KOTA BHARU, 11 April (Hrkh) - Kira-kira 2,000 anggota Dewan Pemuda
PAS dari seluruh Kelantan berhimpun di Padang Perdana petang ini bagi
menyatakan pendirian teguh berada di belakang kerajaan di bawah
kepemimpinan ulama sekarang.
Ia diadakan sempena Ijtimak Pemuda PAS Kelantan 2006. Tahun lepas
program serupa diadakan di Machang.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Ridza Zain berkata,
kebelakangan ini ada pihak cuba mengugatkan kerajaan negeri dengan
memainkan isu supaya DUN Kelantan dibubarkan.
"Selain itu isu membeli Adun PAS masih lagi menjadi strategi
berterusan pihak lawan untuk mengugatkan kerajaan negeri. Oleh itu
Pemuda PAS dari seluruh Kelantan berhimpun bagi menyatakan pendirian
teguh bagi mempertahankan kerajaan yang ada sekarang," katanya di
sini
Program tahunan itu bermula pada jam 3.30 petang tadi dimulakan dengan
ucapan Timbalan Ketua Pemuda negeri, Ustaz Zulkifli Mohd Yusof, diikuti
ucapan Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Negeri, Drs Zainuddin Awang
Hamat.
Pemuda yang hadir kemudian menunaikan solat Asar berjemaah yang
diimamkan Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.
Selepas itu, veteran PAS, Dato' Omar Mohamad berpidato dengan
mengungkitkan kembali sejarah lampau yang berlaku sehingga kerajaan PAS
Kelantan tumbang kepada Umno pada pilihan raya umum 1978.
"Keadaan itu berlaku kerana tidak ada kekuatan sesama kita sehingga
musuh mengambil kesempatan. Namun sekarang keadaan berlainan di mana
kekuatan kita sukar digugat musuh sehingga mereka gagal dalam beberapa
percubaan yang dibuat," katanya.
Program sebelah petang itu diakhiri dengan ucapan Timbalan Pesuruhjaya
1, Dato' Ahmad Yakob. Malam ini program itu akan diteruskan dengan
solat Maghrib, bacaan Yassin dan solat Isyak serta solat hajat
berjemaah.
Bermula jam 9.30 malam pula ceramah perdana yang akan membariskan Ketua
Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Zaki Ibrahim, Ketua Dewan Pemuda PAS
Pusat, Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan
Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sementara itu, sambutan Maulud Rasul hari ini diisi dengan kenduri
kesyukuran di rumah bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri,
Dato' Ahmad Rusli Ibrahim di Perol dan pelancaran tabung pembangunan
Pondok Al Ihsan, Kechelong, Bachok.
Malam tadi, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri diadakan di Masjid
Muhammadi.