Google Groups no longer supports new Usenet posts or subscriptions. Historical content remains viewable.
Dismiss

Ketuanan Melayu dan Ketuanan Rakyat

1 view
Skip to first unread message

Politikus

unread,
Jan 28, 2009, 10:08:17 AM1/28/09
to

Will most of the Malay populace understand the difference? :-(

<<< Fast Forward Asia <<<

==========
Otak Umno dalam Pakatan Rakyat
Hishamuddin Rais | Nov 5, 08 5:06pm

Hegemoni ketuanan Melayu yang disebarkan oleh United Malays National
Organisation kelihatan telah dapat memerangkap dan menjaring fikrah
sebahagian ahli PKR.

Ketuanan Melayu ini juga "mencelarukan pandangan agama" sebahagian
anggota-anggota PAS. Ketuanan Melayu ini juga memperlihatkan pandangan
cetek dan cauvanis sebahagian ahli DAP.

Kelemahan ini jelas terpampang dalam kes pelantikan pemangku pengurus
besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Pelantikan ini telah
mencarikkan kulit ahli-ahli PKR, PAS dan kulit ahli DAP sehingga
menampakkan kemelayuan, kecinaan dan keislaman mereka yang jumud lagi
pencong.

Semua ini membuktikan bahawa falsafah ketuanan rakyat yang diajukan
oleh Pakatan Rakyat masih belum difahami untuk dihayati secara
mendalam.

Ketuanan rakyat ialah falsafah yang tidak menobatkan Melayu, Islam,
Cina, India, Kadazan, Dayak atau Melanau. Ketuanan rakyat tidak
berpaksikan bangsa atau agama. Ketuanan rakyat melihat keupayaan
individu. Ketuanan rakyat melihat keperluan individu. Ketuanan Rakyat
mengungguli dan menobatkan seseorang bukan kerana seseorang ini
Melayu, Islam, Cina, India, Kadazan atau apa sahaja.

Ketuanan rakyat mengajukan dasar membela kepentingan dan keperluan
satu-satu kumpulan baik Melayu, baik Islam, baik Cina atau India.
Semua bangsa dan semua agama akan dibantu jika mereka memerlukan
bantuan. Wajib dan perlu dibantu bukan berasaskan Melayu, Islam, Cina,
India, Kadazan – tetapi berasaskan yang paling layak mendapat bantuan.

Ketuanan rakyat menobatkan keupayaan, kejaguhan dan fikrah individu.
Ketuanan rakyat mengajukan dasar meritokrasi.

Kita melihat selama 50 tahun bagaimana dasar ketuanan Melayu telah
memporak-perandakan lembaga-lembaga asas yang menjadi tiang pasak
kewujudan negara kita ini. Lihat bagaimana ketuanan Melayu telah
memerosotkan lembaga-lembaga keilmuan – dari sekolah rendah hingga ke
universiti, semuanya merosot.

Atas dasar hendak memperbanyak pelajar Melayu akhirnya sekolah rendah,
sekolah menengah dan universiti kita lingkup. Tahun demi tahun tahap
pembelajaran kita merosot. Semua ini kerana dasar hendak meramaikan
Melayu ke pusat pengajian tinggi. Hasilnya ramai Melayu dapat belajar
tapi nilai ilmunya di bawah sifar.

Melantik Melayu menjadi naib canselor tidak mencukupi. Cap Melayu
tidak akan menjanjikan keunggulan ilmu. Keilmuan seseorang itu bukan
kerana dia memiliki cap Melayu atau kerana dia ada cap Islam atau
kerana dia ada cap Cina. Keilmuan individu wujud kerana individu itu
berilmu.

Ketrampilan individu bukan kerana bangsa atau agamanya tetapi kerana
keilmuan dan keupayaan fikrah individu itu.

Lihat bagaimana ketuanan Melayu telah meruntuhkan lembaga kehakiman
negara ini. Atas dasar hendak menaikkan dan meramaikan Melayu di
lembaga perundangan, hasilnya kita lihat bagaimana peguam dan hakim
dalam mahkamah boleh dibeli dan dirasuah.

Apabila terjadi sedemikian, yang dinaikkan bukan ilmu dan keadilan.
Yang dijadikan pedoman bukan prinsip undang-undang tetapi Melayu.
Gejala ini bukan lagi satu rahsia. Semua warga sedar bahawa lembaga
kehakiman kita boleh dibeli. Ertinya keadilan dalam negara kita ini
bukan lagi berasaskan siapa yang betul dan siapa yang benar.

Apa yang sedang berlaku - lembaga kehakiman akan dilihat betul, benar
dan menjadi adil jika ia Melayu atau Islam. Pandangan ini salah.

Keadilan dilahirkan bukan kerana Melayu, Islam, Cina atau Kadazan.
Keadilan wujud kerana yang adil itu adalah yang berhak. Yang hak itu
berasaskan undang-undang yang adil yang telah diwujudkan secara adil.
Perlembagaan dan undang-undang diwujudkan untuk menobatkan keadilan,
bukan untuk menobatkan Melayu, Islam, Cina, Kadazan atau India.

Dalam ketuanan rakyat, keadilan milik semua.

Melantik hakim kerana hakim itu seorang Melayu tidak akan menjamin
keutuhan undang-undang dan keadilan. Melantik ketua PKNS kerana
seseorang itu Islam, Cina atau Melayu tidak akan menjamin apa-apa.
Terbukti selama 50 tahun ini gerombolan United Malays National
Organisation telah mengagungkan slogan "hidup Melayu" dan "ketuanan
Melayu". Hasilnya elek.

Selama 50 tahun gerombolan United Malays National Organisation telah
juga melaung-laungankan keislaman gerombolan mereka. Hasilnya elek.

Lantikan pegawai PKNS yang dilakukan oleh kerajaan Selangor kerana
susuk itu yang paling layak, yang paling berpengalaman. Bangsa, agama
dan gender individu ini tidak diambil kira. Fikrah dan pengalaman
susuk ini yang dipentingkan.

Ada pandangan dari satu jalur kabilah parti DAP yang pencong. Tidak
dapat tidak masih terdapat sebahagian anggota DAP ini yang masih
memiliki faham kecinaan yang tebal. Pandangan kecinaan ini sebenarnya
tidak ada bezanya daripada kemelayuan gerombolan United Malays
National Organisation. Carik kulit DAP-nya, maka muncullah
kecinaannya.

Pandangan kecinaan ini juga wajib dilawan dan ditentang. Sama seperti
kita menentang dan melawan sikap kemelayuan gerombolan United Malays
National Organisation. Kemelayuan dan kecinaan ini buah kelapa berbeza
dari tandan yang sama.

Kecinaan dan kemelayuan jenis ini adalah salah dan bertentangan dengan
falsafah ketuanan rakyat.

Islam adalah agama yang tidak memandang warna kulit dan bangsa. Agama
ini mengajukan falsafah kesamaan derajat sesama manusia. Justeru
apabila ada satu jalur kabilah ahli-ahli PAS yang menentang pelantikan
pegawai PKNS kerana pegawai ini bukan Islam atau kerana gendernya,
maka amat jelas ia menunjukkan bahawa kefahamam ahli-ahli parti jenis
Islam ini terhadap agama masih cetek dan amat-amat disangsikan.

Kumpulan Islam jenis ini selalu bertempik dan berkhutbah mengatakan
bahawa Islam itu lengkap dan Islam itu sejagat. Islam itu tidak
memandang agama atau bangsa. Cakar punya cakar, maka kelihatan kulit
kemelayuannya jenis gerombolan United Malays National Organisation
wujud dalam wajah Islamnya.

Justeru terbukti bahawa kumpulan Islam jenis ini bukan sahaja tidak
menghayati kesejagatan Islam tetapi mereka juga tidak memahami
falsafah dan konsep ketuanan rakyat yang berpedomankan meritokrasi.
Meritokrasi bukan sahaja selari dengan pandangan Islam, malah
meritokrasi diagung-agungkan oleh semua agama yang mengajukan
kesempurnaan penganutnya.

Tidak ada agama yang meminta penganutnya memilih-milih kaum atau
gender. Tidak ada agama yang mendiskriminasi individu kerana anutan
agama atau kepercayaan atau kerana bangsa individu itu. Jika ada agama
yang mendiskriminasi kerana alasan agama, kepercayaan, bangsa atau
gender, maka pandangan agama ini salah dan wajib dilawan.

Agama muncul bukan untuk menekan manusia. Agama muncul bukan untuk
menyusahkan manusia. Agama muncul untuk membawa kesejahteraan kepada
umat manusia.

Kejulingan dan kepencongan pandangan daripada satu jalur kabilah PKR,
DAP dan PAS ini dapat kita fahami. Kita tahu kenapa kabilah PKR ini
memunculkan kulit Melayunya, kenapa kabilah PAS ini mencuak kulit
tidak Islamnya, dan kenapa kabilah DAP memunculkan kulit kecinaannya.

Semua ini lahir kerana hegemoni budaya berfikir gerombolan United
Malays National Organisation. Budaya hegemoni ini luas dan telah
menakluki kesemua jalur dan lembaga budaya tanah air kita.

Kepencongan pandangan yang kita dengar daripada PKR, PAS dan DAP lahir
kerana kumpulan ini sedang berfikir dan menghuraikan masalah dengan
menggunakan kepala gerombolan United Malays National Organisation.

Dalam kepala mereka ada fikrah gerombolan United Malays National
Organisation. Yang berbeza hanya mereka cuba memakai jubah, baju,
seluar, songkok, ketayap, topi dan beret Pakatan Rakyat. Kulit mereka
mungkin lain tetapi isinya masih didominasi oleh hegemoni gerombolan
United Malays National Organisation.

Kumpulan dan kabilah yang memiliki jalur pemikiran seperti ini harus
ditarbiah. Jika tidak ditarbiah, mereka akan memberatkan saku
perjuangan Pakatan Rakyat. Mereka akan menjadi tunggul dan ranjau yang
terus mengganggu kaki Pakatan Rakyat yang sedang bergerak untuk
mendirikan Malaysia baru.

Dalam Malaysia baru, ketuanan rakyat akan dinobatkan. Dalam Malaysia
baru, anak semua bangsa adalah sederajat dan serata. Anak semua bangsa
memiliki hak yang sama.

Jika ada kabilah yang tidak bersetuju dengan ketuanan rakyat dan masih
termimpi-mimpi ketuanan Melayu dengan memakai topeng baru - mereka
wajib dikenal pasti untuk dibungkus oleh ombak sejarah ketuanan rakyat.

0 new messages