Beliau berkata, selaras tema yang diputuskan parti baru-baru ini
'Menentang Penghinaan Terhadap Islam', PAS akan pertahankan kesucian
Islam kerana akhir-akhir ini kedudukan Islam cuba diusik oleh beberapa
pihak tertentu termasuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
"PAS berpendirian tegas dalam hal yang berkaitan Islam lebih-lebih
lagi penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. dan Islam itu sendiri, jadi
sekarang ini kita akan terus pertahankan daripada dihina mereka,"
katanya.
Menurutnya hanya dengan cara tersebut PAS dapat meraikan sambutan hari
kelahiran junjungan mulia Rasullullah bagi menghidupkan al-sunnah dan
al-Quran.
Katanya, tidak ada yang paling tinggi bagi memuliakan Maulidur Rasul
melainkan pertahankan syariahnya.
Sebagai dalam siasah katanya, PAS berasakan satu uslub yang mampu
digembelengkan untuk kembalikan syariah Islam di tempatnya.
"Perjuangan menegakkan syariah adalah perjuangan yang ditinggalkan
Rasulullah kepada kita.
"Tidak ada maknanya kita menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w.
setiap tahun jika risalah yang dibawa baginda tidak diamalkan,"
katanya.
Sehubungan itu katanya, sepanjang bulan yang mulia ini, PAS akan
mengadakan program sambutan Maulidul Rasul mengikut tarikh dan tempat
sebagaimana yang diaturkan oleh PAS negeri masing-masing.
Sementara itu, beliau yang berada di Turki berkata, beliau dijemput
bagi mewakili PAS untuk menghadiri muktamar parti Saadet yang
berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu.
Di atas kesempatan itu katanya, beliau mengadakan pertemuan dengan
Presiden parti tersebut, Recai Kuttan bagi membincangkan isu-isu semasa
dan perjuangan Islam.