil sangat diri saya. Saya hanya bergelut
mahu dibebaskan sedangkan sahabah Rasulullah s.a.w bertahan dan tidak
sedikit pun runsing walaupun bergelut antara hidup ataupun mati.
Saya merasa diri saya begitu kerdil kerana para sahabah diuji aqidah
dan keimanan mereka. Sedangkan saya hanya disoal-siasat dan dipaksa
oleh SB untuk meninggalkan komitmen dan kepercayaan politik saya.
Terasa begitu kerdil. Malu kepada Allah. Teresak-esak saya menangis
dalam keheningan malam di Kem Kamunting.
Saya mengaku menjadi anggota gerakan Islam. Pernah menerajui gerakan
Islam. Pernah melalui tarbiyyah dengan aneka jenisnya; usrah, tamrin,
qiyamullail, iftar jama'i, rehlah, katibah dan mukhayyam. Tetapi inikah
sifat seorang pejuang Islam? Beginikah kualiti seorang da'i?.
Saya insaf. Beristighfar kepada Allah. Terasa benar-benar malu kepada
Allah. Apalah ertinya kebebasan jika bebas dengan segala kedhaifan dan
kelesuan jiwa?
Saya mesti bangkit. Saya mesti lawan. Bangkit melawan. Bebas sebagai
seorang yang melawan. Bukan bebas sebagai seorang yang tewas. Patah
semangat. Berjiwa bacul!
Hari-hari seterusnya membuka ruang seluas-luasnya bagi tajdid diri
saya. Saya bangkit dari terlalu berharap inginkan bebas tanpa melawan.
Saya mesti memenuhi tuntutan tarbiyyah. Penjara adalah medan penting
bagi tarbiyyah.
Beberapa hari kemudian saya dapati saya berada dalam satu perjuangan
menentang kezaliman. Menentang pembohongan dan kebatilan. Senjata saya
adalah pena dan kertas. Saya bongkar satu persatu. Saya dedahkan segala
kepalsuan.
Meletup!
Afidavit kami meletup di seluruh dunia. Afidavit yang kami kemukakan
bagi permohonan habeas corpus kami melondehkan pekong dan pembohongan
kerajaan Umno-BN serta kebobrokan dan tembelang SB.
Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Anum telah mengecam Ketua Polis
Negara, Tan Sri Norian Mai yang telah memalukan kerajaan.
Memang! kerajaan Umno-BN memang tidak tahu malu!
Saya terus menulis dan menulis. Bila dua buah buku saya "Suara dari
Kamunting 1 & 2" terbit hanya selepas lima bulan saya berada di Kem
Kamunting, sedarlah saya:
Sadaqallahul 'Azim.
Allah itu benar. Benar! Benar! Benar!
"....dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi
kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi
kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu),
sedang kamu tidak mengetahuinya" (Al-Baqarah:216)
Ketika itu tidak dalam rancangan saya untuk terus menerbit.
Rupa-rupannya sepuluh buah lagi buku menyusul selepas itu.
Dengan izin Allah, saya adalah tahanan ISA pertama di negara ini yang
telah menulis dan menerbitkan 8 buah buku dan menyunting dan seterusnya
menerbitkan 4 buah buku semasa masih lagi ditahan di Kem Kamunting.
Saya ditahan di Kem Kamunting kurang dua jam setengah genap dua tahun!
Dua tahun yang amat berbaloi!.
Allahu Akbar!