[Malaysia Daily] PM arah pembangunan dekat Taman Rimba Templer dihenti

0 views
Skip to first unread message

Muhammad

unread,
Mar 3, 2005, 10:34:45 PM3/3/05
to malay...@googlegroups.com
KUALA LUMPUR 3 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan pembangunan berdekatan dengan Taman Rimba Templer dihentikan kerana ia merupakan kawasan simpanan.

``Saya percaya kerja pembangunan di kawasan itu bertujuan untuk mendapatkan kayu yang bernilai dan kini semakin menghampiri Taman Rimba Templer.

``Perkara ini perlu diambil tindakan segera,'' tegasnya.

Abdullah berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Landskap Negara 2005 di Taman Bunga Raya, Taman Tasik Perdana, di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam dalam tinjauan di kawasan antara Pejabat Tanah Gombak dan Taman Rimba Templer mendapati pokok-pokok ditebang sewenang-wenangnya.

Bukit-bukit juga digondol dengan rakus seakan-akan tidak mempedulikan arahan Perdana Menteri supaya penebangan pokok besar di kawasan itu dilakukan secara minimum.

Tinjauan itu turut mendapati hampir seluruh kawasan berkenaan telah diterokai dan aktiviti pembalakan hampir meranapkan sebahagian besar kawasan hijau di daerah itu, yang terletak di pinggir ibu negara, Kuala Lumpur.

Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman yang turut bersama membuat tinjauan di kawasan itu bimbang, aktiviti pembalakan itu mungkin telah melangkaui kawasan hutan simpan kekal.

Hutan simpan itu, katanya, merupakan zon penampan bagi Taman Rimba Templer dan Hutan Lipur Kanching.

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri juga mengarahkan kerajaan Selangor dan kerajaan Perak mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan dua lagi kawasan yang kini terjejas teruk akibat pencemaran dan pembangunan tidak terkawal.

Di Selangor katanya, selain kawasan berbukit di antara Pejabat Tanah Gombak dan Taman Rimba Templer yang diarah hentikan itu ialah sebuah tasik di Kelana Jaya yang kini hendak ditimbus untuk projek pembangunan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sebuah lagi kawasan yang dinyatakan oleh Abdullah ialah kawasan kebun durian yang amat terkenal di Perak yang kini diancam dengan pencemaran akibat tindakan sebuah kilang berdekatan membuang segala bahan kimia ke dalam sungai berhampiran.

Perdana Menteri memberitahu, kawasan kebun durian di Perak telah tercemar kerana sungai berhampiran dimasuki sisa kimia dari sebuah kilang yang didirikan di kawasan tersebut.

``Banyak pokok durian yang baik dan bermutu tinggi telah rosak, mungkin pada hari ini banyak pokok yang telah mati.

``Saya telah maklumkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sebelum ini, Datuk Law Heng Deng untuk mengambil tindakan tetapi sama ada tindakan telah diambil atau tidak, saya tidak tahu,'' katanya.

Perdana Menteri memberitahu, sekiranya kawasan tersebut telah tercemar ia akan merosakkan kawasan kebun durian, sekali gus menjejaskan pendapatan penduduk terbabit.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan kerana rakyat tidak senang hati dengan keadaan tersebut.

``Kerajaan negeri perlu meningkatkan ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang.

``Perbuatan yang menyebabkan pencemaran perlu diambil tindakan segera di bawah undang-undang,'' katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh mengadakan undang-undang yang ketat bagi menangani pencemaran alam sekitar tetapi yang menjadi punca pencemaran ialah sikap rakus sesetengah masyarakat yang hanya memikirkan keuntungan diri.

Menurutnya, dalam menangani masalah pencemaran, semua pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah harus memberi perhatian.

Perdana Menteri menegaskan, tidak ada pihak yang boleh lepas tangan dalam hal ini.

--
Posted by Muhammad to Malaysia Daily at 3/3/2005 07:34:00 PM
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages